SEJARAH adalah pengkisahan tentang masa lampau. Sifat sejarah adalah berulang. Pengulangannya mungkin dalam bentuk yang berbeza tetapi isi dan maksudnya adalah sama.
Sejarah tidak sahaja merupakan rakaman peristiwa, kepentingan tarikh, dan kehebatan tokoh, tetapi sejarah adalah guru yang memberi kita jalan berfikir dan jalur hidup supaya darinya lahir sumber teladan untuk jangan kita ulangi kesilapan silam dan memperbaikinya pada masa kini dan hari depan.
Oleh itu mempelajari sejarah umpama mempelajari peristiwa silam yang bakal berulang pada masa ini dan juga pada masa depan.
Sejarah melalui proses kesinambungan kisah lalu yang boleh berulang pada masa kini dan dijadikan pedoman pada masa depan. Mempelajari sejarah ialah mempelajari kehidupan. Sifat kehidupan adalah berulang-ulang.
Apa yang berlaku pada masa yang lalu berulang pada masa kini dan bakal berulang semula pada masa depan. Mengambil iktibar daripada sejarah memberikan kita pedoman bahawa corak kehidupan manusia itu sifatnya sambung menyambung.
Yang lalu menjadi suatu tradisi yang dikenang, hari ini kita bakal membina tradisi baru untuk generasi akan datang mengingatinya semula.
Dalam tradisi al-Quran terdapat kisah-kisah para nabi dan rasul berdepan dengan kerenah kaumnya untuk menerima yang hak dan juga yang masih kekal dalam kebatilan.
Kisah ini dijadikan ibrah atau teladan supaya kisah manusia yang sifatnya berulang-ulang dapat memberi pedoman kepada manusia hari ini supaya jalur hidup yang dipilih dalam keadaan terbimbing. Selalunya manusia menjadikan contoh terdahulu sebagai sumber teladan dan ikutan.
Sekiranya teladan dari kisah dan sejarah dijadikan sumber ikutan, maka ada pedoman bagi mengatur kehidupan yang lebih baik. Al-Quran umpamanya banyak menceritakan tentang perjalanan hidup manusia, kerana al-Quran melihat kepentingan manusia dan peradabannya sebagai asas utama dalam kehidupan.
Oleh itu ajaran al-Quran banyak memberikan manusia pedoman hidup terhadap yang hak dan yang batil, makruf dan mungkar, dosa dan pahala, adil dan zalim, dan sebagainya.
Pedoman Allah itu dijadikan asas kehidupan pada masa lalu dan dijadikan juga pedoman pada hati dan juga pada masa depan. Oleh itu mempelajari sejarah kisah dan sirah ialah untuk mempelajari jalur kehidupan yang baik.
Langkah Kementerian Pelajaran mewajibkan subjek sejarah dalam peperiksaan adalah satu langkah wajar. Sejarah dalam perspektif yang luas tidak sahaja merupakan fakta-fakta silam yang perlu dihafal, diingat dan diluahkan dalam peperiksaan untuk mendapatkan markah yang cemerlang.
Sejarah mengajak manusia berfikir tentang jatuh bangun tamadun silam. Sejarah mengajak kita menghayati iktibar yang berlaku supaya ia jangan diulangi lagi.
Sejarah kejatuhan Melaka umpamanya berakibat daripada raja hilang pedoman dek penasihat-penasihat yang berkepentingan. Dalam sejarah Melaka, raja Mandaliar dan Si Kitol adalah contoh klasik bagaimana kecenderungan oportunis menyebabkan raja terpengaruh dan menyebabkan raja melakukan kezaliman.
Kesannya, Melaka jatuh dan dijajah lebih 400 ratus tahun lamanya. Walaupun hari ini kita sudah merdeka kemungkinan untuk kita dijajah semula akibat kelemahan kepimpinan boleh berlaku. Dunia hari ini menuntut penguasaan ilmu dan kekuatan peribadi.
Sekiranya faktor ini tidak dimiliki oleh para pemimpin kita, disertai pula dengan penasihat-penasihat yang tidak bijak dan berkepentingan, sejarah yang sama boleh berulang.
Walaupun tempoh zaman berbeza tetapi gelagat manusia adalah sama dan kesan akibatnya adalah serupa. Hal yang sama juga pernah berlaku dalam sejarah Tamadun Baghdad, Andalusia, Othmaniah dan Moghul.
Antara punca kejatuhannya adalah kealpaan pemimpin yang sudah bersifat nafsu nafsi, kebendaan dan tidak lagi menjadikan ilmuwan dan ulama sebagai penasihat.
No comments:
Post a Comment