Pemimpin UMNO perlu bangkit
SATU gelombang kebangkitan UMNO perlu dilihat dalam bentuk gerak kerja yang memberi kesan yang mendalam buat bangsa Melayu di Perak. Ia melibatkan bahagian dan cawangan UMNO bagi seluruh negeri itu.
Orang Melayu masih menanti dan merindui sentuhan-sentuhan keramat dari UMNO itu sendiri. Program-program yang berbentuk kemasyarakatan yang pernah dijalankan sebelum ini perlu dikaji dan dinilai dari sudut keberkesanannya.
UMNO perlu berani dan bangkit dalam kadar segera agar segala tohmahan yang dilemparkan oleh parti pembangkang dapat ditangkis dan diperjelaskan kepada orang Melayu.
Sikap membisu dan mendiamkan diri dari segala tohmahan dan propaganda yang dilemparkan oleh pembangkang kepada UMNO perlu dibuang dari percaturan politik pimpinan UMNO negeri. Segala kerja saraf yang dilakukan oleh pihak pembangkang kepada UMNO akhirnya mewujudkan satu fenomena persepsi negatif orang Melayu terhadap UMNO.
Pihak pembangkang telah berjaya mempengaruhi segelintir orang Melayu dan kalau dilihat propaganda yang dimainkan oleh mereka banyak berkisar tentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehinggakan terdapat kelompok dari bangsa Melayu terpedaya dan percaya kepada mereka.
Mereka menggambarkan diri mereka seorang yang bermoral dan bersih dari segala penyalahgunaan kuasa. Kebanyakan pengundi Melayu yang tidak menganggotai mana-mana parti politik dan pengundi atas pagar masih ada yang berpihak kepada UMNO. Jumlah kelompok ini terlalu ramai jika dibandingkan dengan orang Melayu yang menjadi ahli kepada mana-mana parti politik.
Perkara ini amat ditakuti oleh pihak pembangkang, maka pihak pembangkang kini memperhebatkan program-program berbentuk ceramah dan juga kempen bagi mewujudkan persepsi yang negatif secara berterusan dengan matlamat orang Melayu membenci dan akhirnya menolak UMNO itu sendiri.
Pihak pembangkang juga merasa tidak yakin di atas kesetiaan ahli-ahli parti mereka sendiri kerana kalau dikaji dari segi angka, majoriti daripada mereka dahulunya adalah orang UMNO.
Semangat juang seperti mana yang diperjuangkan oleh orang UMNO terdahulu perlu diserapkan kepada generasi muda kerana kebanyakan mereka sekarang ini buta sejarah dan paling menyedihkan mereka terpengaruh dengan persepsi yang dilemparkan oleh pembangkang kepada UMNO.
Generasi muda perlu kita sedarkan. Agak mengelirukan apabila terdapat generasi muda tanpa segan silu merasa bangga memegang bendera DAP. Kenalkah mereka siapa itu DAP dan apa sejarahnya kepada orang Melayu.
UMNO lebih mengenali siapa itu DAP berbanding dengan Pas yang sekarang dilihat cuba menjalin hubungan mesra lagi intim. Keakraban yang terjalin di antara DAP dan Pas seperti orang tengah mabuk cinta, semuanya indah belaka. Masing-masing dilihat mengamalkan sikap tolak ansur tetapi yang nyatanya, Pas sentiasa mengalah dalam banyak perkara termasuklah yang melibatkan dasar perjuangannya sendiri.
Kita lihat pula bagaimana masjid dan surau digunakan oleh pihak pembangkang sebagai tempat untuk mempromosikan parti mereka kepada jemaah. Setiap ceramah yang mereka sampaikan pasti akan menyentuh pemimpin-pemimpin UMNO sama ada mereka menyebut nama ataupun dalam bahasa kiasan terhadap pemimpin tertentu.
Penceramah ini akan mengajak jemaah untuk menilai pemimpin yang menjadi sasarannya dan akhirnya meninggalkan satu persepsi negatif di kalangan jemaah itu sendiri terhadap pemimpin tersebut.
Persoalannya, benarkah penceramah ini mempunyai niat yang benar-benar ikhlas untuk membetulkan pemimpin yang menjadi sasarannya itu atau sekadar untuk menaikkan emosi jemaah bagi membenci pemimpin tersebut dan akhirnya agenda penceramah ini tercapai.
Masjid dan surau perlu dipantau daripada disalah guna oleh pihak pembangkang yang membawa agenda politik mereka di sebalik wajah-wajah alim dan warak yang cuba mereka pertontonkan kepada jemaah.
Kepada pemimpin-pemimpin UMNO sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian yang tidak mampu memikul tanggungjawab yang cukup besar ini, adalah langkah bijak melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin baru untuk meneruskan legasi perjuangan ini.
UMNO perlu menjadi platform ke arah penyatuan bangsa Melayu. UMNO perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang ingin bersama-sama membantu bagi merealisasikan matlamat tersebut sama ada dari sudut pandangan, teguran, keringat dan sebagainya.
Sejarah membuktikan UMNO berjaya menyatukan orang Melayu dalam perjuangan agama dan bangsa sehingga sukar untuk orang lain mengganggu-gugat. Kita ulangi sejarah kegemilangan silam dengan satu keazaman dan semangat yang kental kerana UMNO itu sendiri masih mempunyai kekuatan.
No comments:
Post a Comment