Thursday, August 26, 2010

Berpolitik tidak seharusnya menggadaikan agama

UMAT Islam dibenarkan bekerjasama dengan masyarakat bukan Islam dalam soal kepimpinan dan pentadbiran negara selama mana prinsip dan ajaran Islam tidak terjejas. Perkongsian kuasa antara kaum dalam negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama merupakan ciri-ciri sebuah negara bertamadun. Ia juga merupakan salah satu cara untuk menegakkan keadilan dan keprihatinan pemerintah terhadap rakyat berbilang bangsa dan agama.

Bagi menegakkan keadilan dan keseimbangan kaum maka ia memerlukan perundangan dan perlembagaan yang dipersetujui oleh kesemua kaum.

Sejarah menunjukkan bahawa pembentukan Perlembagaan negara adalah berasaskan kepada amicable agreement (persetujuan kesemua kaum secara damai) bagi membentuk negara Malaysia.

Jika Perlembagaan sudah dipersetujui oleh pelbagai kaum kenapa terdapat golongan tertentu cuba meminda Perlembagaan negara. Realiti yang wujud pada masa kini ialah terdapat umat Islam yang terlalu ghairah untuk menunjukkan sikap universal sehingga berkompromi dengan masyarakat bukan Islam untuk meminda Perlembagaan negara tanpa mengira fakta sejarah dan realiti kedudukan umat Islam dalam negara mereka sendiri.

Apabila hak dan kedudukan umat Islam tidak dihiraukan maka perkara-perkara berkaitan dengan keagamaan akan diselewengkan sewenang-wenangnya kerana matlamat dan konsep perjuangan politik adalah untuk menguasai tanpa mengira batas dan landasan agama.

Konteks kehidupan umat Islam masa kini berada dalam tahap yang getir di mana terdapat golongan ajaran sesat yang semakin hari kian aktif. Mereka mempengaruhi umat Islam dengan istilah-istilah sufi sedangkan mereka sendiri tidak memahami erti kehidupan seorang sufi dan jahil dalam perkara berkaitan dengan akidah dan syariah Islam.

Tambahan pula, terdapat golongan yang beranggapan bahawa mereka orang yang paling pakar dengan agama Islam walaupun perkara-perkara yang berkaitan dengan asas akidah dan prinsip syariah tidak pernah dipelajari oleh mereka.

Golongan begini sering mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan umat Islam kerana ijtihad yang dikeluarkan oleh mereka tidak berpandu kepada disiplin ijtihad yang digariskan oleh para sahabat Rasulullah SAW dan juga ulama Islam yang muktabar.

Bekerjasama dan berkongsi kuasa demi keadilan dan kebaikan masyarakat merupakan teras kepada kejayaan sebuah negara. Perkongsian kuasa di kalangan pelbagai bangsa dan agama merupakan sistem pemerintahan dan pentadbiran negara berpuluh tahun lamanya.

Masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara ini melaksanakan ibadah dan peraturan agama masing-masing tanpa mencampuradukkan ibadah mereka dengan ibadah agama lain. Ini merupakan salah satu ciri negara Islam yang dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Pergolakan dan pertelingkahan agama yang wujud dalam negara baru-baru ini ialah akibat daripada sikap golongan tertentu yang cuba meminda Perlembagaan mengikut pemikiran dan perasaan tanpa melihat kepada fakta sejarah.

Tambahan pula, terdapat umat Islam yang menggelar diri mereka sebagai golongan modernis mempertikaikan perundangan Islam terutama berkaitan dengan perundangan peribadi umat Islam. Suasana begini boleh menyebabkan kestabilan kaum tergugat dan umat Islam merasai diri mereka tercabar akibat daripada perpecahan umat.

Keghairahan berpolitik menyebabkan umat Islam hilang panduan dan merasai diri mereka terumbang ambing apabila hilang kuasa. Keresahan begini dipertonjolkan dengan pelbagai cara dan tindakan sehingga ke tahap mencemarkan ibadah khusus dalam Islam. Ini menunjukkan bahawa umat Islam sanggup menggadaikan maruah agama dan bangsa demi memperkukuhkan kedudukan politik mereka.

Apabila diteliti pergerakan parti politik umat Islam masa kini jelas menunjukkan bahawa umat Islam semakin hari kian terlena dalam perjuangan politik tanpa mengira batas-batas agama. Tambahan pula, sikap suka mendabik dada dan memperakui kehebatan diri menyebabkan para pemimpin politik tidak menyedari bahawa tindakan mereka berkompromi dengan parti politik bukan Islam yang sering menunjukkan sikap penentangan terhadap perundangan Islam boleh menjejaskan objektif dan prinsip perjuangan parti mereka yang asal.

Perjuangan Islam dan pelaksanaan perundangan Islam tidak mungkin dapat diwujudkan jika parti komponen bukan Islam sering menunjukkan sikap negatif terhadap agama Islam. Jika hak dan kedudukan umat Islam dirampas secara terbuka oleh pemimpin parti politik yang berkompromi dengan parti umat Islam, usah bermimpi dan menaruh harapan untuk melaksanakan perundangan Islam akan dicapai.

Pemikiran umat Islam mudah dipengaruhi unsur-unsur yang boleh melemahkan kekuatan Islam hanya dengan cara menghafal beberapa potong ayat al-Quran dan melafazkannya ketika berkempen dalam pilihan raya.

Umat Islam kurang menggunakan pemikiran yang rasional dan merenung nasib mereka dalam jangka masa yang panjang apabila terlalu terpesona dengan kemenangan dalam pilihan raya. Realitinya, umat Islam tersungkur apabila kuasa berada dalam tangan pemimpin bukan Islam yang tidak menghormati agama dan hak orang Islam.

Oleh itu insaflah umat Islam, supaya bumi yang dibina oleh nenek moyang mereka tidak tergadai akibat terlalu ghairah berkompromi dengan parti politik yang tidak menghormati Perlembagaan negara dan umat Islam.

No comments:

Post a Comment