Sunday, October 3, 2010

Mengejar kuasa antara punca prinsip hukum syarak, kerakusan budi ummah diketepikan... Ini adalah nukilan saudara Presiden Persatuan Peguam-peguam Islam Malaysia yang mungkin terasa kebosanannya terhadap apa yang telah berlaku di Malaysia terutama terhadap Islam itu sendiri.


Mungkin ‘mood’ berkempen belum lagi pada tahap kemuncak kerana tarikh penamaan tidak ditetapkan lagi. Saya bukan ahli politik yang ingin berkempen bagi parti siasah tertentu dan bukan penganalisis politik yang boleh meramalkan parti mana akan memenangi pilihan raya kecil kali ini.

Namun, apa yang ingin saya ketengahkan minggu ini berkaitan keutamaan yang sepatutnya diberikan semua pihak bukan saja ketika pilihan raya tetapi juga waktu lain.

Politik tidak dapat dinafikan adalah sebahagian daripada Islam. Rasulullah juga mahir berpolitik sehingga dapat menyatukan umat Arab yang bertelingkah antara satu sama lain selama beberapa kurun.

Walaupun politik sebahagian daripada Islam, umat Islam kini seolah-olah menganggap politik adalah segala-galanya. Ada berpandangan bahawa saluran politik saja yang dapat menegakkan agama Islam di Malaysia.

    Hakikatnya, politik hendaklah bersama-sama saluran lain seperti dakwah, kemasyarakatan, perundangan, pendidikan, ekonomi dan moral memartabatkan Islam. Politik saja mungkin tidak akan dapat mencapai standard negara Islam yang diacu oleh Rasulullah.

    Apa yang menyedihkan, hari ini umat Islam terlalu banyak berpolitik. Apa saja yang berlaku, neraca digunakan bagi memberi justifikasi adalah neraca politik. Hatta dalam berpakaian pun neraca politik digunakan melihat kepada warna serta gaya pemakaian.

    Inilah yang menyebabkan apabila satu pihak mengambil sesuatu pendekatan, pihak satu lagi pasti tidak bersetuju dan mengambil pendekatan berlainan. Ia dilakukan semata-mata kerana ingin berbeza dengan parti lawan.

    Natijahnya, pembangunan Islam itu sendiri akan dikesampingkan malah, pembangunan negara juga tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana pemimpin lebih sibuk memikirkan hal politik berbanding pembangunan negara.

    Amat sedih juga apabila diperhatikan dalam hal ehwal Islam, pemimpin Islam bertelagah serta berbeza pendapat. Bukan setakat berbeza pandangan tetapi memburukkan pihak lain yang tidak sependapat dengan mereka.

    Masing-masing mengatakan mereka yang benar dan pihak lain itu salah. Isu penggunaan kalimah Allah dI kalangan orang bukan Islam umpamanya adalah tamsilan yang nyata pemimpin politik meletakkan politik mengatasi kepentingan Islam.

    Begitu juga dalam hal orang bukan Islam memasuki dan berceramah di surau yang menimbulkan perbahasan sehingga orang yang tidak mempunyai pengetahuan agama pun memberi pandangan akal mereka.

    Malah, dalam isu penggunaan wang hasil judi diberikan kepada warga emas Islam juga menjadi pertikaian antara parti politik. Hasilnya, Islam dilihat sebagai tidak seragam dan mengelirukan.

    Perbezaan sepatutnya diraikan dengan hikmah berdasarkan adab ikhtilaf yang digariskan ulama terdahulu. Apa yang berlaku hari ini, kelapangan dada menerima pandangan berbeza itu sudah hilang dan adab berbeza pandangan sudah tidak ada lagi.

    Apabila seseorang itu berbeza pandangan khususnya membabitkan persoalan politik, orang itu dicemuh dan dikritik secara melulu seolah-olah tiada sebarang manfaatnya. Perkara sedemikian berlaku kerana umat Islam meletakkan persoalan politik mengatasi ajaran Islam itu sendiri.

    Prinsip hukum syarak yang mengajak kepada kehalusan budi dalam berbeza pandangan diketepikan dan objektif utama ialah untuk berada di puncak kekuasaan. Pendekatan sebegini hanya merugikan orang Islam. Sebagai orang Islam, walau apapun pegangan politik, Islam hendaklah diutamakan. Jika sesuatu itu dilakukan memberi kebaikan kepada agama dan negara, ia hendaklah disokong tanpa mengira siapa yang menzahirkan idea itu.

    Tidak salah membuat kerjasama antara parti politik Islam yang berseteru berasaskan kepada Islam. Prasangka buruk dan tidak percaya antara satu sama lain sepatutnya diketepikan demi memartabatkan agama Islam.

    Kedua-dua belah pihak dilihat tidak mahu berganjak daripada pendirian diambil kerana yakin kekuasaan akan menjadi milik mereka. Bagi saya, apalah guna kekuasaan jika tatkala kita memiliki kuasa itu kedudukan agama Islam sudah punah dan tidak dapat dibaiki lagi.

    Kerosakan dilakukan sudah pasti akan sukar diperbaiki dan menunggu masa untuk musnah. Pada masa itu, kita sudah terlewat untuk menegakkan agama Islam kerana prasangka yang membara antara masyarakat Islam sendiri.

    Kerjasama politik antara parti politik Islam yang dicadangkan dan hebat diperdebatkan juga adalah manifestasi jelas kepentingan politik diletakkan mengatasi kepentingan agama.

    Mungkin sudah tiba masanya kedua-dua belah pihak melupakan kisah pahit lama antara mereka dan memulakan lembaran baru mempertautkan hubungan hati ke hati demi untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia.

    Apabila Islam dapat ditegakkan sudah pasti Malaysia akan menjadi aman damai kerana Islam itu sendiri agama perdamaian.

    Masyarakat bukan Islam pula tidak harus gusar dengan penyatuan umat Islam yang berteraskan Islam itu kerana perundangan Islam itu sendiri memberi jaminan kebebasan mengamalkan agama mereka dalam negara Islam.

    Malah kerajaan Islam mempunyai tanggungjawab membantu rakyat minoriti bukan Islam bagi melaksanakan hal ehwal upacara keagamaan mereka.

    Oleh itu saya mengharapkan semua pihak meletakkan keutamaan yang betul di tempatnya. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan Islam itu mencakupi semua aspek kehidupan. Pilihlah prinsip Islam yang menyeluruh, sudah pasti ia akan membimbing umat Islam cara berpolitik.

    No comments:

    Post a Comment