KERAJAAN STABIL DAN REKOD PENCAPAIAN |
PENGALAMAN DAN KONSEP KESERDAHANAAN |
PERKONGSIAN KUASA DAN ASPIRASI RAKYAT |
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) hari ini menggariskan enam sebab
mengapa rakyat perlu terus memberi mandat kepada parti itu pada pilihan
raya umum ke-13 (PRU13). Menurut Manifesto BN yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun
Razak di sini malam ini, enam sebab tersebut ialah Malaysia memerlukan
kerajaan yang stabil dan kuat, rekod pencapaian, pengalaman, gerakan
kesederhanaan, perkongsian kuasa telah teruji dan memenuhi kehendak
rakyat.
Rakyat perlukan sebuah kerajaan kukuh yang berupaya melaksanakan Agenda
Transformasi Negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi
yang maju sepenuhnya, menurut manifesto bertajuk "Menepati Janji
Membawa Harapan" itu. BN sentiasa melakukan penambahbaikan dan sepanjang empat tahun lepas,
kerajaan BN mencapai banyak kemajuan besar dalam meningkatkan
produktiviti dan sistem penyampaian, menurutnya.
"Kejayaan yang dikecapi dalam tempoh 55 tahun tidak boleh dinafikan,
kami adalah parti yang mempunyai rekod pencapaian mantap dan menunaikan
segala janji. Selama ini, kerajaan yang diterajui BN telah membawa
kemakmuran kepada segenap segmen masyarakat Malaysia," menurut manifesto
bertemakan "Rakyat Didahulukan" itu.
Kami akan meneruskan rekod kecemerlangan ini. Sekarang bukan masa
untuk bereksperimen. Jangan sesekali melakukan uji kaji dengan masa
depan kita. Menurut manifesto itu, politik yang dibawa BN ialah politik perpaduan
yang berpengalaman mengurus masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.
"Parti komponen mengamalkan formula perkongsian kuasa yang efektif dan
menolak politik benci membenci, pecah-belah serta menentang eksploitasi
kaum dan agama untuk keuntungan politik".
Gabungan pelbagai parti BN telah teruji yang mana selepas 55 tahun, ia
masih mewakili seluruh lapisan rakyat dari semua negeri di Malaysia
kerana mengamalkan politik konsensus dan keterangkuman. BN juga terus memperkasakan rakyat melalui peralihan yang terurus ke
arah masyarakat progresif, moden dan demokratik dengan iltizam untuk
melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar, menurut manifesto itu.
No comments:
Post a Comment