Pilihan raya sepatutnya mengingatkan kita pada cerita-cerita teladan
dalam sastera lisan orang Melayu. Dalam cerita jenaka Melayu, terdapat
watak-watak seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Nujum Pak
Belalang dan Si Luncai yang sama ada bodoh, cerdik atau penuh muslihat –
diceritakan dengan penuh jenaka tapi tebal dengan sindiran.
Pak
Pandir begitu bebalnya hingga tidak tahu membezakan air panas mendidih
dan rapuhnya ranting. Pak Kadok menukar ayam sabungnya dengan ayam raja
tetapi apabila ayam raja menang, dia bersorak hingga bertelanjang bulat.
Lebai Malang jujur tetapi tidak cerdik. Pak Belalang cerminan klasik
manusia yang mencapai kedudukan tinggi berbekalkan hanya air liur dan
muslihat. Si Luncai nampak hodoh tetapi otaknya bergeliga. Cerita-cerita moral seperti ini sebenarnya cerminan diri kita
sendiri – nilai, minda, psyche, sikap, hati budi, semangat, maruah dan
banyak lagi. Sepatutnya sewaktu pilihan raya kita menilai diri di
samping menanyakan kejujuran dan ketelusan. Juga menjengah ‘keMelayuan’
kita.
Perang saudara
Banyak yang mengatakan pilihan
raya adalah ‘perang’ – perang perbezaan, perang mental, perang nilai,
perang peribadi, perang parti. Maka dengan pembubaran Parlimen oleh
Perdana Menteri minggu lalu, perang telah diisytiharkan. Malangnya bagi
orang Melayu, perang pilihan raya lebih merupakan perang sesama sendiri
atau ‘perang saudara’ yang menyeret pada soal agama dan akidah. Hakikat
yang harus kita terima ialah orang Melayu berada dalam keadaan
perpecahan. Belum pernah rasanya perpecahan ini sedemikian buruk dalam
sejarah kepartian negara.
Perang bertolak dari angka. Dalam
pilihan raya kali ini, 13.3 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi
sepatutnya akan mengundi. Dalam konteks kaum pula, orang Melayu yang
mewakili 67 peratus penduduk sepatutnya mempunyai seramai 10.2 juta
pemilih. Malangnya di antara kaum-kaum di Malaysia, hanya 52.4 peratus
orang Melayu yang mendaftar sebagai pemilih atau 6.6 juta orang. Menurut
rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 2.3 juta orang Melayu yang layak
mengundi tidak mendaftar.
Saya timbulkan angka-angka ini sebagai
peringatan pada semua parti-parti Melayu dan orang Melayu. Ini ada
kaitannya dengan ‘kuasa’ Melayu sekali gus leverage kedudukan orang
Melayu sendiri. Maka itu dalam kita berdepan dengan perang elok juga
kita memikirkan tentang masa depan dan korban perpecahan.
Makna kuasa politik
Orang Melayu tidak
menyedari banyak hal mengenai mereka – misalnya tentang kuasa ekonomi di
tangan mereka. Mereka rata-rata hanya melihat pada kuasa politik dan
daripada kacamata yang sempit dan dikelabui oleh kepentingan kelompok
dan kepentingan. Mereka terlupa kuasa beli yang mewakili 67 peratus
penduduk. Gedung beli-belah memerlukan pelanggan Melayu. Rangkaian
perniagaan memerlukan orang Melayu. Tambahan pula bilangan kelas
menengah Melayu yang bertambah dan kurangnya kadar kemiskinan
menyebabkan kuasa beli orang Melayu semakin penting.
Apakah makna
kuasa politik Melayu hari ini? Apakah yang diperlu dipertahankan lagi?
Semuanya free for all? Terbuka. Bebas. Transparen. Tidak ada ketuanan
Melayu. Tidak ada kontrak sosial. Meritokrasi. Kesamarataan. Kenyataannya
tidaklah semudah itu. Kompleksiti keadaan kaum di negara ini harus
diambilkira. Kita mengurus kepentingan yang berlainan, unik,
beranekaragam dan pelbagai. Kita memberi ruang pada semua – daripada
sistem pendidikan hinggalah dasar ekonomi. Tidak ada sistem sekolah Cina
yang lebih komprehensif di luar China dan Taiwan melainkan di Malaysia.
Sekolah Tamil juga berkembang. Inilah keanekaragaman kita. Unity in
diversity, dengan izin. Kesatuan dalam kepelbagaian.
Tragedi besar bangsa Melayu
Namun demikian ada isu membabitkan hak
dan kepentingan yang telah termaktub dalam Perlembagaan yang perlu
dipertahankan. Kedudukan orang Melayu dan Bumiputera misalnya. Maka itu
politik Malaysia sepatut mencerminkan pemahaman itu. Sejak kerajaan
Perikatan lagi teras ‘kongsi kuasa’ dan persefahaman itu berjalan.
Barisan Nasional (BN) menyambung legasi itu dengan pembaikan dan
pembetulan. Orang Melayu agaknya terlalu didendangkan dengan
mitos kelemahan mereka lalu hilang jati diri. Atau dilambung terlalu
banyak keyakinan tentang kekuatan hingga mereka menjadi alpa. Atau
mereka menganggap merebut kuasa adalah segala-galanya walaupun korbannya
bangsa dan agama. Ada orang Melayu yang obses untuk sampai ke Putrajaya
hingga tergamak melakukan apa sahaja, termasuk mengkhianati kepentingan
kaum dan agamanya. Sepatutnya politik hanyalah wahana. Tapi hari ini
politik menjadi segala-galanya.
Kita kecil di negara sendiri
kerana kelemahan penguasaan ekonomi kita. Bertambah kecil kita apabila
kuasa politik yang ada akan terhakis. Bagi sesetengah pihak, politik
menghalalkan segala-galanya – termasuk mengkafirkan, menabur fitnah,
menghina dan merosakkan. Malangnya sasaran kecaman itu pada mereka yang
sebangsa dan seagama. Maka akan jadi semakin kecillah orang Melayu di
negaranya sendiri.
Jangan sampai kita diajar oleh Si Luncai
melaungkan korus ‘Biarkan! Biarkan’ apabila orang lain menyanyikan lagu,
Biarkan orang Melayu terjun dengan labu-labunya. Itulah tragedi
besar bangsa Melayu.
No comments:
Post a Comment