Puasa merupakan satu latihan untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, juga menyambung hubungan silaturrahim, bukan bertujuan membawa kepada keganasan atau perpecahan ummah. Orang yang berpuasa sudah tentu jiwanya akan menjadi lembut, suci, halus, dan penuh kasih sayang. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemudaratan, apatah lagi mewujudkan suasana yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan hidup umat Islam di negara ini.
Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain. Nabi Muhammad saw telah membuktikan hakikat tersebut di dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia. Sikap jujur, toleransi, dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekali gus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada dari kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.
Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia, jalan kekerasan atau menolak keharmonian hidup pada umumnya berakhir dengan kegagalan, apalagi jika falsafah yang digunakan adalah kebencian dan fanatisme. Menempuh jalan radikal sama maknanya dengan harakiri, suatu perbuatan yang hanya mungkin dilakukan oleh golongan yang sesak nafas kerana tidak berani hidup secara harmoni. Berfikir secara radikal itu adalah cara berfikir manusia pengecut. Padahal, al-Quran itu amat menitikberatkan kehidupan yang sejahtera dan aman damai.
Amat dikhuatiri sikap tidak ingin bersatu adalah sebagai petanda pengecut dalam menghadapi kehidupan yang sentiasa menuntut kita mengisi atau memaknakan dengan alam ini dengan suasana sejahtera, makmur dan penuh kesederhanaan. Kita seharusnya menggunakan akal batin yang sihat lagi waras untuk bersama-sama mencipta satu suasana kehidupan yang ceria dan harmoni, terbuka, serta lapang dada. Bukan kehidupan gelap, tertutup dan jelik. Bukankah Nabi Muhammad saw di utus Allah swt untuk membawa rahmat bagi semesta alam?
Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat disejajarkan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya." (Ali-Imran: 103)
Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam - di mana yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama mana-mana pun, tetapi Allah swt sendiri. Begitu pentingnya persaudaraan dan persatuan sehingga Allah sendiri mengajar kepada hamba-Nya akan doa memelihara persaudaraan dan persatuan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Ya Tuhan, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang lebih dahulu beriman daripada kami, dan janganlah Engkau menjadikan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." (Al-Hasyr: 10).
Perdamaian
Damai dan perdamaian atau salam menjadi tujuan hidup setiap muslim kerana Allah mengajak ke Dar Al-Salam (lihat al-Quran, Surah Yunus, ayat 10). Tanpa Al-Salam, iaitu Allah swt atau tanpa salam yang bererti "damai" dalam jiwa manusia serta dalam interaksinya, maka segalanya akan rosak, bahkan tiada lagi kehidupan itu. Kedamaian dan ketabahan harus dilakukan, antara lain dalam menghadapi diri sendiri serta berusaha mewujudkan kedamaian dalam hati masing-masing. Kedamaian tidak mungkin tercipta dalam masyarakat sebelum ia bersemai dalam diri anggota manusia. Bagaimana kita dapat memberi kedamaian kalau kita sendiri tidak memilikinya?
Damai yang dikehendaki Islam bukan hanya yang bersifat lahiriah, tetapi juga batiniah, termasuk menghindarkan hati dari segala aib dan kekurangan, dengki atau hasad, menghasut serta segala macam kehendak negatif terhadap pihak lain. Demikian juga menurut Al-Ghazali: "Siapa yang selamat hatinya daripada hal-hal tersebut, maka akan selamat pula anggota badannya dari segala kejahatan dan selamat pula hatinya daripada kesesatan, dan dengan demikian dia akan datang menghadap Allah dengan hati yang selamat."
Membaca, menghayati dan mengamalkan petunjuk-petunjuk al-Quran adalah jalan memperolehi kedamaian. Ini kerana al-Quran adalah petunjuk yang diturunkan oleh Allah swt yang menyatakan diri-Nya sebagai, "Mengajak ke negeri yang damai." (Lihat al-Quran, Surah Yunus, ayat 10) Sesungguhnya Allah swt telah mensyariatkan perkara-perkara yang menjadikan umat ini bersatu dan saling mencintai. Demikian juga Allah swt telah melarang berbagai-bagai perkara yang akan merosakkan hubungan sesama kaum Muslimin. Di antaranya sifat yang dilarang oleh Allah adalah su-uzhan (prasangka buruk) kepada orang mukmin yang zahirnya baik. Pada hakikat perbezaan aliran dalam politik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya.
Sikap fanatik atau taksub yang menyelimuti diri, acap kali membutakan mata dari segala kebaikan yang dilakukan oleh orang-orang yang berbeza pandangan dengannya. Sebagaimana kata pepatah: "Dan prasangka baik cenderung menafikan segala keburukan. Sebagaimana prasangka buruk cenderung melebih-lebihkan keburukan".
Orang yang taksub kepada kelompoknya juga walaupun melihat sesuatu perbuatan baik, tidak akan keluar dari mulutnya kata-kata pujian kecuali yang melakukannya termasuklah dari golongan atau orang yang bersefahaman dengannya.
No comments:
Post a Comment