Saturday, September 18, 2010

Najib ada cara.....


http://pinkturtle2.files.wordpress.com/2008/09/najib.jpg

SETIAP pemimpin ada pendekatan dan gaya kepimpinan tersendiri. Begitu jugalah Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak.

Beliau mengambilalih teraju pentadbiran dalam pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) - era yang jauh lebih sukar berbanding sebelum ini.

Semua orang boleh memberikan apa sahaja analisis. Bercakap dari luar memang mudah, yang menanggungnya adalah Perdana Menteri.

Najib mewarisi banyak permasalahan negara menjadikan beban tugas beliau amat berat.

Ekoran keputusan PRU12, pembangkang mendapat keyakinan baru termasuk bagi menawan Kerajaan Pusat pada PRU13.

Senario paling ketara, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu lebih lantang dan tersusun dalam mengemukakan tuntutan mereka.

Tekanan dan asakan terhadap Barisan Nasional (BN) semakin kuat. Setakat hari ini, pendirian majoriti masyarakat Cina yang menolak kerajaan pada PRU12, masih belum berubah.

Persoalannya apakah BN perlu berputus asa dan membuat rumusan seolah-olah pengundi Cina akan tetap menolak bulat-bulat BN?

Awang percaya Najib ada cara bagi menangani cabaran ini. Beliau masih mempunyai masa yang mencukupi untuk meleraikan segala kebuntuan. Peluang tetap terbuka luas asalkan strateginya terbaik.

Awang yakin setidak-tidak 35 peratus pengundi Cina akan kembali menyokong BN. Ia menuntut kebijaksanaan dan kesederhanaan berpolitik. Emosi tidak akan membantu.

Sebagai seorang yang sentiasa tenang dan harmonis dalam pendekatannya, Awang nampak beliau akan dapat mengembalikan sokongan semua kaum kepada BN tanpa mengorbankan asas kenegaraan.

Bagaimana pula tentang kepentingan dan masa depan Melayu sebagaimana yang dikhuatiri oleh banyak NGO terutama Perkasa?

Awang harap orang Melayu tidak dilanda sindrom ketakutan berlebihan walaupun ada asas untuk mereka merasa gundah.. Najib adalah Presiden UMNO, sudah tentu beliau mahu memberi impak istimewa kepada parti yang dipimpinnya.

Beliau juga mempunyai formula tertentu bagi melonjakkan pencapaian Melayu dan bumiputera selain menjadi pelindung kepada kepentingan kaum tersebut. Rasanya tidak perlu untuk beliau memperihalkan segala apa yang telah beliau lakukan setakat ini untuk kaum bumiputera. Masa akan membuktikannya.

Namun pada peringkat ini, lihatlah cabaran yang dihadapi oleh UMNO dalam perspektif lebih besar dan menyeluruh. Mengurus sebuah parti komponen pelbagai kaum dan menjadi kerajaan, adalah lebih rumit daripada mengurus sebuah NGO.

Pun begitu realitinya hari ini, UMNO terus kuat lebih-lebih lagi selepas Najib mengambil alih kepimpinan. Semua itu bukan datang secara kebetulan. Ia berkait rapat dengan kepimpinan. Sebab itu, sejak dahulu lagi Awang yakin kepada Najib. Di sebalik apa sahaja mainan persepsi,

UMNO tetap menjadi sandaran utama orang Melayu, yang hakikatnya diakui oleh parti kawan mahu pun lawan.

Awang juga bersyukur dan lega kerana Najib telah menggariskan pendiriannya yang tidak mahu melihat UMNO berkonflik dengan NGO Melayu termasuk Perkasa. Pendiriannya itu sudah cukup untuk memberikan isyarat kepada semua pihak termasuk orang Melayu.

Menilai semua ini, Awang tidak nampak Najib tersilap percaturan. Beliau masih berada di landasan - belum sedikitpun tergelincir - bagi menjalankan tanggungjawabnya apatah lagi untuk kepentingan politik Melayu.

Biarpun begitu, Najib tidak mampu melakukannya sendirian. Ia menuntut sokongan dan pengertian semua demi misi besar untuk keharmonian negara.

No comments:

Post a Comment