Adakah konsep 1 Malaysia ini akan menjadi realiti?
Oleh Teo Kok Seong
2010/09/01
Bukan Melayu sepatutnya sudah sebati dengan citra negaraPERASAAN perkauman dalam apa jua bentuk terhadap mana-mana kaum, lebih-lebih lagi dalam konteks 1Malaysia yang menganjurkan perpaduan utuh, adalah tidak wajar sama sekali. Perasaan ini boleh mewujudkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Ia boleh menggugat kestabilan yang akhirnya memberi kesan buruk kepada kemajuan bangsa dan negara.
Namun di sebaliknya perasaan perkauman ini, satu percubaan untuk memahaminya dari pelbagai aspek perlu dimulakan dengan nawaitu memperbetul keadaan supaya kejadian sebegini dapat dikurangkan, walaupun tidak dapat dihapus. Laporan polis, kecaman pelbagai pihak, permohonan maaf pihak terbabit serta tindakan yang diambil terhadap mereka mengeluarkan komen perkauman adalah hanya jalan penyelesaian sementara.
Untuk jangka panjang dalam konteks perpaduan utuh, perkara ini yang tidak harus berlaku selepas 53 tahun pembinaan negara bangsa Malaysia, perlu diselidiki segera sedalam-dalamnya oleh semua pihak dengan hati terbuka. Satu pemahaman yang ikhlas perlu dicari sebelum ia menjadi masalah dalam hubungan etnik di Malaysia.
Kelompok bukan Melayu, misalnya Cina bukan saja marah, tetapi terhina apabila mereka khususnya golongan muda masih dirujuk sebagai pendatang dan lain-lain yang membawa pengertian begitu. Bagi mereka, tidak wajar sebagai rakyat malah selaku warga negara Malaysia, bukan Melayu masih tidak mahu diiktiraf sebagai sebahagian yang sah dalam populasi Malaysia, lebih-lebih lagi mengenai nasionaliti Malaysia mereka. Persoalannya adakah patut mereka masih dianggap orang asing di negara sendiri.
Bagi kelompok Melayu, mengapakah perasaan kurang senang hati ini diluahkan dari semasa ke semasa, walaupun dalam kejadian terpencil. Persoalannya bagi mereka, sesetengah bukan Melayu, khususnya golongan muda mempamerkan imej tidak watan seperti resmi yang dibawa kelompok awal. Sejauh manakah hal ini benar?
Bukan Melayu tidak harus cepat melenting terhadap persepsi begini. Mereka perlu muhasabah untuk memastikan sama ada persepsi kelompok Melayu itu benar atau sebaliknya. Jika benar, sikap sebegitu perlu diperbetul. Jika keadaan sebaliknya, pihak yang mendakwa pula yang perlu memperbetul sikap mereka.
Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan kini ramai bukan Melayu, misalnya Cina yang kurang mampu membawa diri sebagai kelompok yang sudah lama bermastautin di Malaysia. Sebagai contoh, ramai yang tidak boleh berbahasa Melayu, yakni bahasa kebangsaan dengan baik. Lebih malang ada anak muda yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia tidak dapat berbahasa kebangsaan langsung. Barangkali mereka boleh, tetapi tidak suka berbahasa Melayu.
Hal begini tidak patut berlaku. Tetapi ia terjadi. Apakah sebenarnya berlaku sehingga elemen kerakyatan yang asas ini terabai dalam sesetengah warga negara Malaysia. Hal ini perlu bukan saja diinsafi, tetapi cuba diselesaikan pemimpin bukan Melayu. Isu ini bertambah rumit apabila kecekapan berbahasa kebangsaan mereka ini dibandingkan dengan kefasihan pekerja asing. Di sinilah nasionaliti Malaysia tidak dapat dipertahan, malah boleh dipersoal.
Tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai warga negara, seseorang wajib mempunyai pengetahuan serta penguasaan baik mengenai bahasa kebangsaan negaranya. Untuk memperoleh kerakyatan negara ini, bukan Melayu pada masa dulu perlu lulus ujian Bahasa Melayu. Begitu juga ketika ini untuk mereka yang belum dan ingin memiliki kerakyatan Malaysia.
Selain soal bahasa, kealpaan kelompok bukan Melayu mengenai ehwal negara, khususnya yang bersifat nasionalisitik serta kurangnya pembabitan dalam kehidupan nasional sebegini, ikut merumitkan lagi keadaan. Masih ramai yang tidak mengenali simbol nasional sama ada dalam bentuk individu atau benda pada masa kini atau lampau, sebagai ikon kedaulatan dan kebanggaan negara.
Dengan kata lain, masih ada mereka yang tidak berkongsi aspirasi nasional sepunya dengan kelompok Melayu, lebih-lebih lagi berkaitan citra nasional. Sesungguhnya kelompok Melayu selaku penduduk asal ingin melihat penghayatan lebih tulen bukan Melayu terhadap semangat peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Inilah sebenarnya antara sebab komen perkauman, terutama pendatang terus dilemparkan kepada bukan Melayu.
Sebaliknya, bukan Melayu yang memperlihat kebolehan berbahasa Melayu dengan baik, mempunyai pengetahuan dan pemahaman baik mengenai budaya Melayu dan banyak melalui kehidupan nasional yang berteraskan Melayu, tidak pernah sekali-kali dirujuk sebagai pendatang.
Masyarakat bukan Melayu di Kelantan dan Terengganu misalnya, bukan saja disayangi Melayu setempat, tetapi mereka ikut dirujuk sebagai ‘orang kita’. Natijah di sini ialah bukan Melayu yang lebih menonjolkan identiti etnik perlu mengimbanginya dengan identiti nasional yang berteraskan Melayu. Penonjolan hanya identiti etnik boleh menyebabkan mereka terus dianggap orang asing, walaupun di tanah air sendiri.
Sudah sampai masa melalui 1Malaysia, kedua-dua kelompok ini memperbaharui tekad untuk bersatu dengan lebih tulen. Tema bersatu dalam kepelbagaian menerusi 1Malaysia, membenarkan setiap etnik meneruskan cara hidup masing-masing, di samping keperluan menonjolkan identiti nasional.
Dengan menonjolkan identiti nasional yang tidak dapat lari daripada teras Melayu, kelompok bukan Melayu, misalnya Cina tidak sekali-kali kehilangan atau kekurangan identiti etnik Cina mereka kerana Malaysia mengamalkan dasar kepelbagaian budaya. Ini dapat dilihat pada kebebasan dinikmati dalam pengamalan adat resam masing-masing yang ikut merangkumi pendidikan dalam bahasa ibunda.
Aspirasi rakyat negara berdaulat termasuklah Malaysia, lebih-lebih lagi daripada penduduk asalnya, adalah melihat keperibadian watan ikut diangkat oleh semua warganya ketika menonjolkan jati diri kebangsaan. Ini penting untuk maruah, selain citra negara. Dalam kes Malaysia, ini perlu untuk menegaskannya sebagai negara majmuk yang terasnya adalah Melayu.
No comments:
Post a Comment