18 OKT – Akhbar Inggeris milik MCA, The Star, hari memetik Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada ahli parti menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) mulai esok agar berjaga-jaga terhadap agenda jahat (sinister agenda) sesetengah media alternatif.
Katanya, percubaan memecahbelahkan negara adalah nyata dengan media massa alternatif mengungkit perkara remeh untuk membakar emosi sambil menambah bahawa orang ramai tertarik kepada blog kerana menghidangkan “hiburan murah” (cheap entertainment).
Sama ada ia agenda jahat atau hiburan murah, berikut adalah Manifesto saya sebagai orang Melayu Malaysia (yang semestinya beragama Islam) yang ditujukan kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malay National Organisation/Umno) sempena persidangannya mulai esok hingga 23 Oktober.
Manifesto ini adalah penyataan umum dan terbuka mengenai prinsip dan dasar yang saya rasa wajib diperjuangkan semula oleh Umno sebagai parti induk politik kebangsaan Malaysia.
Pertama: Umno wajib kembali membulatkan tekad berjuang untuk bangsa (Melayu), Agama (Islam) dan Negara (Malaysia).
Tidak apa yang hendak dicurigakan memperjuangkan bangsa kerana Allah Taala di dalam Kitab Suci al-Quran secara jelas dan sahih menyatakan:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki (dan) seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi-sisi Allah adalah orang yang paling takwa antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal.” – surah Al-Hujarat, ayat 13.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa perjuangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu adalah perjuangan nasional yang terangkum (inclusive) yang memperjuangkan hak orang Melayu tetapi mengiktiraf hak kaum-kaum lain.
Umno yang inklusif inilah yang memberi kekuatan kepada politik Malaya dan Malaysia selama lebih 50 tahun di mana semua bangsa dan kaum boleh bernaung dalam suasana sejahtera, aman dan makmur.
Kalau Umno hari ini lemah atau dianggap lemah, ia adalah kerana Umno, buat seketika, hilang pegangan dan arah tujuan akibat kepemimpinan yang haprak. Kepemimpinan yang dilarikan (hijacked) oleh segelintir oportunis politik, perniagaan dan media massa.
Maka, daripada mandat raksasa pada pilihan raya umum 2004, Umno dan rakan-rakan Barisan Nasionalnya dihukum dengan sebatan paling hebat pada pilihan raya umum 2008.
Harap-harap era itu sudah berlalu. Harap-harap era gelap apabila pemimpin terlelap damai buaian damai abadi sudah berlalu. Harap-harap Umno dan pemerintahan yang diterajuinya tidak lagi dilarikan oleh sesiapa atau mana-mana pihak.
Untuk itu, kepemimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu pada perhimpunan agung tahunannya tahun ini wajib menyatakan secara terbuka dan jelas bahawa Umno adalah daripada orang Melayu, untuk orang Melayu, agama Islam dan negara Malaysia.
Tidak mengapalah jika ada manusia yang kacau dan berbaur mindanya atau yang busuk niatnya yang menuduh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu perkauman, rasis, ultra dan segala macam caci dan cerca lagi.
Kedua: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu perlu berhenti daripada menjadi burung kakak tua yang melagukan slogan-slogan dan bahasa-bahasa berkod (coded language) yang ia sendiri tidak faham atau tidak yakin.
Mantera kontemporari seperti globalisasi, keterbukaan, meritokrasi dan padang permainan sama rata boleh melemahkan hak dan perjuangan kebangsaan Melayu serta Islam jika tidak difahami maksud tersiratnya.
Umno wajib kembali mendaulatkan perjuangan bangsa, bahasa, agama, ekonomi, sosial, keselamatan dan pertahanan yang selama lebih 50 tahun menjadikan Malaya dan Malaysia negara berbilang bangsa dan agama yang sejahtera, aman dan makmur.
Kalau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu kuat dan kepemimpinan yang tegas, berani, bersih dan berkualiti, bukan sahaja orang Melayu sahaja berasa yakin bernaung di bawahnya, malah bangsa-bangsa lain juga akan berasa yakin.
Tepati Umno akan hancur dan kepemimpinan Melayu akan lenyap jika kepemimpinan Umno terus berdolak-dalik dengan orang Melayu kerana terlalu menyerah kepada tuntutan bangsa-bangsa lain.
Ketiga: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu wajib kembali memperjuangkan ekonomi nasional yang berdasarkan pertumbuhan dengan pembahagian (growth with distribution) yang menjadi matlamat suci Dasar Ekonomi Baru.
Tanpa dasar pertumbuhan dengan pembahagian (growth with distribution) ini, tidak akan wujud bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia seperti yang ada pada hari ini.
Walaupun hanya sebahagian matlamat DEB berjaya dicapai, namun ia telah mengubah orang Melayu daripada masyarakat tani dan buruh cukup makan (subsistence) kepada masyarakat ekonomi moden yang berdaya maju.
Dasar ini telah menganjakkan ekonomi Malaysia daripada ekonomi agraria dan ekonomi tradisional kepada ekonomi perindustrian dan global.
Tetapi hari ini, kerana Pertubuhan Kebangsaan Melayu bersatu dianggap lemah dan kepemimpinan Melayu sudah hilang keberanian, maka kejayaan luar biasa ini bukan sahaja cuba dinafikan, sebaliknya kepemimpinan Melayu dituduh menjadi penghalang kepada kemajuan orang bukan Melayu.
Jika kepemimpinan Umno masih ada keberanian, mereka wajib menyanggah fitnah ini kerana pemerin tahan yang diterajui Umno tidak pernah menganaktirikan mereka.Sebaliknya, ramai orang Melayu, ahli dan penyokong Umno yang dewasa ini berasa merekalah yang sebenarnya dianaktirikan.
Interpretasi dan ekspresi 1Malaysia (rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan), Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan meritokrasi belum meyakinkan mereka bahawa hak dan kepentingan mereka akan dilindungi.
Kepemimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang akan bersidang mulai esok lagi wajib memberi jaminan terbuka dan tanpa syarat (inequivocal) kepada orang Melayu dan Bumiputera bahawa 1Malaysia, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan adalah bersandarkan Perlembagaan dan berpaksikan warisan DEB iaitu perkongsian kekayaan ekonomi negara secara adil dan saksama memandangkan hakikat bahawa orang Melayu dan Bumiputera adalah bangsa majoriti yang kebetulan masih tertinggal jauh dalam arus pembangunan ekonomi negara.
Keempat: Untuk melaksana dan mencapai semua idealisme ini, Umno memerlukan kepemimpinan yang bersih, berani, mempunyai keanjalan minda yang tinggi, komited dan berkesinambungan.
Proses mensemasakan kepemimpinan Umno wajib dipesatkan demi mengelak Umno daripada menjadi parti orang tua, parti aristokrat dan parti orang pilihan.
Umno wajib kembali kepada sifat dan ciri asalnya iaitu keterangkuman dengan mendampingi generasi muda, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.
Kelima dan terakhir, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu wajib mengembalikan daya fikir, daya berartikulasi, kecintaan kepada ilmu dan kemampuan untuk berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain sebagai tuan rumah yang berani dan tegas.
Tolak-ansur kepartian jangan sekali-kali mengatasi dan mengkhianati hak dan kepentingan bangsa.
Berikan peringatan kepada semua iaitu di saat-saat banyak negara pasca-penjajahan sedang dikoyakrabakkan oleh perkauman dan dominasi oleh kaum induk di mana kaum-kaum minoriti dipaksa menerima asimilasi dan penyerahan, Malaysia yang diterokai oleh Umno kekal negara majmuk yang aman dan sejahtera di mana hak semua kaum dijamin di bawah Perlembagaan.
Berikan peringatan bahawa Perlembagaan Persekutuan Malaysia, seperti didefinisikan oleh pakar undang-undang ulung Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim, adalah Kontrak Sosial dan Perjanjian Perdamaian.
Janganlah sesiapa bermain dengan api perkauman dengan cuba mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera atau menafikan hak bangsa-bangsa lain di bumi Malaysia yang istimewa ini.
No comments:
Post a Comment