|
Beberapa cadangan daripada 12 tuntutan yang dibuat oleh kongres itu tersasar daripada nilai-nilai ekonomi apabila dilihat lebih berbaur kepada tuntutan politik berasaskan kaum. Paling mengejutkan apabila kongres berkenaan menuntut supaya ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua ekonomi dikurangkan secara berperingkat.
Tuntutan lain adalah supaya kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera mencapai matlamat.
Turut disentuh adalah peranan syarikat milik kerajaan (GLC) supaya membuka lebih banyak ruang kepada bukan bumiputera dan tenaga pakar luar menganggotai ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Tujuannya bagi melestarikan perkongsian kepakaran. Jika boleh dibuat perbandingan, resolusi yang dicadangkan oleh Kongres Ekonomi Cina itu adalah satu pertentangan 180 darjah dengan apa yang yang dicapai semasa Kongres Ekonomi Bumiputera yang berlangsung pada Mei lalu.
Kongres anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu antara lain menggesa supaya pengagihan kekayaan negara mengikut komposisi kaum iaitu 67 peratus kepada bumiputera manakala bakinya, 33 peratus kepada bukan bumiputera.
Resolusi itu turut memasukkan gesaan supaya kerajaan mendapatkan aku janji daripada sektor swasta bagi menghapuskan diskriminasi terhadap bumiputera.
Peranan Petronas turut ditekankan dalam resolusi itu apabila Kongres Ekonomi Melayu mahukan syarikat minyak dan gas berkenaan tidak meminggirkan bumiputera dalam pengurusan dan pemberian kontrak perkhidmatan.
Meletakkan tuntutan daripada kedua-dua kongres itu sebelah-menyebelah, bakal menyebabkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam keadaan serba salah.
Antara tuntutan politik dan ekonomi, kedua-duanya mempunyai kesan dan pengaruh yang besar serta perlu diberikan perhatian. Apatah lagi ketika ini masyarakat Cina dilihat berjaya memainkan peranan mendesak kerajaan agar patuh pada kemahuan mereka sekiranya mengharapkan undi pada pilihan raya kelak.
Namun sesuatu yang pasti, seandainya tuntutan mereka itu tidak dipenuhi sekali pun, masyarakat Cina tidak akan menanggung apa-apa kerugian. Kek ekonomi yang dikuasai mereka juga tidak sedikit pun terganggu, jauh sekali akan berkurangan.
Kerana itu tidak sukar untuk menilai tuntutan sedemikan tidaklah sepenuhnya atas kesedaran ekonomi masyarakat Cina. Sebaliknya, ia lebih menjurus kepada kepentingan politik.
Inilah sebenarnya yang sangat dikesalkan Barisan Nasional (BN) yang mengharapkan peranan MCA dalam menyeimbangkan tuntutan yang dibuat pembangkang terutamanya DAP.
Apatah lagi sejak kebelakangan ini, tuntutan yang melanggar kontrak sosial seperti itu acap kali disuarakan sehingga menimbulkan kegelisahan orang Melayu. Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek pasti menyedari kaum bumiputera masih lagi terguris dengan desakan DAP Selangor untuk menghapuskan tujuh peratus diskaun bagi pembelian rumah berharga RM500,000 ke atas.
Maka tuntutan yang lebih keras seperti yang dicadangkan oleh kongres berkenaan hanya memperlihatkan rasa tamak masyarakat ekonomi bukan bumiputera dalam menguasai kekayaan negara.
Alangkah baiknya jika masyarakat ekonomi Cina melihat toleransi dasar kerajaan seperti DEB dan Model Baru Ekonomi (MBE) itu atas semangat menjaga keharmonian dan perpaduan antara kaum.
Ia juga bagi memastikan pengagihan kekayaan negara dapat dilakukan dengan adil dan tidak mewujudkan jurang yang begitu ketara antara ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera.
Apa yang turut dikesalkan ialah tuntutan itu sebenarnya tidak pernah pun menjadi milik kaum bumiputera. Memang secara dasarnya kuota 30 peratus kekayaan negara kepada bumiputera itu termaktub di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Namun sejak dasar itu dilaksanakan lebih 30 tahun lalu, pemilikan ekuiti kaum bumiputera tidak pernah berjaya mencapai tahap itu. Kaum bumiputera hanya menguasai kira-kira 19 peratus pegangan ekuiti, berbanding dengan kaum-kaum lain iaitu sehingga 40 peratus.
Begitu juga dengan petunjuk ekonomi yang lain seperti taraf hidup, pekerjaan, pemilikan hartanah dan banyak lagi. Kaum bumiputera masih jauh terkebelakang dan memerlukan masa yang panjang untuk bersaing dengan kekuatan ekonomi bukan bumiputera.
Maka, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan survival ekonomi masyarakat bumiputera sementelah mereka juga merupakan golongan majoriti. Fakta-fakta sebegini bukan tidak pernah difahami oleh Soi Lek atau kaum bukan bumiputera lainnya.
Realitinya juga boleh dilihat dengan ketara tanpa perlu ada kepada sebuah kajian saintifik sekali pun. Seharusnya Soi Lek sebagai pemimpin parti komponen dalam kerajaan berganding bahu dalam merakyatkan dan memasyarakatkan ekonomi negara.
Kenapa tidak dicadangkan supaya masyarakat peniaga Cina lebih adil kepada peniaga Melayu? Antaranya seperti membuka peluang perniagaan yang sama rata atau mengajak peniaga Melayu bersama-sama dalam cabang perniagaan yang selama ini dikuasai oleh peniaga Cina.
Ini kerana apa yang berlaku ketika ini terdapat peniaga Cina yang menutup rapat pintu kerjasama dengan peniaga Melayu. Ini menyebabkan peniaga Melayu gagal menembusi beberapa peluang perniagaan kritikal dan berprestasi tinggi kerana tiadanya jaringan yang kukuh.
Kenapa juga tidak dicadangkan supaya 50 peratus kekayaan negara yang dikuasai bukan bumiputera ketika ini dikurangkan sedikit dan diagihkan kepada bumiputera? Bukankah ini sebenarnya merupakan satu langkah yang lebih tepat dalam mewujudkan masyarakat ekonomi yang adil?
Sementelah kekayaan yang turut dikongsi dengan kaum lain secara sama rata juga akan memberi kelebihan kepada peniaga Cina sendiri apabila peluang dan keuntungan perniagaan mereka menjadi lebih tinggi.
Tetapi malangnya disebabkan idea sebegini bermaksud bukan bumiputera perlu berkongsi kekayaan dengan masyarakat bumiputera, maka ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Maka, adilkah begitu?
Di sebalik semua itu, MCA juga sebenarnya memberi mesej yang jelas kepada orang Melayu terutama dari sudut kesepakatan dalam politik. MCA tidak kisah memanjangkan tuntutan DAP jika ia dilihat boleh menjamin survival dan kepentingan kaum Cina.
Meskipun MCA menyedari tuntutan itu boleh menyinggung hati dan perasaan kaum lain serta parti komponen di dalam BN sendiri. Tetapi semangat dan keberanian yang serupa tidak ada di dalam parti-parti politik Melayu.
Meskipun hak dan keistimewaan bumiputera dipertikai satu persatu, namun penyatuan di kalangan parti Melayu terlalu mustahil untuk dijelmakan. Perbezaan ideologi yang begitu menebal semakin membuka lebih banyak kelemahan dan kepincangan di kalangan orang Melayu.
Inilah yang menjadi penyebab mengapa hak dan keistimewaan itu terus dicabar kerana kaum bukan bumiputera melihat orang Melayu tidak mungkin akan bersatu.
No comments:
Post a Comment