Friday, August 6, 2010

Ramadan sudah tiba maka.....




Surah Al-Baqarah ayat 183 "Wahai orang yang beriman! Diwajib atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa".

Puasa di bulan Ramadan merupakan sekolah yang terbesar untuk mendidik budi pekerti orang Mukmin melalui latihan untuk memiliki sifat-sifat terpuji. Puasa juga adalah jihad dan penentang segala keinginan hawa nafsu hasutan syaitan yang bermain di fikiran orang Mukmin. Puasa juga dapat membiasakan manusia supaya memiliki sifat sabar dalam menghadapi perkara-perkara yang tidak dapat dicapai dan kesukaran yang terpaksa ditempuhinya. Puasa juga mengajar seorang supaya beramanah dan mengingati Allah (SWT) sama ada di masa terang atau berselindung kerana tidak ada orang yang dapat mengawasi seorang yang berpuasa itu dalam masa puasanya melainkan Allah (SWT) sahaja.

Puasa meneguhkan kemahuan serta menguatkan cita-cita. Puasa juga mengajar kesabaran dan membantu bagi menerangi akal fikiran serta memberi ilham dan pendapat yang sama apabila seorang yang berpuasa itu dapat melangkahi terhadap kepenatan dan lupa kepada perkara-perkara yang membawa kepada kelesuan dan kepenatan.

Puasa mengajar supaya berdisiplin dan berperaturan kerana puasa memaksa seorang yang berpuasa supaya makan atau minum dalam masa yang ditetapkan. Puasa menggambarkan penyatuan umat Islam baik di Timur mahupun di Barat. Mereka semuanya berpuasa dan berbuka pada masa yang satu. Ini kerana Tuhan mereka satu [Allah (SWT)] sebagaimana dalam istiadat mereka juga disatukan.

Puasa menyebarkan perasaan kasih sayang dan persaudaraan dalam jiwa manusia juga melahirkan semangat bekerjasama di antara orang Islam. Pertalian silaturahim dan bekerjasama dalam menghapuskan ancaman kelaparan. Keadaan itu meneguhkan ikatan sosial antara sesama mereka serta menganjurkan semangat kerjasama dalam mengubati penyakit yang timbul dalam masyarakat.

Puasa secara amalinya dapat membaharui hidup manusia melalui sel-sel dengan membuang sel-sel yang tua di samping memberi rehat kepada jentera yang menjalankan pengisaran makanan. Dengan puasa juga dapat melaksanakan pantang larang serta menghapuskan sisa-sisa makanan yang belum di hadamkan.

Puasa adalah jihad hawa nafsu dan penyelamat nafsu daripada segala yang bersangkut paut dengan dunia atau dosa-dosanya selain mempertahankan hawa nafsu itu sendiri.

Ada sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba bulan puasa, maka terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dirantai.” Daripada hadis berkenaan, dapatlah kita memahami pengertian majazi (kiasan) dan hakiki (kenyataan). Dalam pengertian majazi, hadis itu mengandungi makna Ramadan adalah bulan ibadat untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Ketika Ramadan, Allah SWT melimpahkan ganjaran pahala yang luar biasa serta membuka pintu keampunan seluas-luasnya. De ngan melakukan sedikit amal, kita memperoleh ganjaran pahala seterusnya membawa kita ke syurga.

Sehinggakan syurga pada Ramadan itu sentiasa terbuka kerana luasnya rahmat Allah SWT dan neraka, kerana banyaknya pengampunan Allah SWT untuk hambanya sentiasa tertutup dan syaitan bagaikan terbelenggu atau terikat berikutan kesedaran manusia yang terlalu tinggi sepanjang Ramadan.

Jika hadis terbabit difahami secara hakiki (kenyataan), maka kita dapat fahami dan berkata bahawa penderhakaan itu muncul akibat godaan syaitan dan rayuan hawa nafsu. Dalam Ramadan, iaitu bulan puasa, sememangnya syaitan diikat, tetapi bagi orang yang hawa nafsunya tidak dikawal, maka mereka itulah yang menderhaka kepada Allah SWT.

Kalangan ulama menjelaskan terdapat perbezaan antara godaan syaitan dan rayuan nafsu. Syaitan menggoda dengan tujuan menyesatkan dan merugikan manusia, atau sekurang-kurangnya menjadikan manusia tidak beruntung dalam memperoleh rahmat Allah.

Justeru, syaitan dapat mengubah rayuannya dari waktu ke waktu jika ia gagal dalam rayuan yang pertama. Ini berbeza dengan nafsu yang hanya ingin memuaskan dirinya, sehingga apabila ia menginginkan sesuatu, dia tidak akan mengubah dan terus mendesak sehingga keinginannya tercapai. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment