SELEPAS isu khutbah Jumaat, ada lagi cerita politik menarik di Pulau Pinang yang melibatkan parti pemerintah, DAP. Kali ini mengenai isu duit hasil perjudian bagi membantu orang miskin. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.
Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam ini juga diambil daripada dana yang diperoleh melalui kegiatan lumba kuda. Selain Guan Eng yang tentunya mahu bercakap benar sudah tentu barisan exconya termasuk yang mewakili Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) semestinya tahu kebenarannya.
Betul atau tidak, halal atau haram wang itu, terletak di bahu barisan exco Melayu beragama Islam di dalam kerajaan negeri itu. Isu halal haram sangat sensitif bagi sesetengah orang Islam. Maksud sesetengah ini kerana ada di kalangan mereka yang masih mampu bertolak ansur dalam isu-isu yang sensitif sebegini.
Maka tidak mustahil akan keluar 'dalil' yang mengatakan apa salahnya wang sumber perjudian untuk membantu orang miskin yang beragama Islam? Semua ini kerana peredaran dan perkembangan semasa. Isu doa untuk bukan Islam dalam khutbah Jumaat , wanita bukan Islam masuk ruang solat imam di surau, isu kilang arak dan macam-macam lagi berjaya dihadapi dengan seribu satu macam alasan.
Begitulah kepintaran yang ada bagi melindungi kepentingan politik. Parti politik akan melakukan apa sahaja. Bak kata orang politik menghalalkan cara. Tidak kisahlah apa juga kaedah yang digunakan asalkan orang politik dapat memancing sokongan masyarakat lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya. Jika sumbangan wang ringgit, projek dan sebagainya bagi membantu rakyat dianggap rasuah di satu pihak maka satu pihak lagi juga melakukan perkara yang sama tetapi menganggapnya sebagai dividen antirasuah.
Begitulah politik. Bukan mudah untuk mengekalkan kuasa politik. Maka dalam isu kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP bersama rakan-rakannya PKR dan Pas selepas pilihan raya umum (PRU) lalu, sudah tentu mahu mengekalkan kuasa dalam PRU akan datang. Lebih-lebih lagi selepas Gerakan yang pernah menerajui kerajaan negeri itu selama lebih 38 tahun sebelum kecundang pada 2008 sudah 'mengaku kalah' sebelum 'loceng PRU Ke-13' berbunyi.
Sikap mengaku kalah sebelum berjuang ini menunjukkan sikap mudah patah semangat Gerakan. Memang tidak dinafikan adalah terlalu sukar untuk Barisan Nasional (BN) merampas kembali Pulau Pinang jika semua parti komponennya dalam keadaan lemah. UMNO yang sering menyapu bersih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap kali PRU juga tidak mampu mengekalkan kemenangan 100 peratus pada PRU lalu.
Jika satu kerusi UMNO terlepas kepada Pas adalah satu perkara biasa yang pernah berlaku sebelum ini tetapi kehilangan tiga lagi kerusi (menjadikan empat) adalah sesuatu yang sukar diterima. Begitulah kemerosotan pengaruh yang berlaku dalam parti politik termasuk UMNO. Sebelum ini ketika BN menerima cabaran hebat termasuk semasa projek Tanjong I, Tanjong II dan Tanjong III, UMNO banyak membantu Gerakan untuk mengekalkan kuasa politik BN di negeri itu.
Tetapi pada PRU lalu, ketika UMNO kehilangan empat kerusi, Gerakan dan MCA gagal membantu BN untuk terus menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan utama Gerakan. Sebaliknya Pulau Pinang kini menjadi pangkalan utama DAP. Pada PRU lalu, Gerakan yang diperuntukkan 13 kerusi DUN gagal memenangi sebarang kerusi. Begitu juga MCA yang diperuntukkan 10 kerusi tetapi kalah kesemuanya. Akhirnya tinggallah UMNO satu-satunya komponen BN yang masih bertahan. Apakah kekecewaan Gerakan masih belum terubat sehinggakan Pengerusi Gerakan Negeri, Dr. Teng Hock Nan mengeluarkan kenyataan bahawa BN tidak mampu merampas kembali Pulau Pinang?
BN Pulau Pinang hanya akan kembali berkuasa sekiranya parti-parti komponen BN iaitu UMNO, Gerakan, MCA serta dibantu MIC mampu memberi sumbangan pada PRU akan datang. Begitu juga dengan pakatan pembangkang. Walaupun kuasa sebenar terletak di tangan DAP seperti yang pernah dirasai Gerakan tetapi sokongan PKR juga amat penting. Tidak lupa juga dengan Pas.
Kekuatan PKR dan Pas di kawasan orang Melayu dapat membantu memecahkan penguasaan UMNO sekali gus dapat membantu DAP membentuk kerajaan walaupun hakikatnya, DAP mampu untuk memerintah secara solo sekiranya parti itu bertanding di kawasan-kawasan pilihan raya yang diperuntukkan kepada MCA dan Gerakan.
Tetapi adakah Gerakan mampu berbuat demikian iaitu memerintah secara solo tanpa bantuan rakan-rakan MCA dan UMNO? Kemungkinan itu ada jika dilihat pada awal pemerintahan parti itu di negeri berkenaan. Tetapi untuk tempoh sekarang, ianya amat sukar. Gerakan yang masih berbalah akan menyebabkan tumpuan parti kepada usaha mengembalikan negeri itu ke pangkuan BN terjejas.
Selepas PRU lalu, beberapa masalah melanda parti itu, apatah lagi apabila bekas Ketua Menteri, Dr. Koh Tsu Koon menjadi Presiden Gerakan dan 'menetap' di Putrajaya selepas dilantik menganggotai Kabinet.
Sepatutnya, Tsu Koon dapat memberi sumbangan lebih besar untuk menebus kekalahan diri dan kerajaan negeri pada PRU lalu. Mungkin, Tsu Koon diberi tanggungjawab untuk 'memimpin' Gerakan Pulau Pinang bagi menyelesaikan kemelut yang ada dalam Gerakan.
Jika UMNO boleh meletakkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden memimpin negeri tertentu, maka tidak ada sebab Gerakan juga boleh berbuat demikian.
Gerakan perlu memainkan peranan sebagai 'pembangkang' yang aktif di Pulau Pinang kerana kekuatan awal parti itu bermula di negeri yang majoriti penduduknya adalah masyarakat Cina. Gerakan perlu memenangi semula hati pengundi-pengundi Cina.
Jika tidak, mungkin untuk percubaan, parti itu menerima saja cadangan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Gerakan menyerahkan kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponen BN lain khususnya MCA dan MIC.
Mungkin UMNO juga boleh mencuba untuk bertanding di kawasan Gerakan untuk melihat sejauh mana, pengundi-pengundi memilih BN bukan atas nama parti seperti UMNO, MCA, Gerakan atau MIC.
Namun, UMNO pada sepanjang masa sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sekalipun ada ketikanya UMNO akan ditolak secara beransur-ansur oleh pengundi.
Demi menjaga persahabatan atas semangat BN, dulu, kini dan selamanya, UMNO akan sentiasa berkompromi. Maka Gerakan harus berusaha untuk menyelesaikan segera masalah dalaman yang melanda parti itu di Pulau Pinang dan tidak mudah patah semangat atau undur ke belakang sebelum menuju ke medan perang.
Tindakan berundur oleh Gerakan hanya akan memberi ruang lebih luas kepada DAP untuk mengukuhkan kedudukan di Pulau Pinang. Apa yang perlu dilakukan oleh DAP hanyalah memperkukuhkan kedudukan di kawasan yang telah dimenanginya pada PRU lalu.
Pada masa yang sama dengan bantuan PKR dan Pas, parti itu terus berusaha untuk memenangi hati seberapa banyak pengundi Melayu di kawasan majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu. Mungkin ini tugas sukar bagi DAP tetapi rakan-rakan PKR dan Pas sudah tentu bersedia untuk bersama-sama Guan Eng.
Isu di Pulau Pinang bukanlah seperti di Kelantan atau Kedah yang diterajui oleh Pas. Maka kenyataan bahawa Pulau Pinang akan terus dikuasai oleh DAP pada PRU akan datang bukanlah satu omongan kosong. Inilah hakikat yang harus ditelan. Keazaman politik DAP dan Gerakan sudah tentu berbeza.
DAP mahu mengekalkan kuasanya yang baru dinikmati selepas era Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Agung DAP bertungkus lumus dengan pelbagai program untuk 'menakluki' Pulau Mutiara itu.
Sementara Gerakan pula masih terkejut dengan kehilangan kuasa selepas era kejayaan dan kecemerlangan parti itu di bawah pimpinan Presidennya Dr. Lim Chong Eu. Kini Guan Eng sudah tentu mahu meneruskan 'hayat' politik DAP di Pulau Pinang dan Tsu Koon pula adakah sekadar berpuas hati dengan kedudukannya sebagai Presiden Gerakan tanpa sebarang kerusi di Parlimen dan DUN di Pulau Pinang?
No comments:
Post a Comment