Jiwa yang sentiasa memberontak akan mendorong pemikiran menjadi lemah dan tidak rasional dalam perancangan dan tindakan. Strategi yang dirancang oleh mereka untuk mencapai sesuatu matlamat sering mendatangkan keburukan daripada kebaikan.
Apabila jiwa umat Islam menjadi kosong dan keghairahan untuk mendapat sesuatu sering dipaparkan dalam bentuk pemberontakan dan keganasan maka nilai-nilai mulia seperti kasih sayang sesama umat yang merupakan ikatan persaudaraan dalam akidah dan bangsa akan hancur musnah.
Persoalannya, apakah matlamat perjuangan umat Islam masa kini sehingga sanggup merobohkan tali persaudaraan yang diikat dengan akidah mempercayai Keesaan Allah.
Memberontak dan menonjolkan sikap ganas dalam menyelesaikan permasalahan sesama umat Islam merupakan racun yang paling berbisa yang boleh menghancurkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.
Penyelesaian permasalahan sesama umat Islam sepatutnya berlandaskan kepada pedoman al-Quran dan hadis. Realiti yang wujud dalam negara Islam masa kini sudah jelas menunjukkan bahawa umat Islam berada dalam persimpangan kemusnahan kerana jiwa dan pemikiran mereka terhakis daripada sifat kasih sayang dan tolak ansur sesama umat.
Api permusuhan sesama umat disemarakkan sehingga terlupa bahawa sikap dan tindak-tanduk sedemikian boleh merobohkan kekuatan umat. Kegilaan kuasa untuk menjadi para pemimpin negara mendorong jiwa mereka menggadai maruah bangsa dan agama.
Prinsip dan objektif perjuangan asal terkubur akibat jiwa terlalu melonjak-lonjak untuk memegang kuasa sehingga tidak segan dan silu berkompromi dengan musuh Islam untuk menjatuhkan umat Islam yang lain.
Apabila prinsip dan matlamat perjuangan umat Islam sering berubah-ubah lantaran untuk mendapat sokongan musuh Islam maka jangan laungkan slogan Islam dalam perjuangan untuk membina kekuatan umat.
Sikap dan tindakan begini tidak memberi sebarang keuntungan kepada bangsa dan agama malah ia merupakan permainan politik yang terkeluar daripada garis panduan al-Quran dan hadis. Perkara begini wujud dalam minda umat Islam adalah akibat daripada pemikiran radikal menguasai keseluruhan aspek kehidupan sehingga mereka tidak mampu untuk memikirkan sesuatu yang rasional bagi mencapai hasrat perjuangan hidup.
Jika jiwa dihantui oleh perasaan memberontak bagi mencapai matlamat hidup maka sifat lemah lembut, tolak ansur dan perundingan bukan merupakan cara untuk menyelesaikan permasalahan dalam setiap aspek kehidupan.
Sikap seperti orang kehilangan akal menjadi tabiat dan keperibadian mereka apabila gagal mencapai hasrat yang tersirat dalam sanubari mereka.
Ketika umat Islam menghadapi pelbagai permasalahan ekonomi, sosial dan politik sepatutnya umat Islam yang berkongsi budaya dan agama bekerjasama dan bertolak ansur dalam menyelesaikan masalah dalaman umat Islam, bukan menggerakkan sikap memberontak memusuhi sesama negara Islam.
Sikap menggerakkan permusuhan sesama negara Islam adalah sifat yang dikutuk oleh Allah di mana sifat-sifat begini adalah dimiliki oleh orang munafik.
Kemusnahan yang berlaku di negara-negara Arab sepatutnya dijadikan panduan kepada umat Islam di rantau Asia. Perkongsian budaya, agama dan tatasusila lemah lembut dan tawadduk yang dimiliki oleh bangsa Melayu beragama Islam merupakan salah satu faktor yang mendorong negara-negara Islam di rantau ini saling bekerjasama dan bertolak ansur.
Bangsa Melayu yang beragama Islam sering dilatih dengan akhlak Islam yang mulia yang mana jiwa dan pemikiran mereka dialun dengan jiwa agama.
Masyarakat bertamadun lebih menggunakan akal yang rasional dalam mengendalikan urusan kehidupan dan kenegaraan. Masyarakat Islam sebaliknya menggunakan pendekatan yang berunsurkan emosi dalam menyelesaikan permasalahan sesama mereka.
Hasilnya, perancangan dan strategi mereka sering mengundang kemusnahan harta benda dan jiwa. Ini memberi peluang kepada musuh Islam mengeksploitasi ekonomi negara Islam ketika umat Islam bermusuhan sesama sendiri.
Hati nurani umat Islam perlu disinari oleh jiwa agama supaya mereka dapat bekerjasama dalam sektor ekonomi dan sosial yang merupakan asas utama kepada pembentukan negara Islam yang maju dan aman.
Hati dan pemikiran yang dilatih dengan jiwa agama mampu mengendalikan perasaan marah dan kecewa secara rasional. Kemarahan, kekecewaan dan penderitaan jika tidak dikawal mengikut landasan Islam boleh menyemarakkan peperangan sesama umat Islam. Justeru, Allah menyeru umat Islam supaya berunding, bersabar dan bertolak ansur kerana kesabaran itu merupakan sesuatu yang indah.
Perkongsian bangsa, budaya dan agama serumpun memudahkan umat Islam berbicara apabila menghadapi perselisihan dan permasalahan sesama sendiri.
No comments:
Post a Comment