Tuesday, September 21, 2010

Adakah ini berita Si Kitul atau Raja Mandeliar....

PAS nafi terima sumbangan RM4 bilion Ida World Group


Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR, 22 Sept — PAS menafikan parti itu ada menerima sumbangan RM4 bilion daripada sebuah syarikat asing, Ida World Group Ahad lalu, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub hari ini.

Malah menurut beliau, PAS Kelantan juga tidak pernah menerima permohonan syarikat yang dimaksudkan untuk membuat sebarang projek pembangunan di negeri itu.

Oleh itu tegas beliau, penyebaran berita tersebut adalah satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS.

“PAS memandang serius ekoran tersebar gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan sebanyak RM4 bilion kepada PAS melalui satu cek replika.

“Bagi mewakili PAS, saya dengan ini menafikan PAS pernah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion dari syarikat ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, PAS juga tidak tahu-menahu tentang projek syarikat ini di Kelantan.

“Setelah menyemak dengan PAS Kelantan, saya juga mendapati PAS dan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menerima permohonan daripada syarikat ini untuk membuat sebarang projek pembangunan di sana.

“Sehubungan itu, kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana jelas cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menegaskan beliau tidak tahu menahu mengenai sumbangan sebanyak RM4 bilion oleh syarikat berkenaan kepada PAS Kelantan.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan projek untuk membangunkan Pantai Sri Tujoh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif Ida World, Abdul Rahim Abdul Wahab.

“Sebagai ketua parti, saya tidak tahu pasal duit RM4 bilion, baru pagi ini saya tahu.

“Dia (Abdul Rahim) baru jumpa saya dua (tiga) hari lepas dan dua bulan lepas juga dia (ada) datang juga.

“Mengenai projek di Pantai Sri Tujoh, nak lulus (sesuatu projek) kena buat surat, (hantar permohonan) ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan kemudian ke Exco. Dia kata nak buat projek, saya kata marilah,” katanya.

Dalam laporan Bernama memetik adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan atas sifat peribadi dan bukannya mewakili parti atau kerajaan Kelantan.

Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Nik Aziz untuk menerima replika cek itu pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini Ahad lalu.

“Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi,” katanya.

Ia dilaporkan sebagai sumbangan untuk kelulusan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.

PAS DAPAT SUMBANGAN RM4b DARIPADA I'DA WORLD?

Banyak tu. Kantong PAS sudah buncit dan pastinya tidak akan kering.

Apa tidaknya. Sebuah syarikat tempatan mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan kelmarin.
Ia dibuat atas alasan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan yang mundur di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif I'DA World Group Sdn Bhd (I'DA World), Abdul Rahim Abdul Wahab (gambar kiri), menjelaskan sumbangan itu bukan membalas ganjaran diberikan Kerajaan Kelantan kepada syarikat itu membangunkan projek di Tumpat, Kelantan, yang bernilai lebih RM300 bilion.
Sumbangan I'DA World ini tidak ada kena mengena dengan projek diperoleh syarikat daripada kerajaan negeri yang bernilai lebih RM300 bilion.
Ia lebih kepada membantu membangunkan beberapa jajahan di negeri ini seperti pekan Rantau Panjang, yang kelihatan mundur dan memerlukan bantuan untuk pembangunan, katanya.
Beliau memberitahu pemberita selepas majlis pelancaran projek dan makan malam I'DA World yang dihadiri lebih 200 tetamu di Hotel Renaissance di Kota Bharu, malam kelmarin.
Bagaimanapun, tiada kenamaan selaku wakil kerajaan negeri hadir pada majlis itu.

Sempena majlis itu, I'DA World turut menyampaikan surat pelantikan kepada lebih 100 kontraktor yang dipilih untuk melaksanakan dengan projek yang dibangunkan firma terbabit.

Sejurus penyampaian surat pelantikan kontraktor itu selesai, Abdul Rahim membuat kejutan apabila mempamerkan replika cek memaparkan nilai RM4 bilion atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selepas pengacara majlis membuat pengumuman mengenai sumbangan firma itu kepada Kerajaan Pas Kelantan.

Berdasarkan taklimat yang disampaikan pada majlis itu, I'DA World dengan modal berbayar RM1 juta mendakwa mempunyai aset lebih AS$2 trilion.

Firma itu bercadang membangunkan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) di Tumpat, dengan anggaran kos pembangunan RM313.71 bilion, selain beberapa projek membabitkan empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan membabitkan kos keseluruhannya RM1 trilion.

Antara projek yang mahu dilaksanakan termasuk pembinaan lebuh raya Link Timur-Barat (EWL) yang turut dilengkapi dengan saluran minyak dari Tumpat ke Yan, Kedah; landasan kereta api berkembar dan beberapa terowong pintas melalui Banjaran Titiwangsa.

No comments:

Post a Comment