Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertamanya, UMNO Selangor perlu sedar bahawa parti itu kini cuma tinggal 12 kerusi daripada keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun asalnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum 2004.
Keduanya jelas beliau, badan perhubungan negeri perlu ingat bahawa Selangor sebuah negeri yang amat strategik, bukan sahaja kepada UMNO dan BN tetapi kerajaan Pusat, kerana di situlah terletak segala-gala yang berkait dengan nilai ekonomi sama ada pelaburan mahu pun peluang perniagaan.
Menurut Perdana Menteri, realiti politik ketiga yang perlu difahami oleh UMNO Selangor ialah badan perhubungan negeri itu berdepan dengan cabaran demografi politik, khususnya dalam kalangan pengundi di kawasan semi bandar dan bandar, yang mana isu politik pembangunan bukan lagi menjadi tarikan.