SUASANA politik hari ini di Malaysia nampaknya sedang 'subur' dan semakin bertambah baik. Kerajaan dilihat semakin telus. Kebebasan berpolitik dan hak untuk bersuara semakin diperluaskan. Sistem pilihan raya juga semakin 'bebas' yang memungkinkan mana-mana parti bertanding termasuk parti pembangkang boleh menang dengan majoriti besar, malah mampu menguasai beberapa negeri.
Ketika ini di Malaysia juga heboh mengenai perlunya kebebasan berpolitik dan hak untuk bersuara diperluaskan meliputi semua peringkat golongan dan lapisan masyarakat. Setakat ini, hanya guru tertentu sahaja dibenarkan berpolitik.
Pada masa yang sama juga, golongan pensyarah dan mahasiswa di universiti juga sedang melobi untuk dibenarkan berpolitik. Secara ringkasnya, semua orang di Malaysia, tidak kira latar belakang ataupun status, inginkan hak untuk berpolitik dan bersuara lebih daripada apa yang mereka peroleh sebelum ini.
Sememangnya, ini merupakan hak rakyat sebagaimana yang termaktub dalam kamus demokrasi yang kita semua sedia maklum. Secara umumnya, berpolitik tidak salah selagi mana ia dilakukan mengikut peraturan dan saluran yang betul.
Beberapa persoalan yang ingin dikemukakan di sini adalah bagaimana kalau keadaan ini menjadi politik yang keterlaluan (too much politicking)?
Apa yang akan berlaku kepada negara kalau semua orang sibuk hendak berpolitik? Apakah kita semua benar-benar faham makna politik itu sendiri sehingga tidak sabar dan 'terkinja-kinja' menuntut hak berpolitik?
Istilah politik secara umumnya merujuk kepada cara-cara untuk mengurus dan mentadbir negara serta hal ehwal berkaitan negara, termasuk mengurus masyarakat yang menjadi warga di negara tersebut.
Dalam sistem demokrasi, politik digunakan sebagai 'alat' oleh kerajaan dan rakyat untuk mendapat hak masing-masing. Kerajaan menggunakan politik sebagai 'alat' untuk mentadbir negara, manakala rakyat pula menggunakan politik sebagai 'alat' untuk mendapatkan hak mereka daripada kerajaan.
Jelasnya, penggunaan politik sebagai 'alat' oleh kerajaan dan rakyat boleh mewujudkan suasana keseimbangan dalam sesebuah negara.
Penggunaan politik sebagai 'alat' oleh kerajaan dan rakyat kadangkala boleh menjadi sesuatu yang bersifat ekstrem sekiranya ia dilakukan tanpa kawalan, peraturan dan prosedur yang betul.
Dalam konteks kerajaan misalnya, politik digunakan sebagai 'alat' yang bersifat 'memaksa' untuk tujuan kebaikan umum seperti menjaga kepentingan negara.
Penggunaan politik sebagai 'alat' oleh rakyat tanpa sebarang kawalan tertentu seringkali menjerumuskan negara ke dalam kancah konflik dan kacau bilau, meskipun ia dilakukan atas label unggul, seperti demokrasi dan kebebasan.
Sejarah telah membuktikan bagaimana penggunaan politik sebagai 'alat' oleh rakyat jelata atas nama demokrasi dan kebebasan ini sebenarnya tidak membawa kepada suasana aman untuk jangka masa panjang.
Di negara-negara di mana pemerintahan kerajaan dibentuk dengan cara ini akan sentiasa menghadapi keadaan ketidakstabilan politik, walaupun dari segi ekonominya ia kelihatan seolah-olah sebuah negara maju hanya kerana mengamalkan kebebasan politik sepenuhnya.
Hakikatnya, di kebanyakan negara maju di Barat, politik dan ekonomi tidak dikuasai oleh kerajaan yang memerintah sepenuhnya, sebaliknya, dikuasai oleh segelintir golongan 'kaya' yang menguasai ekonomi dan sistem kewangan di negara tersebut.
Mereka inilah sebenarnya yang bertanggungjawab membuat percaturan politik di negara yang mereka sendiri diami.
Antara contoh negara-negara seperti ini ialah Itali, Perancis, Jerman, Rusia, Britain, dan Amerika Syarikat. Jika kita meneliti di sebalik kejayaan negara-negara ini, kita akan dapat mengenal pasti siapa sebenarnya yang mendapat 'faedah' daripada segala amalan dan praktik liberalisasi politik dan ekonomi di negara-negara tersebut sejak sekian lama.
Dalam hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Konvensyen UMNO sempena ulang tahun ke-50 (11 Mei 1996) berkata:
"Ramai yang kononnya menerima demokrasi sebagai sistem politik tetapi kerana tidak faham apa ia demokrasi, mereka telah menjadi mangsa demokrasi tanpa sedikit pun memperoleh manfaat."
Harus diingat juga bahawa demokrasi bukan agama Tuhan. Demokrasi adalah ciptaan manusia dan sudah tentu ia jauh daripada sempurna.
Bangsa-bangsa Barat cuba mendakwa bahawa demokrasi tidak cacat dan menganggapnya sebagai satu sistem yang tidak siapa boleh mempertikaikan atau mengubahnya.
Mereka mencipta slogan Vox populi, vox Dei iaitu suara ramai adalah suara Tuhan. Tetapi percayalah demokrasi bukan suara Tuhan dan jauh daripada sempurna, bahkan ia penuh dengan kecacatan yang boleh membinasakan pengamalnya dan menjadikan mereka mangsa kezaliman sistem demokrasi yang tidak kurang buruknya daripada kezaliman sistem feudal atau pun sistem diktator."
Jelas sekali, hak dan kebebasan berpolitik dalam kerangka demokrasi ini boleh memberi kesan negatif sekiranya ia dilaksanakan tanpa sebarang kawalan, peraturan dan prosedur yang betul.
Sungguhpun begitu, walaupun hak dan kebebasan berpolitik dilakukan mengikut peraturan, apakah jaminan yang boleh diberikan oleh 'pengamalnya' bahawa ia tidak akan sekali-kali menjadi ekstrem dan merosakkan negara?
Kita tidak payah meneropong jauh untuk mencari jawapan bagi persoalan ini kerana jawapan sebenarnya sudah tersedia dalam sejarah negara kita.
Kita tidak harus lupa bagaimana hak dan kebebasan berpolitik yang pernah wujud di negara kita sejurus selepas merdeka telah menjerumuskan negara kita dalam pelbagai konflik serius seperti peristiwa 13 Mei 1969, 'pemberontakan' mahasiswa di universiti-universiti tempatan di sekitar tahun 1970-an, rusuhan di Memali pada 1984, dan insiden 'reformasi' rakyat pada 1998.
Sehubungan itu, cadangan untuk membenarkan semua orang berpolitik, termasuk guru, pensyarah dan mahasiswa, dan mungkin juga selepas ini semua kakitangan awam daripada yang bergred rendah hingga ke gred JUSA perlu diteliti semula akan kewajarannya untuk jangkamasa panjang.
Perlu diingatkan, sebarang keputusan kerajaan berkaitan dengan isu ini adalah sesuatu yang bersifat 'dasar', dan apabila ia diputuskan, ia sudah pun menjadi sebahagian daripada sejarah, dan sukar untuk 'ditarik balik'.
Rakyat akan berterusan membuat pelbagai tuntutan yang mungkin tidak munasabah langsung selepas ini hanya kerana keputusan serupa pernah dilakukan oleh kerajaan seperti termaktub di dalam sejarah negara.
Biarlah hal ehwal politik itu dijalankan oleh orang politik, manakala yang bukan betul-betul orang politik ataupun separa orang politik, eloklah fokus kepada kerjaya masing-masing.
Dalam suasana dunia era globalisasi yang sangat mencabar ini, agak sukar untuk berjaya dalam kerjaya yang bersifat 'dua alam', iaitu sebagai kakitangan awam, guru, pensyarah, mahasiswa dan berpolitik.
Dunia politik tidak sama dengan dunia guru di sekolah, dunia pensyarah serta dunia mahasiswa di universiti.
Politik mempunyai 'dunianya' yang tersendiri dan sesungguhnya sangat mencabar minda dan kudrat pengamalnya pada setiap masa.
No comments:
Post a Comment