Sebelum perang....
Apa akan jadi pada ibukota di atas sekiranya berlaku "Perang Besar"....
Ini adalah article Saudara Zaini Hassan (Utusan Malaysia). Kita baca dan hayati serta fahamkan mengapa kita mesti mengelakkan perkara ini terjadi di Malaysia...
GAGASAN 1Malaysia cukup menarik. Ia dapat mengelakkan 'perang besar' sebagaimana kebimbangan Mufti Perak, Tuan Guru Harrussani Zakaria walaupun malam tadi beliau tiba-tiba menukar perkataan perang kepada perkataan 'heboh', saya merasakan magnitudenya adalah sama.
'Perang besar' boleh berlaku di Malaysia jika kerajaan gagal menangani isu perkauman yang bebas diperdebatkan secara terbuka sekarang.
Kita tidak perlu bercakap mengenai tragedi 13 Mei 1969, kerana itu hanyalah konflik melibatkan kegelisahan kaum atau social unrest yang kecil sahaja. Kini kita bercakap mengenai 'perang besar' yang boleh meletus, jika keadaan gagal dikawal (oleh kerajaan).
Pelbagai pihak kini sedang membakar semangat antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ia termasuklah cubaan untuk menukar Perlembagaan Malaysia sekarang kepada satu Perlembagaan yang baru.
Apakah cubaan itu dilakukan kerana pihak-pihak tertentu itu merasakan mereka sudah cukup besar kepala? Apakah cubaan itu dilakukan kerana mereka merasakan kerajaan yang ada sekarang akan tumbang dua tahun lagi?
Jika benar wujudnya dokumen seperti itu, maka benarkan andaian itu. Ini kerana mereka terlalu yakin mereka boleh memerintah kerana pegangan politik Melayu yang dibela oleh Perlembagaan lama, semakin luntur dan mulai terhakis.
Satu lakaran baru Perlembagaan Malaysia perlu ditulis cepat bagi menggantikan Perlembagaan lama yang mereka anggap lapuk sebagai persiapan seandainya mereka memerintah kelak. Mereka mahu melukis semula Perlembagaan atas nama sama-rata dan mengeluarkan istilah kontrak sosial, agama Islam - dan mungkin kedudukan raja-raja Melayu - yang bunyinya bagi mereka terlalu kolot?
Harussani yang mendedahkan kewujudan Perlembagan baru itu menjelaskan: ''Perlembagan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang."
Orang yang mempunyai idea ini cukup berbahaya. Kerajaan harus menanganinya, jika ia terbukti benar, bagi mengelakkan tercetusnya 'perang besar'. Saya, kita dan semua rakyat Malaysia terlalu takut untuk menghadapi situasi 'perang besar' itu. Tiada tempat yang boleh saya lari jika tercetusnya 'perang besar' itu. Bolehkah saya lari ke Singapura, Australia atau New Zealand? Saya tiada sesiapa di situ, apatah lagi tanah sekangkang kera.
Jika ia berlaku, maka ia akan tetap berlaku. Hanya Tuhan Yang Maha Esa sahaja yang akan menentukan nasib negara ini. Jika itu yang Dia mahukan, maka jadilah 'perang besar'.
Tapi, siapa yang akan untung jika berlaku 'perang besar' itu. Orang Melayu, Cina, India atau Pribumi lain? Sekali lagi hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahuinya.
Malaysia sebenarnya dibentuk oleh satu denominasi yang berbeza. Bukan satu, tapi membabitkan pelbagai kaum dan warna kulit serta anutan kepercayaan yang berlainan.
Sukar untuk membentuknya untuk menjadi satu denominasi yang unggul. Usaha ke arah itu sedang dilakukan melalui gagasan 1Malaysia. Mungkin akan tercapai 50 ke 100 tahun lagi, bukan semalaman sebagaimana kepercayaan kebanyakan orang sekarang?
Bangsa Amerika mengambil masa selama 250 tahun untuk melantik seorang yang berkulit hitam sebagai Presiden mereka. Tapi ada syaratnya juga. Orang berkulit hitam itu haruslah seorang yang beragama sama dengan kaum dominan kulit putih. Bolehkah Presiden Amerika seorang yang beragama Islam, misalnya? Mungkin boleh, tapi ia memerlukan 250 tahun lagi?
Kaum Arab, walau macam mana sekali pun mereka berperang mereka masih Arab - satu bahasa, satu agama mungkin sedikit berbeza dari segi aliran mazhab. Begitu juga dengan bangsa Jepun, China dan India. Walaupun mereka bergaduh sekalipun mereka masih merupakan satu denominasi yang unggul, sama warna kulit dan yang penting sama agama.
Tapi, di Malaysia ia berbeza. Melayu, Cina dan India dengan majoritinya (setakat ini masih) Melayu hidup dalam satu negara. Jika kerajaan yang dipimpin oleh majoriti itu kuat, ia hanya boleh mengharmonikan keadaan sahaja. Itu pun jika majoriti itu dapat diterima oleh sesama majoritinya yang lain.
Selama beberapa dekad ini Malaysia cukup harmoni. Melayu, Cina dan India serta Pribumi lain hidup dengan harmoni kerana majoriti yang memimpin mereka itu kuat. Namun, sejak kebelakangan ini situasinya sudah berbeza. Ada golongan mahu menangguk di air keruh setelah melihat sistem pertahanan golongan majoriti itu mulai melayu.
Masing-masing mula mahu menegakkan hak masing-masing. Mereka mahu lebih. Masing-masing mahu kelihatan mereka itu dominan. Kaum Y berkompromi dengan Kaum Z untuk menjatuhkan Kaum X bagi membolehkan, mungkin, Kaum Y menguasai negara ini. Jika Kaum Y tidak berkuasa pun mereka mahu diberi peranan yang lebih lagi.
Maka itu, pelbagai taktik halus yang cukup strategik sedang dirangka secara teliti untuk membolehkan cita-cita itu dicapai. Rakyat harus dikelirukan. Kaum X,Y dan Z harus dikelirukan. Golongan majoriti yang terkeliru itu kini tercari-cari ranting untuk berpaut. Jika mereka merasakan Kaum Y itu kuat maka majoriti yang sudah minoriti itu akan menyambarnya.
Amat malang sekali kaum majoriti yang kuat satu ketika dulu kerana keupayaannya dapat mengharmonikan X,Y,Z tadi tiba-tiba menjadi minoriti. Mereka sudah berpecah-pecah. Malah ada yang sudah berani dan terbuka mempersendakan dasar DEB yang dibuat khusus untuk kaum majoriti itu dulu!
Tapi persoalan besarnya sekarang, apakah kaum yang dikalahkan tadi akan berdiam diri? Apakah pada ketika itu situasi yang kita semua tidak mahu ia berlaku, akan berlaku?
No comments:
Post a Comment