Monday, July 12, 2010

Mempertahankan Ketua Mata Sepet

Fitnah Utusan Malaysia Dalam Isu Anwar

Posted by admin on July 12th, 2010

Shaharul Shafie


Apabila saya membaca surat khabar Utusan Malaysia dan reaksi-reaksi oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam sehari dua ini mengenai kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar kiri) mempunyai hubungkait dengan CIA, saya tergelak sendirian.

Mungkin ramai hairan mengapa saya berbuat demikian walaupun isu yang diwar-warkan di Utusan Malaysia itu dikira sangat ‘sensitif’ bagi segolongan pihak di negara ini kerana kononnya ada agen Yahudi dalam negara ini.

Saya tidak bersetuju dengan laras dan gaya laporan berita Utusan mengenai isu ini yang menjuruskan kepada fitnah, kecelaruan dan bermotif politik dengan merujuk sumber penulisan seorang blogger biasa di Amerika Syarikat. Saya tergelak sebab sudah sekian lamanya, Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengiktirafkan maklumat dari dunia blog sebagai sahih lagi benar tetapi tiba-tiba sudah berubah pendirian hanya kerana tulisan blog seseorang gara-gara tulisan blog ini dikira modal untuk BN.

Penulis blog berkenaan juga bukan pun terkenal di Amerika Syarikat sebagai ahli politik, penulis ruang akhbar, NGO dan sebagainya malah nama penulis tersebut Elaine Meinel Supkis bukannya satu nama terkenal dalam dunia penulisan politik dan ekonomi.

Sejak beliau menulis blog seawal 5 tahun lalu, penulisannya menampilkan paranoia beliau sebagai rakyat negara Uncle Sam itu. Atau dengan kata lain, Elaine mungkin ada masalah kewarasan kerana bimbang akan ’konspirasi-konspirasi’ politik Yahudi dan kulit putih. Elaine dilihat sebagai mereka yang anti-establishment dan juga seorang yang anti-Israel. Apabila beliau menulis sesuatu, beliau akan menulisnya itu dengan penuh kesungguhan tanpa bukti dan malah pernah mendakwa dirinya sebagai orang yang ditakuti oleh pemerintah negara itu.

Oleh kerana paranoianya tinggal dengan masyarakat, Elaine (gambar atas) tinggal jauh dari bersama suaminya tinggal di sebuah luar bandar berhampiran kawasan gunung. Baginya sudah cukup mempunyai talian internet untuk beliau mengemaskinikan maklumat politik untuk dirinya dan menulis apa saja analisa ’liar’ yang keluar dari kepalanya. Beliau mendakwa dirinya diperhatikan oleh kerajaan USA kononnya serta mendakwa mengetahui banyak tempat ujian rahsia kerajaan dan sebagainya.

Sememangnya Elaine nampak paranoid sekali atau dalam perkataan lain ’gila’ kerana suka mencipta misteri-misteri dalam kehidupannya. Mungkin orang sebegini sesuai menjadi pengarang buku-buku misteri kehidupan seperti Da Vinci Code dan National Treasure. Juga pernah mendakwa mengenali baik Queen Elizabeth dan ahli-ahli politik terkenal di Amerika Syarikat di dalam penulisannya. Begitulah juga dia mendakwanya kenal sangat dengan Anwar sehinggalah mendakwa berbalas emel dengan Anwar.

Berbalik semula cerita Utusan di Malaysia, saya terfikir mungkin seminggu sebelum berita dalam Utusan Malaysia itu keluar, pengarang diarahkan mencari bahan penyedap politik. Biasalah, sekarang ini bila taip apa-apa saja di dalam Google.com, akan memberikan bahan untuk dibuat cerita walaupun kesahihannya diragui. Rasanyalah si pengarang ini sengaja hendak mencari apa-apa bahan penulis luar menulis tentang Malaysia. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, si pengarang Utusan ini mendapat sesuatu mengenai pandangan orang luar mengenai Malaysia lebih-lebih lagimengenai Anwar Ibrahim. Apa lagi, carilah barisan-barisan ayat dalam tulisan Elaine itu untuk digunakan sebagai peluru pena.

Saya ada membaca artikel Elaine itu dan penulisannya agak rojak dengan bahasa Inggeris ala-Amerika yang sukar serta mempunyai makna yang tersirat. Sepertilah lawak pentas yang popular di Amerika Syarikat, saya jamin orang melayu yang mendengar lawak pentas mereka itu tidak semudah kita ketawa menonton kartun-kartun Barat seperti Family Guy dan the Simpsons. Begitulah gaya penulisan Elaine yang nampak tinggi ’vocabnya’ dan membawa maksud yang bersesuaian dengan pemikiran rakyat Amerika.

Oleh itu, saya mengaku jika saya baca sekali pun, mungkin saya akan huraikan dalam bentuk yang kurang betul. Bila difikirkan pula pengarang ini dari Utusan Melayu, sebuah akhbar Bahasa Melayu dan bukannya dari media massa Bahasa Inggeris seperti NSTP dan The Star, saya pasti kefasihan dan kefahaman beliau tidak sampai tinggi mana pun untuk menafsirkan artikel itu. Ini bukan mengutuk tetapi andaian hampir-hampir benar.

Walaubagaimanapun, jika dia faham sekalipun maksud tersirat dalam penulisan Elaine itu, pastinya tetap akan dianalisa dalam bentuk yang negatif sekali untuk pembaca di Malaysia. Setelah saya membaca gaya laporannya dalam Utusan Malaysia dua hari yang lalu, dengan kefahaman saya yang gitu-gitu saja dalam artikel Elaine, saya dapat lihat penulisan pengarang Utusan ini suatu yang melampau dan berunsur fitnah lagi bertujuan jahat. Saya faham pengarang mungkin terdesak mencari bahan baru untuk menyokong tuduhan liar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kononnya Anwar membayar untuk ditemubual di dalam CNN. Mencari dan mengarang cerita yang berkaitan Anwar dan Amerika Syarikat atau secara tepat lagi Yahudi Amerika Syarikat.

Pengarang Utusan itu dengan gaya menulisnya cuba mencadangkan bahawa Anwar adalah alat Amerika Syarikat di dalam keadaan yang sungguh negatif. Beliau salah faham atau sengaja membuat tidak faham akan perbezaan antara ejen dan alat agar pembacanya boleh keliru.Inilah yang ditulis oleh pengarang Utusan itu di bawah tajuk Penulis Blog AS dedah Anwar ’alat’ CIA:

“Anwar bukan ejen tetapi alat yang dicipta oleh CIA. Senarai rakan-rakan membuktikan segalanya dan mereka merupakan ejen CIA yang menyamar (Anwar is a CIA creature. That is, he is not an ‘agent’ but rather, a ‘tool’. His list of buddies proves this: they are all undercover CIA),” katanya seperti yang dipetik dalam blog, Culture of Life News.

Beliau cuba menampakkan Anwar itu sebagai tali barut CIA tetapi bagi mereka yang cuba memahaminya akan nampak sesuatu yang disebaliknya. Bukan itu sahaja, pengarang Utusan itu memilih petikan-petikan yang jelas untuk kepentingan dia sahaja walaupun artikel blog Elaine itu lebih panjang lagi berjela-jela. Bukan itu sahaja, apabila Elaine menyentuh isu APCO Worldwide di dalam artikelnya, tidak pula disiarkan atau dihuraikan oleh pengarang Utusan ini.

Inilah hujah kefahaman saya mengenai maksud Elaine. Apa yang ingin diberitahu oleh Elaine ialah Anwar bukannya ejen. Ejen adalah bermaksud seseorang yang dilantik, dibayar gaji dan diketahui sebagai tali barut. Oleh itu, sudah terus-terang Elaine mengatakan Anwar bukannya tali barut atau barua. Hanya kemudian Elaine berkata, Anwar hanyalah alat. Makna perkataan alat tidak sama dengan ejen kan! Alat ialah benda yang digunakan. Jadi, dalam petikan ini, Anwar adalah alat yang digunakan oleh CIA. Ini juga bermakna Anwar telah menjadi alat kepada CIA yang mungkin juga ’tanpa pengetahuan Anwar sendiri’. Teks seterusnya pula mendakwa kenalan-kenalan Anwar lah yang menjadi ’undercover’ CIA. Dan bagi kefahaman saya, Anwar mungkin tidak kenal siapa kawan dan siapa lawannya yang sebenarnya di Amerika Syarikat kerana ada antaranya yang menyamar sebagai ’undercover’ CIA. Bagi saya, Elaine hanya sekadar memperingatkan Anwar dengan siapa yang mungkin dia berkawan. Itu pun kalau benar kawan-kawan Anwar adalah samaran CIA.

Saya yakin pengarang Utusan ini tahu maksud sebenar kenyataan Elaine di atas tetapi sengaja memutar belitkan kenyataan itu membuatkan pembaca percaya bahawa makna ejen dan alat itu adalah benda yang sama ataupun lebih kurang sama atau membawa maksud yang negatif. Bagi saya, ini sungguh jahat dan dangkal.Namun begitu, mungkin bukan salah pengarang, mungkin disebabkan oleh hasrat Ketua Pengarang Utusan Malaysia yang sengaja mensensasikan kenyataan Elaine bagi menjadi peluru pihak tertentu di Malaysia selepas disiarkan.

Yang menyedihkan kita lagi apabila pemimpin-pemimpin di Malaysia terutamanya daripada kerajaan pemerintah bagaikan tersentak apabila membaca artikel berita Utusan Malaysia itu sahaja. Mulalah mereka fikir boleh gunakan itu sebagai senjata politik menjatuhkan lawan di saat-saat mereka tidak ada lagi isu baru untuk dijadikan peluru. Adakah mereka terlebih dahulu memeriksa dahulu kandungan asal atau rujukan yang digunakan oleh pengarang Utusan itu iaitu artikel penuh Elaine? Jangan sampai termalu bila maksud sebenar yang ditulis Elaine itu membawa makna yang berlainan dan rakyat yang mempunyai akses kepada rujukan asal boleh faham keadaan sebenar.

Walaubagaimanapun, kesungguhan pemimpin-pemimpin kerajaan pusat hari ini yang naik melenting dan terus menuduh Anwar sebagai mempunyai hubungan dengan CIA adalah terlalu awal. Lebih-lebih lagi maklumat begini diambil daripada salah satu dari berjuta-juta blog di dalam dunia ini. Mungkin kerana blog berkenaan ditulis oleh rakyat Amerika menyebabkan mereka ini menyanjung sangat dan menganggapnya sebagai sah walaupun butirannya masih boleh disiasat. Jika artikel berkenaan ditulis oleh seorang blogger di Zambia dan Nepal, mungkin pengarang Utusan itu tidak akan ambil ’port’.

Apapun, tahniah kerajaan BN kerana mula mempercayai dan mengiktiraf blog sebagai media alternatif. Jika sebelum ini menasihati rakyat Malaysia supaya jangan mempercayai blog-blog politik, nampaknya kali ini jika rakyat menganggap tulisan blog sebagai sahih, jangan lagi salahkan rakyat. Untuk ahli-ahli politik BN Selangor dinasihatkan supaya membaca dulu teks asal Elaine sebelum mendesak kerajaan negeri Selangor menggugurkan Anwar sebagai penasihat ekonomi. Jangan malu menyesal pula di kemudian hari.


Biar pun Anwar mengenali ramai pemimpin pro Yahudi di Amerika Syarikat, saya yakin juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pun ramai berkawan dengan pemimpin Yahudi di Amerika Syarikat. Contohnya, kalau dulu Mahathir pernah menyalahkan jutawan Yahudi Amerika Syarikat berasal dari Hungary iaitu George Soros yang bertanggungjawab dengan kemelesetan ekonomi tahun 1997 tetapi kemudiannya beberapa tahun lepas Mahathir bertemu dan bersalam dengan George Soros pula seperti tiada apa-apa yang berlaku sebelum itu. Adakah semua ini hanya satu lakonan politik semata-mata? Tetapi apa yang saya yakin Anwar, Najib dan Mahathir tidak ada kawan Yahudi di Israel.

Jika benar CIA dan Mossad hendak membunuh Anwar Ibrahim, mengapa tidak Tun Mahathir saja. Rasa-rasanya Tun lebih lantang di luar sana sebagai pemimpin yang menolak regim Zionis. Bukankah Mossad mudah membunuh Tun setiap kali Tun melancong di Greece dan Italy, kedua-dua destinasi pelancongan kegemaran beliau dan keluarga. Bukannya ejen Mossad Israel mudah menyamar semata-mata untuk menembak Tun.

Pengajarannya di sini sekali lagi saya tegaskan cerita-cerita blog seperti penulisan Elaine ini kenalah disiasat dengan sumber-sumber yang sah. Yang menyedihkan ialah penulisan salah seorang jutaan blogger di dunia ini menjadi berita utama di sebuah akhbar bahasa Melayu utama di dalam negara ini untuk kepentingan politik golongan tertentu. Lebih-lebih lagi sengaja disiarkan di dalam media utama orang Melayu untuk terus menekan dan membuatkan orang Melayu yang sudah pun tidak bersatu supaya lebih keliru dengan masing-masing cuba membawa cerita bagi meraih sokongan parti sendiri. Saya pun penulis di dalam media alternatif di negara ini, anda pun boleh baca penulisan ini, oleh itu, terpulanglah kepada anda untuk menilainya.


Alat CIA: Utusan biadap, Umno terdesak (Shamsul Iskandar Mohd Akin)

Tuduhan dangkal dan biadap ini datang selepas kenyataan tegas Datuk Seri Anwar yang menyelar tindakan Amerika dan regim zionis secara konsisten mutakhir ini. Malah, tambah menjengkelkan, kemunculan Datuk Seri Anwar di dalam temuramah CNN yang beroperasi di Amerika Syarikat juga dijadikan sebagai satu 'pembuktian longgar' Umno bahawa Anwar adalah alat CIA.

Serangan terbaru ini sekaligus menzahirkan Utusan telah menjadi akhbar nyamuk yang mengkhianati perjuangan tokoh-tokoh seperti Allahyarham Usman Awang, Keris Mas dan A.Samad Said. Utusan kini jelas bukan lagi satu institusi, tetapi media yang telah terlacur sepenuhnya.

Tuduhan alat CIA nyata berat dan biadap dalam keadaan segalanya bermula apabila beberapa isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar secara umumnya dan Keadilan khususnya mendapat perhatian rakyat dan gagal dijawab secara berfakta oleh Umno-BN. Ini termasuklah isu APCO yang kini disambung kontrak, penglibatan Asiasoft di dalam maklumat perisikan negara, dan yang terkini ialah isu mengenai potensi Felda untuk bankrap berikutan penurunan prestasi kewangan yang membimbangkan.

Jawapan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussien bahawa tindakan akan diambil sekiranya ada bukti menunjukkan Umno begitu terdesak untuk membunuh karakter Anwar. Jawapan itu juga menunjukkan bahawa institusi polis sekaligus telah hilang kredibiliti apabila setelah 12 tahun isu alat CIA dimainkan, Datuk Seri Anwar masih gagal disabitkan dengan sebarang bukti konkrit dan sahih.

Strategi membunuh karakter Datuk Seri Anwar ini mudah dibaca: untuk mewujudkan persepsi negatif ke atas Datuk Seri Anwar di kalangan masyarakat Melayu. Melihat kepada potensi pilihan raya umum diadakan pada tahun ini, taktik busuk ini dicatur meskipun longgar. Kesinambungan pemberitaan negatif ke atas Datuk Seri Anwar ini jelas tidak berasaskan bukti-bukti yang kukuh. Apatah lagi, kes konspirasi liwat yang dicatur ke atas Datuk Seri Anwar juga semakin menemui jalan buntu.

AMK percaya bahawa semua ini dicatur berpaksikan kepada kegagalan Umno untuk meyakinkan rakyat dalam beberapa isu yang membangkitkan kemarahan rakyat mutakhir ini, termasuklah pembaharuan kontrak APCO di dalam urusan pengurusan komunikasi kerajaan Umno-BN.

Malah AMK tidak menolak bahawa inilah hasil yang membanggakan hasil konsultansi APCO kepada Umno. Imej Datuk Seri Anwar 'dibunuh' sehabisnya, pimpinan Pakatan dilaga-lagakan dengan isu-isu lapuk, akhbar-akhbar Pakatan seperti Suara Keadilan, Harakah dan Roket juga sedang berhadapan masalah pembaharuan permit.

AMK mendesak Utusan Malaysia menarik balik tuduhan biadap ke atas Datuk Seri Anwar tanpa sebarang kompromi, atau AMK akan bertindak untuk memimpin rakyat melakukan protes ke atas Utusan Malaysia.

Boikot Utusan Malaysia!

No comments:

Post a Comment