Sunday, July 18, 2010

Melayu Lantang Bersuara dan NGO Melayu kena Tegak Hak Melayu

Orang Melayu perlu pertahan perlembagaan


Sunday, 18 July 2010 Super Admin

(Utusan Malaysia) - Orang Melayu perlu bersatu dan menjadi kuat untuk mempertahankan Perlembagaan, kata Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.

Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Kajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengingatkan tanpa kuasa, orang Melayu tidak akan mampu menentukan kedudukan mereka di tanah air sendiri.

‘‘Saya melihat kedudukan orang Melayu sekarang sangat kritikal sebab rakyat Malaysia tidak lagi melihat hak-hak istimewa itu sebagai milik mereka termasuk orang Melayu sendiri terutama generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Perlembagaan Persekutuan: Hak, Cabaran dan Peranan Orang Melayu sempena Perhimpunan Melayu Perak di sini hari ini.

Perhimpunan anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu dirasmikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Mengulas lanjut, Ramlah yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa Malaysia berkata, beliau bimbang sekiranya tiada langkah-langkah tertentu diambil, orang Melayu akan semakin melupakan haknya sendiri.

‘‘Kita kena sedarkan mereka bahawa Perlembagaan adalah sesuatu yang sangat luhur dan tidak sepatutnya dibiarkan diganggu-gugat oleh orang politik yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, perpaduan di antara dua parti Melayu iaitu UMNO dan Pas adalah perkara yang patut direalisasikan.

Jelas Ramlah, perpecahan yang menghantui orang Melayu bukan sahaja membabitkan ideologi politik tetapi juga berkaitan faktor sikap.

Dalam perkembangan sama, tegas beliau, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan gagasan 1Malaysia adalah untuk mencapai perpaduan kaum bukan sebagai saluran mendesak kesamarataan.

‘‘Keharmonian Barisan Nasional ketika era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, malah Tun Dr. Mahathir Mohamad kini semakin hilang,” katanya.

Melayu hilang kuasa pada PRU-13?


Sunday, 18 July 2010 Super Admin


HARUSSANI Zakaria (kanan) bersama Hilmi Ismail ketika sidang akhbar pada Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Ipoh, semalam.

(Utusan Malaysia) - Orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan tersebut berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

''Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada PRU-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Hadir sama dalam perhimpunan sehari anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu ialah presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Harussani menegaskan, pemimpin Melayu perlu sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab memastikan kepentingan orang Melayu terjamin.

''Adakah agama yang mengajar kita suruh berdegil? Sedangkan degil itu adalah sifat keji dalam Islam. Kalau itu sifat keji, kenapa tidak dibuang daripada diri kerana ia tidak akan menguntungkan diri.

''Kalau dia pemimpin, dia tidak akan menguntungkan rakyat. (Sedangkan) bila jadi ketua, amanah untuk menjaga ummah itu kewajipan dia. Kalau dia berdegil, amanah tiada pada dia, rakyat akan hancur," ujar beliau.

Ditanya apakah masih ada harapan untuk orang Melayu khususnya membabitkan UMNO dan Pas bangkit dan bersatu semula jawabnya:

''Insya-Allah disebabkan kedua-dua puak (parti) ini mempunyai keinginan hendak bersatu.

''Ada pemimpin Pas datang berjumpa saya, begitu juga pemimpin UMNO. Mereka minta pandangan bagaimana untuk disatukan (kedua-dua parti)."

Mengulas lanjut kata Harussani, penyatuan masih tidak dapat dilakukan sehingga hari ini kerana kedua-dua pihak telah meletakkan faktor keutamaan di tempat yang salah.

''Saya percaya tujuan orang Pas memperjuangkan Islam ikhlas tapi meletakkan (keutamaan) di tempat yang salah. Mereka taksub sebab tidak faham. Orang UMNO serupa juga.

''Kalau kedua-dua parti memahami faktor keutamaan itu, apa yang perlu diutamakan? Keutamaan adalah agama dahulu dan agama tidak menyuruh kita membenci sesama umat Islam bahkan kasih-mengasihi sesama kita," katanya.

Dalam perkembangan sama, Harussani berkata, langkah GMP menganjurkan perhimpunan seumpama itu dapat membantu menyatupadukan orang Melayu.

Sementara itu, Mohd. Hilmi menegaskan, perlunya satu perhimpunan Melayu membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk raja-raja dan pemimpin parti politik sendiri untuk melahirkan semangat Melayu dalam menyata dan memperjuangkan hak mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

''Cara ini dapat menginsafkan pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO yang masih berdegil dan tidak memikirkan tentang masa depan orang Melayu," katanya.

Orang Melayu perlu lebih lantang suarakan hak - Zainur


Sunday, 18 July 2010 Super Admin


(Utusan Malaysia) - Orang Melayu perlu lantang menyuarakan hak istimewa mereka seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana pelbagai usaha sedang dilakukan untuk menghilangkan hak tersebut.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan (kini PKR), Zainur Zakaria berkata, oleh itu orang Melayu harus bertindak segera bagi mengelakkan wujud ruang yang lebih luas kepada kaum lain untuk mempertikaikan perkara tersebut.

''Kaum bukan Melayu kini sudah berani serta lantang mempersoalkan hak-hak Melayu, agama Islam dan juga institusi raja-raja Melayu.

''Keberanian dan kelantangan mereka ini bukan hanya tertumpu kepada hak-hak Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi matlamat dan motif mereka sebenarnya adalah bertujuan menuding jari dan mempersalahkan orang Melayu," katanya yang juga seorang peguam.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Cabaran Perlembagaan Persekutuan (Perkara 153) Dalam Arus Politik Masa Kini sempena Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Tegas Zainur, sekiranya orang Melayu masih berpegang kepada kata-kata 'tidak apa' dan 'biar sahajalah', pasti hak-hak istimewa orang Melayu di negara ini akan hilang sekelip mata.

Malah, katanya, sikap segelintir orang Melayu sekarang yang percaya bahawa mereka tidak lagi perlu bergantung kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan membantu menyebabkan orang Melayu jatuh.

''Jika orang Melayu gagal mempertahankan hak mereka, lama-kelamaan kita akan hilang segala keistimewaan.

''Saya khuatir 50 tahun akan datang, kalau kita diperintah oleh kaum bukan Melayu, segala hak yang kita ada sekarang akan hilang. Contohnya sudah nampak di Pulau Pinang sekarang yang diperintah oleh kaum bukan Melayu," katanya.

No comments:

Post a Comment