KERIS patut malu, mereka lulus lesen judi
KEPALA BATAS, 25 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar. Semalam, Reezal dalam sidang media beliau di Kepala Batas telah mendakwa kerajaan negeri memperolehi wang dari sumber judi sebanyak RM500 ribu dari kelab tersebut sebagai sumber untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang. Guan Eng berkata, sejumlah 90 peratus dari mereka yang tergolong dalam miskin tegar adalah masyarakat Melayu. Namun begitu, katanya harus diketahui bahawa baki sebanyak 10 peratus lagi adalah di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukannya beragama Islam. "Jumlah yang kita gunakan untuk masyarakat bukan Islam tidak harus dipertikaikan. Manakala bagi masyarakat Islam kita sedia maklum apa yang baik untuk mereka dan apa pula yang sebaliknya. "Oleh kerana itu, maka usaha Umno memburukkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) ini sebenarnya tidak akan menjadi nyata kerana rakyat sudah tahu dan faham mengenai usaha mereka untuk menjatuhkan serta mencalarkan imej kerajaan negeri," katanya. Menurut beliau lagi, jika sebelum ini Umno melalui Reezal juga telah menuduh kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber judi untuk pemberian RM100 kepada warga emas dan tidak menjadi kenyataan setelah dinafikan dengan fakta, kini mereka beralih pula kepada wang kepada penerima miskin tegar. Kata Lim lagi, adalah tidak munasabah untuk Kerajaan Negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini. "Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang. "Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini. "Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan PR sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya lagi. |
Guan Eng akhirnya mengaku
KUALA LUMPUR 25 Sept. - Selepas pelbagai pendedahan dibuat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akhirnya mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.
Pengakuannya itu bertentangan dengan penafiannya sebelum ini iaitu, kos untuk membasmi kemiskinan diperoleh hasil daripada penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri menerusi prinsip ketelusan dalam pentadbiran.
Bagaimanapun, Guan Eng masih menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam di negeri itu juga diambil daripada dana yang diperolehi melalui kegiatan lumba kuda.
"Kerajaan negeri mengasingkan dana yang diterima daripada kelab lumba kuda, terdapat juga masyarakat bukan Islam yang miskin tetapi untuk umat Islam, ia tiada kaitan dengan sumber judi," katanya dalam laman sosial twitter, hari ini.
Beliau menjawab pendedahan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam mengenai sepucuk surat kerajaan negeri yang dihantar kepada Pengarah Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang berhubung baki sumbangan RM500,000.
Menurut Reezal Merican, surat bertarikh 9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M. Yacob itu mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima oleh kerajaan negeri walaupun sebelum ini dinafikan.
Sebelum ini, sebuah blog, Pisau.net turut mendakwa bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas termasuk masyarakat Islam di negeri itu adalah dari sumber perjudian.
Dalam pada itu, Guan Eng berang dengan pendedahan isu tersebut apabila mempersoalkan kenapa Pemuda UMNO dan beberapa blog sengaja buat 'bising' berhubung isu sumbangan kepada warga emas.
"RM100 kepada warga emas adalah dividen anti-rasuah. Kerajaan negeri tak makan duit itu sebab ia boleh diberi kepada rakyat. Dulu Barisan Nasional (BN) tidak bagi duit masa memerintah, jadi mengapa bising?," soalnya.
No comments:
Post a Comment