Monday, August 2, 2010

Kembali ke kampung bukan untuk tumpang tuah orang tua


MOHD. Mazni Rais mengecat sebuah kereta di bengkelnya di Felda Kechau Satu, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.









KUALA LIPIS 2 Ogos - Kerajaan menyediakan pelbagai peluang kepada peneroka dan anak-anak mereka untuk memajukan diri sekali gus keluar daripada kemelut kemiskinan.

Bagi anak-anak peneroka atau lebih dikenali sebagai generasi kedua Felda, mereka perlu berusaha sendiri merebut peluang yang terhidang di tanah rancangan sama ada dengan membabitkan diri dalam sektor perladangan atau perusahaan tertentu.

Menyedari hakikat itu, seorang pengusaha bengkel mengecat kereta di Felda Kechau Satu menggunakan segala peluang yang disediakan Felda untuk mengubah kehidupan tanpa mengharapkan bantuan orang tuanya.

Menurut Mohd. Mazni Rais (gambar), 42, kemahiran mengecat kereta yang dimilikinya mampu mengubah kehidupannya tanpa perlu bergantung kepada tanah ladang yang dimiliki ibu bapanya.

''Dalam usia yang muda pelbagai peluang perlu direbut dan kita harus berinovasi jika ingin berjaya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Felda Kechau Satu baru-baru ini.

Mohd. Mazni memberitahu, dia membuka bengkel mengecat kereta dengan modal sebanyak RM10,000 di Felda Kechau Satu sejak 1997.

''Pada peringkat awal, agak sukar untuk memperoleh pelanggan apatah lagi wujudnya persaingan di Kuala Lipis dan kawasan Gugusan Felda Kechau sendiri.

''Berkat keyakinan dan usaha bersungguh-sungguh di samping menjaga kualiti perkhidmatan, akhirnya saya memperoleh ramai pelanggan untuk mengecat kereta," katanya.

Pada peringkat awal juga, dia berhadapan dengan masalah kewangan untuk membesarkan perniagaannya apabila negara mengalami kegawatan ekonomi pada 1997.

Mohd. Mazni bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih kepada Felda yang menyediakan bantuan bernilai RM5,000 menerusi Skim Inisiatif Usahawan Felda (SIUF) yang membantu perniagaannya bertahan hingga kini.

Sebelum membuka bengkel di Felda Kechau Satu, Mohd. Mazni mendapatkan kemahiran dalam bidang kimpalan dan mengecat kereta daripada Pusat GiatMara.

Selepas tamat latihan kemahiran di Pusat GiatMara, dia menimba pengalaman dengan bekerja di DRB Hicom, Shah Alam, Selangor dan Pekan selama beberapa tahun sebelum kembali ke Felda Kechau Satu untuk membuka bengkel sendiri.

Dalam tempoh sebulan, dia berupaya mengecat empat buah kereta dengan memperoleh pendapatan antara RM1,200 hingga RM2,000 untuk sebuah kenderaan termasuk kimpalan dan kerosakan lain.

''Saya kembali ke kampung bukan untuk menumpang tuah orang tua tetapi ingin berdikari menerusi bidang keusahawanan apabila Felda sendiri menawarkan pelbagai peluang peniagaan.

''Kini saya membuktikan bahawa jika kita merebut segala peluang yang ada, kita mampu mencapai kejayaan," jelasnya.

Bapa kepada empat anak itu berhasrat memperluaskan perniagaan dengan menjual alat ganti kenderaan di samping melatih belia Felda Kechau Satu dalam bidang kemahiran untuk mengurangkan pengangguran.

''Ilmu dan kemahiran perlu dikongsi agar anak-anak peneroka dan belia di Felda Kechau Satu boleh berdikari dalam bidang keusahawanan setanding kaum lain," katanya.

No comments:

Post a Comment