Saturday, August 21, 2010

Tuntutan keterlaluan kaum Cina undang padah


BARU-baru ini, berlangsung satu persidangan yang dinamakan Kongres Ekonomi Cina. Seperti program lain, tiada apa yang berbeza atau lebih menarik pada kongres anjuran MCA itu berbanding seminar atau kongres dianjurkan pihak lain.

Namun, apa yang terhasil daripada persidangan itu menarik perhatian banyak pihak, terutama orang Melayu. Semuanya, 13 deklarasi diluluskan kongres, tetapi yang paling menonjol ialah mendesak ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.

Sebagai badan memperjuangkan kepentingan Melayu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memandang serius tuntutan dibuat kongres itu. Pertama, kerana ia sangat tidak sesuai dengan masanya, tambahan pula ketika orang Melayu masih lagi terkebelakang dalam pelbagai bidang di negara ini.

Jika kita masih ingat tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina (Suqui) dalam dokumen rayuan 17 perkara dikemukakannya 11 tahun lalu, maka apa dibangkitkan pada kongres 14 Ogos lalu adalah berkaitan atau ulangan perkara sama.

Ketika itu, GPMS adalah pertubuhan paling terkehadapan, ‘berperang’ secara bersemuka dengan tuntutan yang sangat kurang ajar dan jelas menginjak Perlembagaan Persekutuan. Segala tuntutan mereka perlu ditolak kerana sangat tidak relevan, cauvinis serta menunjukkan sikap sebenar golongan yang sangat pentingkan diri serta haloba.

Mana mungkin dalam keadaan negara bertungkus lumus menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pun, ekonomi orang Melayu hanya mampu mencecah 19 peratus berbanding 30 peratus yang disasarkan, puak itu sewenang-wenangnya pula menuntut supaya ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dikurangkan secara berperingkat-peringkat.

Niat mereka jelas hanya mementingkan kekayaan bangsa satu puak tanpa ada sekelumit pun hasrat untuk membantu menjayakan ekonomi pribumi. Mereka tidak pernah puas dan bersyukur dengan penguasaan 81 peratus ekonomi negara. Mungkin kepuasan itu hanya akan tercapai apabila menguasai 100 peratus ekonomi.

Bagi GPMS, kami melihat tuntutan yang dibuat kongres terbabit sebagai berbahaya dan pasti akan menjejaskan perpaduan kaum dan keamanan negara. Bumiputera masih jauh ketinggalan, lalu permintaan itu seolah menidakkan hak Bumiputera dalam sistem keadilan sosial negara ini.

Jika itu desakan mereka, GPMS pasti mendesak agar pembahagian ekonomi dibuat secara sama rata mengikut peratusan penduduk kita. Natijahnya, sudah pasti api kemarahan terlindung seperti bara di bawah sekam akan semakin marak dan menjejaskan perpaduan serta keamanan negara.

Selalunya apabila timbul desakan yang menyentuh hak keistimewaan Bumiputera, pasti akan kedengaran ayat amaran ‘jangan bermain dengan api’, namun kali ini GPMS percaya keadaan akan menjadi bertambah serius kerana tuntutan yang dibuat puak itu diketuai sendiri pemimpin dalam parti politik kerajaan pemerintah.

Desakan demi desakan pasti akan mengundang keadaan tidak tenteram dalam negara. GPMS suka mengingatkan peserta kongres terbabit untuk belajar daripada sejarah. Masihkah mereka ingat peristiwa 13 Mei 1969? Punca kekalutan ketika itu adalah kerana sikap sombong pihak yang membuat tuntutan tidak munasabah seperti ini.

Tidak salah mendesak kepada keterbukaan dan persaingan di atas padang sama rata atau mengikut merit, sama ada dalam perniagaan atau pendidikan. Namun, itu semua hanya boleh dilaksanakan jika keupayaan dan kekayaan sudah pun dikongsi sama rata dan sama rasa. Hakikatnya, ia tidak berlaku lagi di Malaysia.

Jika pihak yang membuat tuntutan itu enggan berubah dan berterusan mendesak, GPMS menyarankan semua orang Melayu supaya mengadakan kempen secara terang-terangan – Melayu membeli daripada Melayu saja – bagi mengajar pihak berkenaan erti persaudaraan senegara.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi gambaran seolah-olah kaum Cina di negara ini mahu memonopoli semuanya. Mungkin sebelum ini mereka memendamkannya, tetapi apabila DAP mendapat sokongan segelintir pemimpin Melayu liberal bagi menindas Melayu, MCA mengambil kesempatan menabur garam di atas luka yang semakin serius itu.

Soi Lek juga secara terang-terangan mengumumkan kesediaan parti diketuainya berjuang bersama DAP bagi mendapatkan segala-galanya kepada orang Cina di negara ini. Lalu, apa yang akan berlaku kepada nasib orang Melayu. Apakah jurang di antara UMNO dan PAS akan terus melebar, biar Melayu merempat di bumi sendiri.

MCA sudah menyatakan kesediaan berkongsi pentas dengan DAP demi memperjuangkan kepentingan Cina. Bagaimana pula PAS dan UMNO? Tidak adakah sesiapa pun dalam dua parti terbesar orang Melayu itu berfikiran jauh untuk melihat apa yang mampu berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Janganlah kita membiarkan kampung tergadai. Ingatlah pesanan Allahyarham Aminuddin Baki ketika hayatnya dan sentiasa terngiang di telinga semua pemimpin muda GPMS hari ini: “Jangan biarkan orang Melayu menjadi seperti itik di air yang mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan.”

Bersatulah di atas panji bangsa dan agama, ketepikan segala kepentingan peribadi. Resolusi yang terhasil dari kongres ekonomi Cina itu jelas menjadi bukti kegagalan orang Melayu bersatu sehingga memberi ruang kepada ‘kaduk naik junjung’.

Janganlah ada yang memanipulasi gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak demi kepentingan puak mereka saja tanpa mahu memahaminya secara keseluruhan, terutama membabitkan fasal Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Tidak keterlaluan jika ada pihak yang mengandaikan Soi Lek mengambil kesempatan di atas gagasan Perdana Menteri ini demi meningkatkan imej MCA yang semakin mengecil di mata masyarakat negara ini. GPMS percaya jika itulah niatnya, maka MCA akan lenyap dari negara ini selepas PRU ke-13 nanti.

Apa yang diluluskan kongres ekonomi Cina itu seperti ‘amaran’ kepada orang Melayu. Keberanian kaum kedua terbesar itu adalah kerana pemimpin Melayu semakin berlembut dengan mereka akibat keputusan dicatatkan dalam PRU ke-12. Kononnya, parti Melayu perlukan undi mereka untuk menang dalam PRU ke-13 nanti.

GPMS berharap kepemimpinan negara dapat menasihat pemimpin yang bersuara lantang itu supaya insaf dan memahami kehendak kerajaan sebenarnya. Ajar bagaimana untuk membersihkan diri sendiri dulu dan memperkukuhkan semula partinya yang hampir ‘padam’.

Bagi orang Melayu pula, kita perlu terus memperjuangkan kuota 30 peratus dan terus berjuang untuk menguasai ekonomi lebih daripada 60 peratus selaras dengan nisbah orang Melayu di negara ini. Jadikan perjuangan itu sebagai perkara wajib.

Tiada siapa dapat mempertikaikan bahawa orang Melayu masih perlu dibantu untuk menguasai sektor ekonomi. Banyak bukti nyata terhidang menunjukkan ada gerakan cuba menyusahkan orang Melayu menjalankan perniagaan dengan menyekat pembelian pukal dan mengenakan harga lebih tinggi, sekali gus menyukarkan orang Melayu bersaing dengan adil.

Konsep ‘ali baba’ pula hanya menguntungkan baba, meninggalkan ali sekadar broker bagi mengejar projek.

GPMS berharap orang Melayu bangun. Kita perlu segera bangkit dan bersaing dengan lebih hebat tanpa memandang lagi ke belakang. Usahawan Melayu yang berjaya perlu memainkan peranan penting membantu melahirkan lebih ramai peniaga yang mempunyai minda kuat seperti mereka.

No comments:

Post a Comment