Islamkan politik, atau politikkan Islam?
Saya sering bercakap tentang "Islamkan politik, jangan politikkan Islam". Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua-dua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerak kerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum Islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikannya.
Dalam erti kata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan. Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau 'cop halal' yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan. Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerak kerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam erti kata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.
Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah. Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh. Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata, "Kami ada sabda Nabi saw begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..." (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).
kumpulan
Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah. Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita. Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira'un, Fir'aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya) Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: "Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami". Firaun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?" Nabi Musa berkata: "Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang Rasul-Nya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil. (Surah al-Syu'ara: 16-22). Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga Qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah. Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bah paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.
Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.
Mengongkong
Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.
Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka. Kata Abu Hurairah r.a: "Kami menyertai Rasulullah saw dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, "Dia dalam kalangan ahli neraka". Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah saw: "Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati". Jawab baginda: "Ke neraka". Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah saw, lantas baginda bersabda: "Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasul-Nya!". Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan "jiwa yang muslim" dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka Islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!
Kerajaan perpaduan: Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti
Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang Muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama Muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat. Orang yang enggan melihat sesama Muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama Muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya) “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).
Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda: "…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim). Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud). Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya. Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.
Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu‘awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin ‘Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu‘awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina ‘Ali. Mu‘awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba‘ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr). Di samping itu, Mu‘awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:“Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)" (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu ‘tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).
Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan Pas dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan Pas boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan Pas berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.
Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama Muslim. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).
Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika Muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri. Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan ‘Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan ‘Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera ‘Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya ‘Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera ‘Aisyah dan ‘Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera ‘Aisyah telah menyatakan: “Tentera ‘Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera ‘Ali pula menyatakan: “Tentera ‘Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak...(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time.”
Daulah Islamiyyah: Dulu dan sekarang
Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihan raya mereka menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihan raya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut. Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara clergy tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihan raya mereka, atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, sama ada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.
Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai Daulah Islamiyyah' (Islamic State). Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulama membakar semangat Islam ramai pejuang daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatollah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa'id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi'ah. Beliau menulis buku al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-'Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif (Khomeinisme: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeini seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina 'Umar bin al-Khattab r.a. Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.
Apa pun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah. Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi SAW ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi SAW begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama. Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain. Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis 'keluaran baru' politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga 'adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat 'Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku". Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta'dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.
Pembentukan
Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya. Adapun aliran muktabar ahli sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahi munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama. Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi'I, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan 'kerusi' kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin. Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel) terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.
Apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanah air Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah nation state atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fikah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Dalam erti kata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam. Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahi Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu. Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam (sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).
Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan. Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah. Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan mullah. Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah (clergy) mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara. Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk 'daulat islamiyyah' atau negara Islam!
Nik Aziz oh Nik Aziz, tok guru yang hebat...
|
|
SYABAS Pas kerana menolak gagasan perpaduan Melayu. Syabas Pas kerana bersekongkol dengan rakan-rakannya - yang asyik mengungkit mengenai isu biasiswa kepada anak-anak bumiputera miskin, isu untuk mengenyah DEB, isu-isu terlalu sensitif yang jika disebut di sini 'orang-orang tertentu' akan mengecap kita ini sebagai rasis.
Cita-cita Pas ialah mahu memerintah Malaysia dengan rakan-rakannya itu. Mungkin Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu mengidamkan menjadi Perdana Menteri. Jika diizinkan tuhan cita-citanya akan tercapai. Tolong, janganlah sesiapa mengatakan dia tok guru yang hanya mengajar agama - sebenarnya beliau ialah ahli politik totok yang dalam istilah Inggeris disebut political animal.
Beliau tidak percaya kepada pengertian kebangsaan - atau dalam konteks gagasan perpaduan, Melayu. Melayu bagi beliau ialah elemen assabiyah yang menurutnya tidak sehaluan dengan ajaran Islam. Teras beliau ialah Islam semata-mata. Bagi beliau Melayu itu tidak wujud.
Itulah antara kegagalan gagasan tersebut. Awal-awal lagi Nik Aziz menolaknya, walaupun kumpulan lain dalam Pas mahu rundingan itu dimulakan. Presiden Pas, Hadi Awang yang mencetuskan idea itu. Ia disambut oleh kumpulan bukan-Erdogan, terutama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Sambutan Nasharudin itu mengakibatkan beliau 'menghilangkan diri' beberapa hari kerana dimarahi teruk oleh Mursyidul Amnya, Nik Aziz.
Nik Aziz meminta Nasharudin meletakkan jawatan dan masuk UMNO. Nik Aziz terlalu emosional kerana ada pihak yang cuba menghalang cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.
Anwar Ibrahim yang bimbang melihat berlaku krisis keyakinan yang merugikannya dalam pakatan itu pergi menghadap Nik Aziz di Kota Bharu sebelah pagi Ahad - beberapa jam sebelum Hadi pulang dari luar negara malam itu.
Ternyata dalam pertemuan itu Anwar berjaya mempengaruhi Nik Aziz, atau mereka berdua merancang untuk 'menyelesaikan' kemelut ini - tanpa pengetahuan pencetus idea, Hadi.
Hadi yang ditemui pemberita di lapangan terbang KLIA berkata, Pas akan mengadakan perbincangan mengenai gagasan itu keesokan harinya.
Keesokan harinya (Isnin lalu) pakatan pembangkang yang dihadiri Anwar, Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng tersenyum puas. Hadi yang turut berada di dalam mesyuarat sejam pakatan itu di bangunan Parlimen terpaksa 'malu alah' dan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara menolak gagasan itu. Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh Anwar, Hadi dan Kit Siang.
Nasharudin tidak hadir dalam pertemuan itu.
Malamnya sebelum pertemuan itu, Nik Aziz di Kuala Krai menyerang UMNO. Beliau menyifatkan UMNO sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. Parti yang membawa negara ini sehingga ke tahap ini - berbanding Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara Islam lain - dicercanya sebegitu rupa.
Itulah Nik Aziz, ahli politik totok yang kita kenali lama dulu. Seorang yang kononnya berperwatakan lembut, tapi keras berpolitiknya. Dia menyamakan UMNO seperti Ayah Pin. Dia juga menyamakan UMNO seperti pengganas komunis.
"UMNO ialah pertubuhan sesat, sama dengan Ayah Pin. UMNO dan komunis adalah sama. UMNO ialah parti sosialis kerana menolak Islam. UMNO ialah parti Melayu bukan parti Islam," kata Menteri Besar Kelantan itu di satu ceramah di Kampung Laloh di Kuala Krai malam Ahad lalu.
"Bagaimana kita mahu bersetuju dengan UMNO? Mereka sekarang mahu minta kita lupa yang lepas dan bersatu dengan mereka. Mereka ini tidak tahu malu," katanya di hadapan rakan-rakan pakatannya Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw.
Awal hari itu (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) Nik Aziz sudah mulai berlembut. Tapi beberapa jam kemudian di ceramah di Kuala Krai itu beliau buat pusingan-U di hadapan 5,000 penyokongnya dengan menghentam UMNO dalam kempen menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.
Itulah Nik Aziz yang kita kenali. Beliau boleh membuat pusingan-U yang tajam. Itu pasal kita kata beliau bukan tok guru ajar mengaji, tapi ahli politik totok yang berjuang atas nama prinsipnya yang kental.
Berkata di hadapan pengikutnya yang fanatik itu, Nik Aziz menganggap UMNO tidak layak memerintah negara ini. Semasa mengucapkannya, beliau langsung tidak sedar UMNO sudahpun memerintah negara ini selama 52 tahun dengan jayanya. Pas tidak pernah.
Tambah beliau, umat Islam wajib menolak UMNO jika mereka takutkan Allah.
Benar Pas sudah memerintah beberapa negeri di negara ini. Di Kedah dan Kelantan mungkin tiada masalah kerana ramai rakyatnya 'Melayu', tapi corak pemerintahan Pas di Perak yang terikat kepada master DAP telah menunjukkan hitam putih corak pemerintahannya.
Belumpun panas duduk di kerusi Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sudahpun meluluskan hak milik tanah di kampung baru untuk selama 999 tahun (atau dibulatkan 1,000 tahun). Orang Perak sendiri terkejut, teruja dengan tindakan Pas Perak itu. Kita yakin corak inilah yang akan diterapkan apabila mereka memerintah Malaysia kelak.
Kini Nik Aziz merasakan Pas dan pakatan pembangkangnya yang layak memerintah negara ini. Jika tidak layak pun jangan bimbang, mereka akan dipimpin (ditunjuk ajar) oleh sebuah negara jiran yang yakin Malaysia kini sudah pun berada di persimpangan jalan. Negara itulah yang kini melatih Pulau Pinang dengan menghantar beberapa penasihat ke negeri itu.
Nik Aziz merasakan pakatannya sudah kuat. Memang benar mereka sudah kuat. Mereka kuat apabila orang Melayu lemah. Memang benarpun orang Melayu kini sudah terlalu lemah. Gagasan perpaduan bagi Nik Aziz tidak boleh dilaksanakan sama sekali - sama seperti kata-kata Karpal Singh "langkah mayatnya dulu" jika Malaysia mahu menjadi negara Islam.
Memetik kata-kata Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin "… sekiranya gagasan ini berjaya, ia akan menjadi satu pelan politik yang terhebat dalam sejarah tanah air."
"… tapi untuk merealisasinya bukan mudah. Pakatan pembangkang seboleh mungkin tidak mahu melihat rancangan itu berjaya."
Kenapa mereka tidak mahu melihat ia berjaya? Kerana jika gagasan ini berjaya, pakatan itu akan hancur lebur. Dan orang Melayu akan kembali kuat.
Apa pun tahniah dan syabas sekali lagi kepada Anwar dan Kit Siang serta tentunya tok guru Nik Aziz kerana berjaya menggagalkan gagasan itu.
Antara doa dan politik
Baru-baru heboh isu seorang tokoh politik telah mendoakan agar keburukan menimpa pemimpin negara. Doa ini adalah tindakan balas bagi isu royalti minyak Kelantan. Berbagai pandangan dikeluarkan. Biasanya, penyokong parti politik masing-masing akan memberikan pandangan yang berpihak.
Kesemua pihak cuba membela tokoh partinya. Itulah salah satu keburukan politik kepartian apabila fanatik menyelimuti diri.
Golongan agama yang berkepentingan pun akan mengambil kesempatan mengampu pihak yang boleh memberi manfaat keduniaan kepada mereka.
Maka pandangan dan hukum agama akan diberikan berasaskan kepada keperluan politik, bukan tuntutan nas dan penilaian realiti yang berlaku. Sedangkan nas syarak itu asas, sedangkan realiti itu dinilai dalam melihat adakah wujud keserasian untuk dipadankan nas tertentu dengan konteksnya yang sesuai.
Maka perkara pertama seorang pengkaji Islam hendaklah memahami apakah dalil-dalil syarak dalam sesuatu perkara. Kedua, adakah dalil-dalil itu bertepatan dengan realiti atau konteks yang wujud. Umpamanya perkara yang pernah saya sebutkan dahulu tentang hukum menjawab salam bukan Muslim. Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu 'alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa 'alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka ertinya menjawab salam bukan Muslim dengan ucapan 'wa 'alaika' itu hanya dalam konteks di mana mereka memberi salam dengan cara dan niat yang jahat, bukan dalam keadaan yang apabila salam diberikan dengan sopan dan hormat.
Ertinya melihat nas dalam realitinya adalah penting bagi seorang sarjana dalam memahami sesuatu hukum. Perbezaan keadaan boleh membawa kepada perbezaan hukum. Namun, dalam menilai hukum ia mestilah bertitik tolak dari dalil-dalil syarak, kemudian memahami dalil-dalil tersebut dalam realitinya yang sebenar.
Saya bukan ingin berbicara tentang doa politik tersebut, tetapi ingin berbalik kepada isu doa keburukan kepada sesama Muslim, boleh atau tidak?.
Ada yang menjawab sama sekali tidak boleh. Ada pula yang menjawab sama sekali boleh. Mungkin ada yang fanatik parti akan menjawab, doa untuk parti musuh boleh, parti sendiri tak boleh. Itu pun belum lagi kita tanya dia 'Bagaimanakah mengklasifikasi perkataan 'musuh' menurut Islam?!
Sebelum kita melihat ke dalam konteks bersaing politik dan salahguna agama dalam suasana politik yang ada, mungkin seseorang boleh menjadikan soalan itu lebih mudah dihayati dan difahami dengan bertanya; "Jika seseorang Muslim menzalimi saya, bolehkah saya doakan agar Allah mengambil tindakan atau menghukumnya di dunia?".
Maka di sinilah memerlukan dalil-dalil syarak dalam menetap asas ini. Kemudian, barulah kita akan lihat konteksnya, iaitu adakah orang yang dikatakan zalim itu memang benar-benar zalim?! Kemudian, adakah setimpal kadar kezaliman itu dengan isi doa yang dilafazkan?!
Dalam hidup kita ini kita mungkin akan menemui manusia yang mengaku Muslim tetapi sangat jahat, menganiayai dan menzalimi kita. Menipu, memfitnah dan menyiksa kita; boleh atau tidak kita berdoa agar Allah mengambil tindakan kepadanya?
Lebih jelas jika kita kenang wanita yang dirogol, atau diragut sehingga cacat, atau keluarga dibunuh, adakah mereka diizinkan Islam agar berdoakan kepada Allah untuk menurunkan musibah atau balasan dunia kepada orang menzalimi mereka?!
Ungkapan sesetengah tokoh agama bahawa sama sekali tidak boleh doa bala atau keburukan kepada Muslim sekalipun zalim adalah kurang teliti dan menafikan nas-nas yang mengizinkan hal ini. Sementara kenyataan yang menyebut boleh secara mutlak berdoa agar diturunkan bala kepada Muslim atau bukan Muslim tanpa meneliti kadar yang dikatakan zalim itu, atau musibah yang diminta itu akan menyebabkan doa menjadi permainan lidah dan berlaku perbuatan melampau dalam berdoa.
Diizinkan
Namun kita percaya Allah Yang Maha Bijaksana tidak akan menerima doa yang tidak betul atau disalahgunakan.
Usaha ke arah perpaduan bermula daripada pertemuan dengan Tun Razak di bangunan Parlimen selepas Peristiwa 13 Mei. Darurat telah diisytiharkan, Perlembagaan Negara digantung dan Dewan Parlimen serta Dewan Negeri dibekukan. Negara diperintah oleh MAGERAN (Majlis Gerakan Negara).
Asri menambah, “Dalam suasana yang sedemikianlah saya tiba-tiba dijemput oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak untuk bertemu di Kuala Lumpur, saya datang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang tentera, kira-kira tiga hari selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969”.
Menurut beliau kerajaan campuran Pas-Perikatan (UMNO) memberi sumbangan “amat tinggi nilainya dari segi hakikat perpaduan dan keharmonian umat. Simpang-siur pertarungan politik di kalangan bangsa Melayu telah reda”.
Keadaan berubah dalam Pilihan Raya Umum 1974 yang “menyaksikan suatu pertarungan yang hebat dan luar biasa apabila banyak anggota Pas yang tidak senang dengan kerjasama dalam Barisan Nasional”.
Bagi Asri selanjutnya “cuaca tidak selamanya kekal, ada kalanya panas terik dan ada kalanya hujan lebat hingga banjir”.
Beliau juga menulis mengenai isu kafir-mengkafir dan Revolusi Iran. “Di beberapa tempat di Terengganu dan Kelantan khususnya, telah muncul beraneka kejadian yang dimulai dengan kafir-mengkafir sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan masyarakat, bahkan perpaduan keluarga.
“Anak berpecah dengan bapa, suami isteri berkelahi dan jadilah masyarakat yang dibahagi-bahagikan oleh perbezaan politik yang menyebabkan berlakunya sembahyang dua imam dan lahirnya dua masjid semukim dan kubur yang berasingan”.
Asri akhirnya meletakkan jawatan Yang Dipetua Agung Pas dengan kandungan surat, antara lain berbunyi: “Maka saya telah mengambil keputusan menyerahkan kembali mandat dan kepercayaan muktamar Pas ke-27 yang lalu yang telah memilih saya menjadi Yang Dipertua Agung Pas bagi tempoh 1981-1983”.
Beliau meninggal dunia pada 28 Ogos 1992. Semoga Tuhan mencucuri rahmat baginya. Al-Fatihah.
AS AKHIRNYA TERKEDU
SEMUA pemimpin tertinggi Pas tahu dari awal lagi pendirian DAP. Mereka juga sedar, meniru gaya kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz hanyalah retorik dan drama mainan DAP semata-mata, sedangkan hakikatnya DAP tetap membelakangkan aspirasi Islam yang diperjuangkan Pas.
Demi mencapai cita-cita dan kuasa, DAP hanya akur dengan prinsip ‘engkau tolong aku, aku tolong engkau’, tidak lebih daripada itu. Dalam hal ini, PKR cukup cerdik, hanya menunggu peluang menangguk di air keruh, menahan lukah di pergentingan’.
Jadi apa yang Pas tunggu lagi, selain menyatakan pendiriannya tentang perjuangan menubuhkan negara Islam yang digembar-gemburkan sehingga ada kalangan pemimpin parti Islam itu melabelkan ahli UMNO sebagai kafir pada waktu itu. Masakan kerana kuasa, Pas sanggup menggadaikan maruah dan prinsip perjuangan.
Pas jangan bohong rakyat
KOTA BHARU 9 Julai - Pemimpin Pas digesa supaya tidak terus membohongi rakyat bahawa DAP telah menerima Islam atas alasan kedua-dua parti boleh duduk bersama dalam pakatan pembangkang sehingga berjaya mencipta kejutan pada pilihan raya umum lalu.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan Karpal Singh yang menolak konsep tersebut sudah cukup untuk membuktikan bahawa DAP telah menolak negara Islam kerana beliau adalah pengerusi parti tersebut.
Malah beliau berkata, Karpal telah berulang kali mengeluarkan kenyataan yang sama dan Pas tidak perlu menunggu kenyataan secara rasmi daripada DAP untuk mengesahkan penolakan parti itu terhadap penubuhan negara Islam.
"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz berkata dia hairan kenapa DAP tolak negara Islam. Bagi saya perkataan hairan itu cukup untuk menghairankan saya, kenapa Pas boleh percaya DAP, ini yang menjadikan saya hairan.
"Justeru itu, wajar Pas dan Nik Aziz berbohong kepada rakyat bahawa selama ini sejak Pas berkawan dengan DAP, DAP telah menerima Islam.
"Berhentilah memesong orang dengan ceramah-ceramah di kampung sebab kenyataan Karpal adalah kenyataan DAP kerana beliau pengerusi parti itu, lagi pun Kit Siang dan Guan Eng sudah bercakap sebelum ini," katanya selepas pertemuan ringkas dengan dengan Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah di sini hari ini.
Pertemuan tersebut diadakan secara kebetulan di sebuah hotel di sini dan mereka berdua sempat bertukar pendapat mengenai isu semasa negara termasuk perkembangan politik tanah air.
Karpal sakitkan hati - Pemuda Pas
KUALA LUMPUR 9 Julai - Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan usaha menubuhkan negara Islam oleh Pas amat menyakitkan hati pemimpin serta seluruh ahli Pas.
Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda Pas (DPP), Nasrudin Hasan meminta pemimpin utama DAP itu tidak lagi membangkitkan isu tersebut kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan keharmonian antara Pas dan DAP di dalam pakatan pembangkang.
Pada masa sama beliau turut meminta semua pemimpin DAP tidak mendokong pendirian Karpal itu demi kerjasama yang telah terjalin antara semua parti pembangkang dalam satu pakatan.
''Seperti mana kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, isu ini tidak akan berbangkit sekiranya Karpal menghormati dasar perjuangan yang dibawa oleh Pas. Pas dan DAP mempunyai dasarnya masing-masing dan seharusnya ia dihormati antara satu sama lain.
''Lagipun Pas selama ini tidak pernah mempertikaikan dasar yang dibawa oleh DAP. Pas menghormati dasar perjuangan mereka dan sepatutnya mereka juga perlu menghormati dasar perjuangan Pas. Ini yang dinamakan adil,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz di muka depan Utusan Malaysia hari ini menyifatkan tindakan Karpal meminta Pas menghormati pendirian DAP yang menolak konsep negara Islam sebagai tidak betul.
Ini kerana, jelas Nik Abdul Aziz, Pas dan pakatan pembangkang lain telah lama menyetujui dasar perjuangan parti itu sebelum membina pakatan untuk menghadapi Barisan Nasional (BN).
Tegas Nik Abdul Aziz, Pas akan tetap dengan dasar negara Islam yang diperjuangkan oleh parti itu sekiranya pakatan pembangkang menerajui kerajaan Pusat.
Ia sebagai reaksi terhadap kenyataan Karpal sebelum ini yang telah meminta Pas menghormati DAP berhubung pendirian parti itu menolak konsep negara Islam.
Dalam perkembangan sama, Nasrudin berkata, pendirian dan dasar Pas tidak pernah berubah iaitu Islam akan terus menjadi dasar perjuangan parti walaupun menjadi salah satu anggota pakatan pembangkang.
''Sebagai barisan hadapan parti, DPP akan tetap mempertahankan dasar Islam yang kita bawa. Islam terus menjadi asas perjuangan kami dan ia tidak akan berubah sampai bila-bila,'' katanya.
Nasrudin dalam perkembangan berkaitan percaya kenyataan Karpal itu tetap bersifat peribadi dan bukannya DAP secara keseluruhan.
''Saya lihat secara positifnya kenyataan Karpal ini tidak disambut oleh pemimpin-pemimpin DAP yang lain. Bagi saya ia adalah kenyataan Karpal semata-mata,'' katanya.
PAS gadai prinsip? — Nadzir Awang Ahmad
10 JULAI — Sudah jelas dan nyata. Sudah terang lagi bersuluh. Itulah yang boleh dikatakan mengenai pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai konsep negara Islam PAS seperti yang dilaporkan oleh portal berita The Malaysia Insider.
Dalam wawancara tersebut, beliau dilaporkan berkata, mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal menubuhkan negara Islam jika pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan pada masa depan.
Menurutnya lagi, Malaysia adalah sebuah negara sekular berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. PAS sepatutnya sedar dari dulu lagi apabila mengambil keputusan untuk bekerjasama membentuk pakatan pembangkang. Pendirian DAP yang menolak penubuhan negara Islam sebagaimana dasar perjuangan PAS bukanlah perkara baru. Isu ini telah timbul dalam era 1990-an lagi.
Adakah PAS perlu menggadaikan prinsip dan dasar perjuangannya semata-mata untuk mendapat kuasa politik dan menjadi sebuah kerajaan?. Adakah PAS sedar, penggabungannya dalam pakatan pembangkang sebenarnya telah mengundang “gundah-gulana” ahli-ahli partinya yang begitu taat dan setia terutama golongan veteran PAS yang sanggup berbuat apa sahaja untuk memenangkan PAS demi menegakkan prinsip dan dasar perjuangan parti itu.
Ternyata penubuhan pakatan pembangkang adalah semata-mata untuk mendapatkan undi. Pada dasarnya PAS tak perlu gusar tentang sokongan. Tanpa menyertai pakatan pembangkang, PAS mampu menerajui sebuah kerajaan mengikut acuannya sendiri.
Dalam perkara ini, PAS nampaknya telah dipergunakan oleh pihak lain semata-mata untuk meraih undi dan sokongan kaum Melayu demi mencapai cita-cita politik mereka untuk menguasai Putrajaya. Tanpa PAS, pakatan pembangkang tidak akan ke mana. PKR kini sudah boleh diumpamakan sebagai “retak menanti belah.” Isu lompat parti, krisis kepimpinan dan berbagai lagi isu yang menghantui PKR saban hari kedengaran.
Sebelum ini, para pemimpin PAS memberitahu penyokong mereka bahawa DAP sudah menerima dasar perjuangan PAS. Tetapi kini, apa sudah jadi? Bagaimanapun, pendirian Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan yang berkata dasar PAS tidak pernah berubah dan kerjasama di dalam pakatan pembangkang adalah berkaitan isu yang disepakati seperti rasuah dan penyelewengan kuasa, mungkin menjawab isu sebenar mewujudkan pakatan pembangkang.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Harakahdaily, menyifatkan kenyataan Karpal yang tidak akan berkompromi terhadap penubuhan negara Islam, hanya bersifat peribadi.
Tiada gunanya PAS kekal bekerjasama di dalam pakatan pembangkang semata-mata untuk mendapatkan kuasa sekiranya terpaksa menggadaikan dasar dan prinsip perjuangannya. PAS harus sedar, kehadirannya di dalam pakatan itu hanyalah satu retorik kepada rakyat mengenai kesepakatan dan kesefahaman, sedangkan hakikatnya ia umpama “tidur sebantal, mimpi berlainan.”
No comments:
Post a Comment