Formula menawan semula Kedah
PELUANG mendengar ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah tanggal 15 Julai lalu yang disempurnakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak adalah detik yang telah mengembalikan jiwa penulis untuk lebih meyakini bahawa UMNO Kedah tidak pernah pudar semangat dan gerak kerja seperti mana yang disangka.
Harapan untuk kembali mengungguli kerajaan negeri setelah melalui mimpi ngeri Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 bukanlah satu impian kosong. Ruang dan peluang tetap ada, isunya sejauh mana peluang dimanfaatkan dan ruang itu diisi dengan tindakan.
Maudhuk ucapan Presiden UMNO itu jelas membayangkan kejujuran serta jiwa besar seorang pemimpin. Kesungguhan menjayakan tindakan, dan pandangan jauh bagi membina UMNO yang kuat, diikuti dengan nilai dan sistem budayanya. Ungkapan ‘merasai denyut nadi rakyat’, ‘berubah sebelum rebah’ tetap menjadi sebutan keramat berulang-ulang kali.
Seruan agar politik berpuak, sengketa sesama sendiri dihindarkan, bukanlah satu pesanan asing yang sering dikumandangkan untuk halwa telinga ahli dan pimpinan UMNO dari peringkat atas sehingga ke akar umbi.
Namun hakikat ini membayangkan dua perkara. UMNO di zaman Najib cukup berani menyatakan sesuatu secara terbuka meskipun ia pahit untuk ditelan. UMNO era Najib sering melakukan muhasabah diri dan ingat mengingati agar yang baik dijadikan teladan, yang buruk terus dibuang jauh. Mungkin yang agak sukar adalah menzahirkan ungkapan dalam bentuk tindakan.
Dalam konteks Kedah, tiga persoalan besar perlu dirungkai terlebih dahulu agar ingatan Najib dihayati seterusnya dipraktitkan oleh seluruh pemimpin, ahli dan pendokong UMNO.
Pertama, bersediakah pemimpin UMNO Kedah bertaut erat, melupakan segala sengketa dan mewujudkan hanya satu puak yakni puak UMNO Kedah?
Kedua, dapatkah pemimpin UMNO Kedah menfokuskan usaha menuju kepentingan bersama yakni menangani kemandulan pakatan pembangkang yang jelas gagal memajukan Kedah?
Ketiga, apakah keistimewaan yang boleh ditampilkan oleh pemimpin UMNO Kedah untuk meyakinkan semula rakyat bahawa mereka sudah berubah dan bersedia melakukan transformasi demi membawa rakyat Kedah ke hadapan dalam semua bidang?
Paling menarik formula yang dicadangkan Najib, bahawa untuk UMNO kembali berkuasa di Kedah syaratnya cukup mudah, ‘sokong kawan dan makan lawan.’ Bukannya kawan makan kawan.
Ini perkara asas iaitu teras yang telah menguatkan UMNO selama ini. Prinsip ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’ dijulang bukannya dibiar hilang.
Berkorban dengan utamakan parti, berkhidmat dengan jujur dan bersungguh. Bukan menjadikan parti sebagai wahana untuk memperkayakan diri dan terus membolot itu dan ini. Sedang dalam masa yang sama rakyat dan ahli parti ditendang serta ditolak ke tepi.
Niat Presiden parti itu sekadar mahu menyampaikan satu mesej mudah. “Jadilah pemimpin yang disayangi pengundi dengan merendah diri. Buat perkara yang betul dan tinggalkan perkara yang mampu menjadi liabiliti’.
Memang benar seperti kata beliau, bumi Kedah adalah milik UMNO. Semenjak merdeka sekian banyak tokoh berjasa kepada negara dilahirkan di bumi Jelapang Padi. Daripada Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman; Datuk Senu Abdul Rahman, Tan Sri Khir Johari, Bapa Pembangunan Malaysia Moden, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Tun Daim Zainuddin; Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir adalah sekian banyak pemimpin dari Kedah yang bukan sahaja legasi tinggalan mereka cukup besar untuk bangsa, malah disanjung, dihormati serta digeruni kawan mahupun lawan.
Dari sudut sistem perkaderan, Kedah tidak kurang hebatnya dalam melahirkan pemimpin dan pejuang. Ruang untuk pembangkang menapak amat kecil di era terdahulu. Di zaman Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar (1985-1996), pembangkang hanya mampu silih berganti memenangi dua kerusi DUN iaitu Sala dan Bukit Raya. Kedah adalah antara ‘simpanan tetap’ BN yang boleh diharapkan kerana sering menyapu bersih kerusi Dewan Rakyat.
Seteruk mana isu nasional atau isu setempat yang berlaku, tautan pengundi dan rakyat Kedah dengan tokoh pimpinan BN masih erat. Pilihan Raya Umum 1999 satu bukti yang cukup jelas. Dengan pelbagai kemelut kepimpinan negeri, kontroversi dan isu nasional yang cukup hebat ditambah dengan arus gerakan reformasi dan kemunculan media baru mula mendapat tempat, Kedah tidak kecundang.
Pemerintahan kerajaan negeri masih mampu digenggam UMNO dan BN. Tewasnya UMNO dan BN dengan 13 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen membuka lembaran baru kepada kepimpinan Datuk Seri Syed Razak yang mengambil alih daripada Tan Sri Sanusi Junid pada tahun 1999.
Mesra rakyat, cara hidup kampung, pendekatan hands on dan bekerja tanpa mengira masa, melayani kehendak rakyat dari isu kecil hinggalah isu besar semuanya dibereskan.
Memang azab melayani kehendak pengundi di Kedah. Tanyalah mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen sedia ada. Kehendak mereka ibarat kata pepatah Inggeris from nothing to everything. Akan tetapi azab, penat dan jerit perih pasti berbalas. Prinsip budi baik dikenang juga akhirnya dibayar dengan undi dalam piliha raya.
Ironinya sosiobudaya pengundi dan rakyat Kedah amat bencikan pemimpin sombong, angkuh dan bangga diri. Ataupun pemimpin yang bukannya anak tempatan tetapi menunjuk lagak seolah-olah dia tahu segala-galanya.
Untuk mendapat tempat di hati rakyat Kedah, pemimpin tidak boleh dilihat berbeza pada skala yang besar dengan rakyat biasa. Pemimpin yang disanjungi adalah mereka yang menjadi pendengar setia rintihan dan keluhan rakyat. Mudah ditemui bukannya terpaksa melalui aturan temu janji yang entah apa-apa.
Pengundi di Kedah cukup mudah, dengan sebahagian besarnya adalah kaum tani, penternak, penoreh dan nelayan serta menghuni kawasan luar bandar. Mereka akan menghargai dan meraikan pemimpin yang sentiasa ingatkan mereka.
Pemimpin yang bila berjanji dikota, kata dilaksana. Fakta ini diketahui semua pemimpin UMNO di Kedah. Malangnya mungkin kerana faktor ‘terlupa’ terlalai atau mengambil ringan akibat UMNO dan BN sering menang mudah maka ia terlepas pandang menyebabkan UMNO akhirnya kecundang.
Namun itulah formula sebenar yang wajib menjadi amalan jika UMNO mahu kembali berkuasa di Kedah. Cukuplah peristiwa gerhana PRU 2008 menjadi pengajaran. Sikap selesa, ambil mudah dan kerja bermusim patutnya dibuang jauh.
Inilah hikmah PRU 2008 moga menjadi ingatan kepada seluruh barisan pimpinan dan ahli UMNO semua peringkat. Supaya kembali bergabung mengambil tanggungjawab menyelamatkan Kedah.
Cukuplah sengsara dan gerhana untuk penggal ini. Anak benih yang disemai, baja yang diletakkan yang membolehkan pohon merendang lalu berbuah akhirnya hasil dituai oleh Pas, PKR dan DAP. Lantas dengan penuh madah berhelah mereka lalu mendakwa ini semua hasil kerja keras mereka.
Habuan ini kemudiannya mereka bahagi-bahagikan sesama sendiri ibarat harta ghanimah. Menjadi mangsa teraniaya rakyat Kedah seluruhnya.
Cukuplah situasi ini, UMNO Kedah perlu lebih bermotivasi, dan kembalilah ke asas. Rajin-rajinlah bertanya tokoh lama seperti Osman Aroff, Syed Razak, Kadir Sheikh Fadzir dan usah lupa ambil nasihat Tun Dr. Mahathir anak Kedah yang telah berjaya membedah dan mengubati banyak penyakit politik dan pembangunan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment