Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memperuntukkan banyak fasal mengenai agama Islam. Umpamanya Perkara 3 menegaskan tanpa keraguan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.
Negara sekular seperti Perancis, Turki dan India dengan jelas dalam perlembagaan negara itu adalah negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama. Hal itu tidak berlaku dalam Perlembagaan dengan adanya Perkara 3. Malah perkataan sekular tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jika Perlembagaan adalah sekular tentu Perkara 3 itu dihazafkan, malah ada banyak fasal lain yang memberi keistimewaan dan kedudukan tinggi agama Islam. Ia mustahil berlaku dalam sebuah negara yang mendokong sifat sekular.
Sebuah negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu agama kerana ia bertentangan prinsip sekularisme. Namun, di Malaysia, kerajaan Persekutuan dan negeri memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak lagi.
Tindakan kerajaan selaras peruntukan Perlembagaan yang membenarkan dana awam digunakan bagi pembangunan agama Islam dan sekali gus menjadi bukti Islam mendapat tempat istimewa dalam Perlembagaan.
Perkara 11(4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan membuat undang-undang mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam.
Adalah mustahil dalam negara bersifat sekular keistimewaan itu diberikan kepada sesebuah agama. Hal ini dengan sendiri menafikan hujah Perlembagaan adalah perlembagaan sekular.
Pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah, sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah walaupun ada tidak berpuas hati dengan kedudukan ini. Sekali lagi keistimewaan diberikan kepada agama Islam.
Dalam banyak keadaan lain, agama Islam dirujuk dan diiktiraf termasuk dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong menggunakan format dengan menyebut nama Allah seperti lafaz wallahi wabillahi watallahi.
Ia adalah sumpah syarie mengikut lunas undang-undang syariah. Dengan menggunakan nama Allah, kedua-dua baginda berazam akan mempertahankan agama Islam di negara ini pada setiap masa.
Dengan mengetepikan Islam, sudah tentu akan memecahkan sumpah Yang di-Pertuan Agong mempertahankan Islam. Malah Perdana Menteri dan kerajaannya juga wajib mempertahankan Islam sejajar sumpah itu. Mempertahankan Islam tanggungjawab Kerajaan.
DAP seharusnya menerima hakikat ini dan tidak berdolak dalik berselindung di bawah bayangan lampau. Adalah jelas Perlembagaan dan Malaysia bukan negara sekular kerana negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan pentadbiran.
Negara sekular meminggirkan agama tetapi Islam berulang kali disebut dalam Perlembagaan Persekutuan dan diberikan tempat yang tinggi. Beberapa kes diputuskan Mahkamah Persekutuan turut mengesahkan kedudukan istimewa agama Islam.
Kesimpulannya, Malaysia bukan negara sekular tetapi belum mencapai tahap menjadi sebuah negara Islam. Perkara ini tidak harus dibangkitkan lagi.
Apa yang penting ialah pengisian negara itu sama ada sejajar dengan Islam ataupun sebaliknya. Sanggupkah DAP, PKR, Pas isytihar pertahankan Perlembagaan?
BANYAK seruan dibangkitkan supaya orang Melayu bersatu untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan adalah sesuatu yang sangat luhur dan tidak sepatutnya dibiarkan diganggu-gugat oleh orang politik yang mempunyai kepentingan peribadi.
Perlembagaan adalah panduan hidup bermasyarakat dalam negara majmuk ini. Khabarnya, perancangan untuk mengubah Perlembagaan itu sudah dimulakan selepas pembangkang berjaya mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Mereka sudah berangan-angan bahawa langkah untuk menawan Putrajaya semakin hampir dan selepas cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) untuk membeli wakil rakyat Barisan Nasional (BN) gagal, maka perkara ini mula dirancang.
Kebetulan, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan gagasan 1Malaysia untuk mencapai perpaduan kaum pula diperalatkan sebagai saluran mendesak kesamarataan.
Jadi, kita kena berhati-hati. Sejak tahun 2008, kedudukan berkaitan dengan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu, hak keistimewaan Melayu, kontrak sosial dan kepentingan institusi-institusi awam yang terlindung di bawah Perlembagaan negara selalu diperlekehkan dan dihina.
Saya sedih, keharmonian dan perpaduan Barisan Nasional ketika era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, malah Tun Dr. Mahathir Mohamad kini semakin hilang.
Baru-baru ini, Mufti Perak, Harussani Zakaria mendedahkan tentang ada 'perlembagaan baru' dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan.
Saya bimbang, jika kerajaan tidak bertindak menggunakan kuasa yang ada padanya, kestabilan negara akan rosak dan punah.
Saya percaya usaha untuk menulis perlembagaan baru ini digerakkan oleh parti politik tertentu. Motifnya untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara republik.
Tetapi, walau apa pun usaha untuk menulis semula kandungan Perlembagaan, ia digerakkan dengan memburuk-burukkan institusi raja-raja kerana tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja semua pindaan tidak akan diluluskan. Sebab itu ada cubaan supaya orang Melayu sendiri membenci dan merobohkan institusi Raja-raja supaya senang mereka merungkai asas kenegaraan, bagi mengikut acuan gagasan parti tertentu.
Saya berasa hairan sikap mereka yang mengaku warga Malaysia yang mahu mencabul Perlembagaan negara.
Banyak pemimpin kaum minoriti di luar negara amat menjunjung perlembagaan. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama misalnya, sejak di awal penglibatan dalam politik berikrar mempertahankan perlembagaan dan tidak pernah tergelincir daripada asas tersebut. Di negara-negara lain juga senarionya begitu.
Maknanya, apa sekalipun aliran dan perbezaan ideologi di kalangan parti politik, perlembagaan sesebuah negara perlu dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira agama mahupun etnik.
Saya bersetuju dengan pandangan Awang Selamat di bawah tajuk Perlembagaan digugat? dalam Bisik-Bisik Mingguan, Ahad lalu yang mencabar para pemimpin pembangkang tampil menyatakan pendirian dan sekaligus berikrar untuk sama-sama mempertahankan dan menjunjung sepenuhnya Perlembagaan negara.
Sehingga kini saya belum membaca kenyataan daripada pemimpin parti pembangkang tentang usaha mempertahankan Perlembagaan.
Saya teringin mendengar kenyataan mengenai kesanggupan dan ikrar pemimpin DAP, PKR dan Pas untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Jika mereka enggan atau berdolak-dalih, jelaslah mereka mempunyai agenda yang sedang kita perkatakan ini.
No comments:
Post a Comment