Friday, September 17, 2010

Mengapa harus marah lagi

Semua kaum patut syukur kemakmuran diperjuangkan BN


ADAKAH rakyat masih marah kepada kerajaan? Hari ini, tidak ada siapa yang boleh menjawabnya dengan tepat. Sebarang jawapan sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ hanyalah berasaskan kepada ‘agak-agak’ saja. Sekali pun ada kajian saintifik, hasilnya juga mungkin diragui kerana responden mungkin tidak menyatakan yang benar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), memang ramai rakyat, khasnya pengundi marahkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini dibuktikan menerusi keputusan peti undi apabila ramai calon BN tewas. Inilah yang dikatakan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
PRU-13 akan datang adalah kayu pengukur paling sesuai untuk mengetahui tahap kemarahan rakyat sama ada suhunya masih panas atau sudah reda atau berada pada paras normal. Bagi kerajaan BN, apa hal pun, ia tidak boleh mengambil risiko untuk mengadakan pilihan raya selagi belum benar-benar pasti mengenai suhu kemarahan dan penerimaan rakyat.

Untuk reda sepenuhnya, ia adalah mustahil kerana di dunia ini tidak satu negara pun yang rakyatnya memberi sokongan seratus peratus kepada kerajaannya, apatah lagi di negara demokrasi. Parti pembangkang pula akan menggunakan apa cara sekalipun untuk memburuk-burukkan kerajaan. Mereka akan membangkang apa saja atas nama perjuangan politik mereka.

Dalam kajian pilihan raya, kemarahan utama rakyat terhadap kerajaan yang memerintah biasanya disebabkan kepada beberapa perkara utama termasuk soal perumahan, pekerjaan, pelajaran dan kesihatan.

Kebanyakan kerajaan di dunia memastikan, isu-isu ini diberi perhatian wajar. Yang lain adalah isu politik yang dipolitikkan. Soal kemiskinan juga bukan isu utama pilihan raya sejak dulu lagi. Ini adalah masalah yang menjadi perjuangan berterusan kerajaan dan sudah tidak menjadi isu lagi di Malaysia.
Di negara ini, rakyat miskin diberi pembelaan, manakala semiskin-miskin rakyat sekali pun, mereka tidak akan mati kebuluran.

Cuma di Malaysia ini semua perkara jadi isu sebab bercampur aduk dengan politik. Isu kaum menjadi isu penting kebelakangan ini disebabkan masing-masing kaum mempunyai kuasa undi. Ketika merdeka, isu ini tidak dihebohkan. Harga barang juga dijadikan isu besar oleh parti politik yang boleh memberi kesan kepada kerajaan. Begitu juga soal cukai, subsidi dan sebagainya.

Ketika beri subsidi pemimpin ketika itu kata ia bertujuan untuk meringankan beban rakyat, tetapi apabila berlaku perubahan dasar tidak ada alasan yang boleh diterima. Semua ini menjadi bahan eksploitasi politik parti pembangkang.

Tapi, jika kerajaan gagal beri tempat tinggal yang sempurna kepada rakyat, mereka akan bantah, jika kerajaan gagal atasi masalah pengangguran, rakyat akan bangkit. Begitu juga jika kerajaan gagal beri kemudahan pelajaran dan kesihatan yang sempurna kepada rakyat.

Sekiranya pengundi memilih kerajaan berasaskan kepada isu utama – pekerjaan, pelajaran, perumahan dan kesihatan, BN tidak ada masalah mempertahankan kerajaan. Semua masalah itu sememangnya diberi perhatian sejak sekian lama, khasnya selepas merdeka. Isu lain termasuk keselamatan dan menyediakan kemudahan awam, adalah tugas wajib setiap kerajaan.

Ikut syarat, tidak ada sebab rakyat perlu marah kepada kerajaan kerana sudah ramai yang duduk di rumah batu, sekurang-kurangnya di rumah pangsa yang lebih selesa daripada rumah setinggan. Isu setinggan pun sudah lama tidak kedengaran.

Mengambil kira suasana balik kampung pada hari raya lalu rasanya rakyat sudah tidak ada sebab nak marah kerajaan lagi. Sekarang di kampung pun penuh sesak dengan kenderaan. Di depan rumah penduduk kampung beratur kereta anak-anak yang pulang berhari raya bersama keluarga.

Maksudnya ramai anak dari kampung hidup senang berbanding kehidupan ibu dan ayah mereka. Jika ayah mereka berkebun atau menjadi buruh majlis bandaran, anak mereka pula menjadi pegawai tinggi kerajaan atau swasta.

Sebetulnya mereka yang membangkang kerajaan pun tidak ada sebab untuk marahkan kerajaan kerana mereka juga hidup senang. Mereka berkereta dan rumah besar, bekerja makan gaji atau berniaga tanpa masalah.

Mereka marah dan ajak rakyat sekali marah kerajaan atas sebab-sebab politik dengan matlamat untuk memerintah. Ini menunjukkan isu pekerjaan tidak timbul pada masa ini.

Sekali gus, ia menunjukkan rakyat hari ini berpelajaran tinggi untuk membolehkan mereka memegang jawatan tinggi. Dari segi kesihatan, rasanya jika ke hospital kerajaan layanan adalah baik sekali pun bukan terbaik.


Kemarahan biar berasas

KEMARAHAN rakyat kepada kerajaan sebelum ini berasaskan kepada sebab-sebab yang mereka sendiri kabur. Jika mengatakan kerajaan tidak adil, mereka perlu buktikan kes-kes yang menyebabkan rakyat teraniaya.

Ini termasuk bukti kerajaan merampas tanah dan sebagainya tanpa diberi hak pembelaan mengikut undang-undang. Apakah isu keadilan ini sebenarnya menimpa diri mereka sendiri atau orang lain yang tidak ada kena mengena langsung dengan hidup mereka.

Jika ia masalah orang lain dan mereka turut marahkan kerajaan dan institusi tertentu, maknanya mereka diheret sama dalam kancah politik. Orang muda pula tiba-tiba marahkan kerajaan atas alasan apa? Apakah mereka tidak diberi peluang belajar setinggi-tingginya atau mereka juga terikut-ikut dengan emosi politik pembangkang.

Tunjuk perasaan atau demonstrasi untuk menentang kerajaan terbukti perbuatan yang buruk. Seperti mana kita mengutuk tindakan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) menghina Malaysia begitu jugalah perasaan rakyat negara ini terhadap sesiapa saja yang menghina kerajaan kita.

No comments:

Post a Comment