Tidak perlu kerjasama politik dengan Umno
Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 19 Julai: PAS bukan sahaja menolak malah tidak melihat sebarang keperluan untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno biarpun pelbagai pendekatan mahu digunakan pemimpin parti pemerintah itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempelawa orang tengah dalam menjayakan kerjasama Umno-PAS sebagai sia-sia. "Kita dah tutup fail untuk kerjasama dengan Umno dan tak timbul lagi isu ini. "Guna orang tengah ni menunjukkan Umno kritikal sungguh,” katanya kepada Harakahdaily. PAS, jelasnya hanya bersetuju bekerjasama atas semangat faderalisme antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat atau goverment to goverment (G to G). Dalam konteks itu jelasnya, PAS tidak melihat kenapa orang tengah diperlukan. "Yang kita setuju adalah kerjasama kerajaan dengan kerajaan atas sifat federalisme. "Selesaikan masalah negeri yang sudah lama tertunggak. Saya pelik kenapa G to G pun kena guna orang tengah," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. Lebih menimbulkan persoalan jelasnya, kenapa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dicadangkan menjadi orang tengah untuk kerjasama G to G tersebut. "Saya pelik kenapa Mufti Perak dicadang jadi orang tengah, sedangkan dia cenderung kepada kerjasama politik PAS-Umno yang kita memang dah tolak," soalnya pula. Semalam, Muhyiddin dalam kenyataannya mempelawa mana-mana pihak untuk menjadi orang tengah dalam merealisasikan kerjasama PAS-Umno. Beliau mempelawa bekas mufti atau Mufti Perak sendiri berbuat demikian. PAS bagaimanapun tetap berpendirian menolak sebarang bentuk kerjasama politik selain atas semangat federalisma G to G. "Prinsip Islam, tolong menolong dalam perkara baik dan taqwa, tapi dalam Umno segala macam kemungkaran ada. "Kita tidak akan mendukung biawak hidup dengan babi hidup," tegas Tuan Ibrahim. |
Bersatu secara ikhlas
Firman Allah SWT dalam surah al-Fathir : 31-32 : "(31) Dan al-Quran Yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi maha melihat dan memerhatikan. (32) Kemudian kami jadikan al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata)."
Di dalam ayat di atas Allah SWT memuliakan sebahagian daripada kalangan manusia yang telah mewarisi al-Quran. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan, ibn Abbas dan sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa makna " orang-orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba-hamba kami" ialah umat Nabi Muhammad. Dr. Hamka dalam tafsirnya pula menyatakan apa yang diwarisi itu ialah pemahaman, isi kandungan, ilmu-ilmunya, hukum-hukumnya, dan pokok ajaran akidah dari al-Quran.
Umat Nabi Muhammad SAW ini, bukan saja mewarisi al-Quran, malah Allah telah menjadikan umat ini sebaik-baik umat. Ini kerana tugas mereka untuk menyampaikan al-Quran dengan menyeru kepada yang makruf, menegah dari mungkar dan benar-benar beriman dengan Allah SWT. Itulah Allah SWT telah firmankan dalam surah al-Imran:110: "Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."
Namun, Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa umat Muhammad ini terbahagi kepada tiga golongan iaitu dzolimu linafsih, muqtasid & sabiqul khairat. Al-Marhum Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya al-Tafsir al-Wasith telah menyatakan dzolimu linafsih ialah mereka yang banyak amal keburukan dari kebaikan. Muqtasid pula mereka yang sama banyak amal baik dan buruknya. Manakala sabiqul khairat ialah mereka yang lebih banyak amal kebajikan dari keburukan.
Umat Melayu Tunjang Islam di Malaysia
Dalam konteks Islam di Malaysia, umat Melayu merupakan tunjang kepada Islam. Umat Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai orang Islam. Dalam erti kata lain dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu dan agama Islam adalah seiring dan tidak boleh dipisahkan. Saya tertarik dengan ulasan Datuk Dr. Siddiq Fadzil tentang perkara ini apabila beliau menyebutkan: "Meskipun Perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan keMelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam. Dua ciri lainnya itu adalah bahagian daripada kebudayaan Melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman." (Melayu: Jati Diri Keagamaan Dan Kebudayaannya di dalam Muzakarah Ulama 2009). Inilah unik dan istimewanya umat Melayu di Malaysia.
Terlebih istimewa, apabila surah al-Fathir di atas dapat diterjemahkan dalam kedudukan umat Melayu di Malaysia. Bangsa Melayulah yang bertanggungjawab melaksanakan, mendakwahkan dan mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Bukan maksud saya di sini untuk mengetepikan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam di Malaysia. Namun secara dasarnya umat Melayu dilihat sebagai orang Islam, sehingga wujud istilah "masuk Melayu". Ini menggambarkan jatuh bangun umat Melayu akan dilihat jatuh bangun Islam di Malaysia.
Perpaduan Melayu
Jika hari ini orang bertanya, adakah saya yakin umat Melayu akan bersatu? Saya pasti akan menjawab, ya! Oleh kerana itu, impian untuk melihat dan berusaha dalam menyatukan umat Melayu, ini tidak pernah terpadam dalam hati saya.
Siasah atau mudah kita sebut politik adalah sebahagian daripada Islam. Parti pula wujud hasil dari pemikiran dan pendekatan yang berbeza dalam siasah atau politik. Contohnya Pas dan UMNO hari ini dilihat dua parti besar yang mewakili umat Melayu di Malaysia. Kedua-duanya menyatakan memperjuang Islam dan Melayu dengan hujah dan dalil tersendiri. Maka kerana itulah saya berpendapat selagi parti itu mewakili gaya pendekatan dan pemikiran yang tidak bertentangan prinsip syariat, maka tiada siapa yang berhak mendakwa ia memiliki kebenaran mutlak. Mereka mungkin benar dan mungkin salah.
Maka jika ini dapat difahami, saya yakin perpaduan Melayu dapat direalisasikan. Perpaduan bukan bermakna membubarkan parti dengan memasuki parti yang satu lagi. Seperti yang sebutkan tadi parti hanya mewakili gaya pendekatan dan pemikiran. Sedangkan kepelbagaian ini merupakan satu fitrah yang merupakan cabangan. Parti hanya wujud ketika mana berlakunya pilihan raya. Ketika wujudnya kerajaan yang dipilih, maka parti itu menjadi kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira parti apa sekalipun. Seperti kata orang hari ini, 'biar pun banyak persatuan namun satu kesatuan.'
Namun, di manakah perpaduan ini perlu bertemu? Firman Allah SWT di dalam surah al-Imran : 103 : 'Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;' Seperti cabang yang asalnya akar, maka begitulah juga parti yang asalnya Islam. Islam perlu dijadikan matlamat bukannya alat dalam hal ini. Islam perlu dijadikan kata pemutus bukan mangsa rakus. Parti perlu berkorban untuk Islam bukan Islam yang dikorbankan untuk parti. Inilah yang saya lihat roh dan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam surah di atas. Islam adalah kata putus dari Allah yang jauh dari kelemahan dan kepentingan peribadi atau kumpulan. Inilah yang dibuktikan oleh baginda SAW bila menyatukan Aus dan Khazraj mahupun bangsa Quraisy.
Bangsa Melayu sepatutnya berpadu dan bersatu atas akar Islam. Maksud saya jika Pas dan UMNO telah menyatakan komitmen mereka dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, maka biarlah Islam yang menjadi kata putus. Inilah maksud dari 'berpegang dengan tali Allah' di atas.
Tidak mengapalah jika hasrat penyatuan kedua-dua parti ini hanya tinggal harapan. Namun untuk melihat bangsa Melayu bersatu atas kepentingan Islam sangat penting dan tidak mungkin boleh diketepikan.
Ikhlas : Syarat Perpaduan
Perpaduan inilah nanti yang akan melahirkan kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Perpaduan atas dasar selain ini hanyalah bersifat kosmetik dan sementara. Hati yang penuh iman itulah nanti, akan dihimpunkan Allah dalam satu sibghah (acuan) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Anfal :63 "Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Laluan sukar kerjasama UMNO-Pas
DALAM pertemuan dengan dua pemimpin muda yang mewakili UMNO dan Pas baru-baru ini, perbincangan berkisar kepada soal usaha ke arah jalinan kerjasama antara kedua-dua parti dalam isu sosial, ekonomi dan pendidikan.
Banyak yang diperkatakan. Ada yang boleh dizahirkan di atas kertas, ada juga sekadar untuk pengetahuan dan perbincangan. Rumusannya, baik di pihak Pemuda UMNO mahupun Pemuda Pas, kedua-duanya berlapang dada dan bersedia untuk membentuk kerjasama dalam isu-isu yang tidak berbaur politik.
Mereka percaya masih ada ruang dan peluang untuk kedua-dua parti terutamanya di pihak generasi muda untuk membina kerjasama seumpama itu. Masing-masing sepakat bahawa politik benci-membenci, sakit-menyakiti dan saling berdendam mesti diakhiri demi kebaikan ummah yang kini tenat moralnya.
Namun, di sebalik kesediaan itu, ada syarat yang mengikat kedua-duanya - UMNO menjadikan agenda Melayu dan Islam sebagai platform pertemuan, manakala Pas mahu Islam melandasi kerjasama yang bakal dijalin.
Perkara yang sama ditegaskan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kedua-dua perkataan itu - Melayu dan Islam - disebut berkali-kali setiap kali tuntutan kerjasama di antara Pas dan UMNO sebagai parti terbesar menaungi orang Melayu beragama Islam berkumandang.
Baik tuntutan itu berupa kerjasama politik yang pernah disuarakan sedikit masa dulu atas nama kerajaan perpaduan mahu pun kerjasama dalam isu sosial seperti yang mahu dijadikan agenda sekarang ini.
Perkembangan terbaru menyaksikan keengganan Mursyidul Am Pas bertemu Muhyiddin yang telah pun bersedia berbuat demikian atas alasan pertemuan yang hendak dijalin mestilah atas nama Islam. Nik Aziz tidak mahu bertemu atas kepentingan politik.
Muncul pula alasan terbaru - pertemuan tidak akan berlangsung selagi isu-isu yang melatari 'persengketaan' antara kedua-dua parti seperti royalti minyak di Kelantan tidak diselesaikan. Ke mana arah tuju kerjasama yang diusulkan atau itu hanya fantasi golongan yang mahu melihat UMNO dan Pas bekerjasama walaupun tidak bergabung atas nama politik.
Sememangnya agenda pertemuan yang disebut-sebut mutakhir ini tidak berkisar kepada kerjasama politik. Fakta itu telah ditekankan di peringkat awal perihal kerjasama UMNO-Pas diusulkan. Namun egois politik yang tidak pernah berkesudahan mengakhiri episod baru yang belum pun sampai sebulan diselak.
Lebih mendukacitakan kononnya usul itu ditimbulkan kerana Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga memerlukan kerjasama dengan Pas dibentuk.
Mengapa niat asal bekerjasama untuk menangani isu-isu sosial dikaitkan dengan lemah atau kuatnya BN. Bukankah ia prejudis dan mengundang kemarahan seterusnya memanjangkan parut akibat permusuhan lama yang kesannya tidak akan hilang? Sangat jelas gejala sosial di kalangan anak-anak Melayu kini melimpah pada paras yang amat membimbangkan. Apatah lagi kerosakan anak-anak muda Melayu turut menjadi igauan ngeri di negeri yang dinaungi Pas sejak lebih 20 tahun lalu. Siapa kata Kelantan yang menjadikan Islam sebagai tampuk pemerintahan bebas daripada gejala sosial. Cuba hitung kes buang bayi di negeri itu, juga kes tangkapan khalwat, lorong-lorong suram dan jenayah yang sememangnya sangat membimbangkan. Bukankah mereka (baik di Serambi Mekah mahu pun di negeri mana sekali pun) adalah anak-anak Melayu beragama Islam?
Takrif
Hakikatnya Melayu dan Islam memang tidak dapat dipisahkan. Perlembagaan negara secara jelas dan nyata mentakrifkan istilah Melayu sebagai seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu.
Perkara 160(2) amat jelas menunjukkan betapa Melayu dan Islam sememangnya saling kait mengait dan selamanya tidak dapat dipisahkan dalam konteks negara yang bernama Malaysia.
Sebab itu apabila yang satu mahu Melayu dan Islam, manakala yang satu lagi mahu Islam menjadi platform timbul tanya mengapa ia jadi begitu.
Pernah dibangkitkan apakah Melayu dalam UMNO sangat tidak Islam manakala Melayu dalam Pas sangat Islam maka wujud pertentangan antara kedua-duanya untuk bekerjasama.
Adakah Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sangat Islam, DAP sangat toleransi dengan Islam maka begitu mudah kerjasama dijalin?
Justeru setiap kali memperkatakan perihal kerjasama antara UMNO dan Pas demi perpaduan ummah maka soal Melayu dan Islam dijadikan sandaran dan cagaran.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz ketika ditanya tentang kemelut UMNO dan Pas berhubung konsep Melayu dan Islam bersetuju bahawa semacam wujud konflik dalam melihat 'Melayu dan Islam'.
''Khalayak sering mengambil Islam sebagai elemen pertemuan kedua-dua parti politik ini. Tetapi teras utama UMNO adalah Melayu. Walaupun Islam berada sekali di dalam ungkapan Melayu tersebut, ini tidak diterima Pas. Manakala teras utama bagi Pas adalah Islam, tanpa mengehadkannya kepada Melayu. Ini tidak boleh diterima UMNO,'' katanya.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu membuat huraian, Pas sering melabelkan apa yang diperjuangkan UMNO hanyalah Melayu, bukannya Islam. Justeru Pas dan UMNO tidak bersatu suara mengenai apa yang dikatakan Islam walaupun dalam konteks undang-undang sememangnya benar bahawa Melayu dan Islam itu sama.
Mengenai sejauh mana kerjasama antara UMNO dan Pas itu boleh dibentuk dan akan menjadi kenyataan, Shamrahayu menegaskan, usaha tersebut walaupun murni namun agak sukar untuk diramalkan.
Ini kerana, menurut beliau, ia bergantung kepada banyak faktor, termasuklah misi politik dan manifesto kedua-dua parti itu. Beliau mengimbas kesepakatan atau persamaan antara UMNO dan Pas mengenai sesuatu isu sejagat berkaitan Islam seperti apa yang menimpa bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Namun, apabila bercakap mengenai Islam di negara sendiri, dalam banyak ketika kelihatan seolah-seolah tiada titik pertemuan untuk kedua-dua parti politik itu.
Ketara
''Ini kerana walaupun misi kedua-dua parti itu ada kesamaan, namun, perbezaan dari segi pendekatan kedua-duanya amat ketara,'' katanya.
Pendekatan cara menegakkan Islam sebagaimana fahaman kedua-dua belah pihak ada kalanya agak jauh berbeza dan tidak dapat diterima. Ditanya apa halangan sebenarnya bagi UMNO dan Pas untuk bekerjasama, Shamrahayu tidak nampak halangan yang menyerlah mengenai kerjasama kedua-dua parti politik itu.
''Namun, sekiranya untuk bergabung, mungkin objektif politik masing-masing tidak begitu positif . Sebagai parti politik, kedua-dua pihak mungkin mempunyai tujuan politik masing-masing,'' katanya.
Menurut beliau, bagi Pas, mungkin sejarah semasa bergabung dengan UMNO dahulu masih segar dalam lipatan ingatan dan agak sukar untuk dilunturkan. Selain itu, kenyataan Mursyidul Am Pas bahawa UMNO menolak Islam juga menjadi punca parti itu menolak usaha untuk bekerjasama bergabung. Jika dilihat kepada kenyataan tersebut, ia seolah-olah mempamerkan fahaman berbeza kedua-dua parti politik mengenai Islam. ''Mungkin ini juga boleh dikatakan halangan untuk bekerjasama. Mereka tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai apa itu Islam dan keadaan ini menyedihkan,'' ujarnya.
Perpecahan
Mengenai sejauh mana tuntutan kerjasama antara UMNO dan Pas, Shamrahayu menyorot pendapat para ulama terdahulu yang enggan mengiktiraf penubuhan parti-parti politik kerana khuatir ia menjadi sebab perpecahan umat Islam.
Katanya, mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut tetapi apa yang jelas di negara ini akibat ketaksuban politik masyarakat Islam telah berpecah dan tidak sekata hatta dalam perkara teras mengenai Islam.
Shamrahayu pasti kerjasama UMNO dan Pas amat perlu dan ia menjadi lebih efektif sekiranya gabungan berlaku.
''Saya fikir sekiranya berlaku gabungan banyak juga kecaman akan timbul daripada penyokong UMNO dan Pas kerana lipatan sejarah hubungan kedua-duanya agak tebal.
''Tetapi saya pasti, dalam politik kecaman tersebut adalah perkara biasa, umpama kecaman sesetengah pihak terhadap Pas yang sedang bergabung dengan DAP dalam pakatan pembangkang,'' katanya.
Hakikatnya biarpun ada pihak percaya jalan untuk UMNO dan Pas bekerjasama atas nama apa sekalipun telah mula terbuka namun ia tidak semudah itu. Cahaya yang menyorot laluan kerjasama itu amat samar sehingga tidak mampu membimbing kedua-duanya menemui jalan penamat. Malah bukanlah mustahil jika kerjasama serta pertemuan yang diuar-uarkan itu umpama mahu bertepuk tetapi kedua-dua tangan enggan menyambut lantaran egois politik.
Misi menyatukan ummah
DALAM soal mewujudkan perpaduan di kalangan umat Islam, kita sering diperingatkan dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud, ''Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu)...''
Firman Allah ini sekali lagi dijadikan hujah kukuh apabila isu mengenai penyatuan dua buah parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas diperkatakan.
Selama ini ayat tersebutlah yang sering dilafazkan oleh alim ulama apabila ingin menyeru umat Islam supaya menamatkan persengketaan di antara mereka kerana perbalahan yang berlanjutan hanya akan menyebabkan umat Islam menjadi lemah.
Tetapi sejak sekian lama apabila terwujudnya UMNO pada tahun 1946 dan Pas pada tahun 1951 diikuti pula oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 1999 (tidak mengambil kira kewujudan parti-parti kecil orang Melayu sebelum ini), umat Islam di negara kita berpecah-belah.
Kita hanya mampu bersolat berjemaah di dalam sebuah masjid dan mengadap kiblat yang sama tetapi apabila melangkah keluar daripada rumah Allah itu maka bersengketalah kita kerana perbezaan ideologi politik.
Di atas pentas-pentas politik, kita melihat bagaimana sesetengah pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam mencaci, mengutuk dan mengumpat serta mencerca pemimpin yang seagamanya sesuka hati.
Mereka seolah-olah melupakan firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 11 yang antara lain bermaksud; ''Wahai orang-orang beriman, janganlah sesuatu kaum itu mengejek-ejek akan sesuatu kaum lain kerana mungkin kaum yang diejek itu lebih baik daripada kaum yang mengejek... janganlah kamu mencaci maki diri mu sendiri dan janganlah menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk dan memalukannya...''
Dalam soal ini juga Rasullullah SAW bersabda; ''Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain tidak boleh membiarkan saudaranya dhina oleh orang lain...Cukuplah seseorang itu dianggap jahat apabila ia menghina sesama Muslim.''
Oleh itu masanya sudah tiba untuk kita dengan sepenuh hati menamatkan persengketaan politik yang tidak berkesudahan ini melalui seruan pelbagai pihak agar UMNO dan Pas mencari titik pertemuan serta persamaan antara mereka.
Dalam mencari 'kemuncak persamaan' itu, kita tidak mengharap parti-parti tersebut menyerah kuasa antara satu sama lain, kekalkanlah prinsip dan dasar perjuangan masing-masing tetapi haruslah bersedia duduk semeja membincangkan tentang kepentingan umat Islam.
Untuk mencapai kesepakatan yang diidam-idamkan oleh seluruh umat Islam di negara ini, pemimpin-pemimpin terlibat hendaklah berfikir atas landasan ukhuwah Islamiah berbanding mengikat diri dengan fahaman politik semata-mata.
Apa yang perlu diingat ialah Islam itu bukan sekadar berpolitik, tetapi Islam itu juga melibatkan pelbagai aspek lain.
Bagaimanapun seperti mana diperingatkan oleh pelbagai pihak, perdamaian dan penyatuan tersebut hanya mampu dicapai jika tiada lagi sikap dendam atau mengungkit peristiwa lama yang menghalang hasrat murni berkenaan.
Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr.Asri Zainal Abidin ketika menyentuh isu penyatuan UMNO dan Pas ini pernah mengingatkan, ''Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Janganlah lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat.''
Oleh itu paluan seruan ke arah perdamaian yang semakin kuat dipalu ketika ini tidak harus disia-siakan. Generasi pewaris perjuangan di dalam UMNO dan Pas tidak harus selamanya diajar apatah lagi mewarisi 'tradisi' untuk bersengketa dan berbalah hanya kerana politik.
Ketika mengulas isu ini, dua pemimpin muda di dalam Pas dan UMNO menaruh harapan agar perpaduan antara kedua-dua parti itu dapat dicapai.
''Sejak menyertai Pas pada awal tahun 1990-an, saya bukan sahaja diberi pemahaman mengenai perbezaan politik dengan UMNO tetapi juga kenapa kami terus bermusuhan.
''Tetapi saya berpendapat demi masa depan umat Islam di negara ini, perbezaan politik yang melahirkan 'permusuhan' ini perlu ditamatkan. Saya menyokong jika usaha dilakukan bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak,'' kata seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas (DPP), ketika dihubungi.
Harapan yang sama juga dilontarkan oleh Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan yang berharap, titik pertemuan antara kedua-dua parti itu dapat dicapai.
''Sampai bila kita hendak bersengketa dan bermusuh sedangkan sebagai umat Islam kita perlu bersatu, cabaran yang menanti kita adalah lebih getir. Jangan sampai perbalahan yang berlanjutan antara kita menguntungkan pihak lain, akhirnya umat Islam di negara ini yang rugi,'' katanya.
Mahu tidak mahu, pewaris berkenaan adalah pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam yang bakal menentukan kesinambungan kuasa politik serta kedudukan umat Islam di negara ini.
Kalau mereka hanya diajar dan dipaksa mewarisi perbalahan serta persengketaan yang berlanjutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu tidak mustahil suatu hari kelak orang Melayu di negara ini hanya akan menjadi pelarian di tanah air sendiri dan perkembangan Islam pula hanya tinggal sejarah sahaja.
Justeru sebelum semuanya terlambat, dalam keadaan pemimpin-pemimpin sedia ada diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menamatkan 'persengketaan' yang berlaku bakal berusahalah melaksanakan misi menyatukan umat ini.
Jika di dalam Islam, Allah menyeru kita berdamai hatta dengan orang bukan Islam sekalipun, apa susahnya hendak mencapai perdamaian dengan sesama Islam? Ini ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat 61 yang bermaksud:
''Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Dia maha mendengar lagi maha mengetahui.''
Namun begitu, kita mengakui laluan untuk melihat penyatuan antara UMNO dan Pas ini sudah pasti akan menempuh sedikit laluan getir apatah lagi jika ada sesetengah pemimpin yang cuba menjadi 'makhluk perosak' dengan awal-awal lagi menolak kerjasama antara kedua-dua parti itu.
Kepada pemimpin seumpama ini, pemikiran dan akal mereka seolah-olah disempitkan serta dikongkong dengan pemahaman politik yang menebal.
Mereka sudah tidak lagi melihat kepentingan kedua-dua parti itu bekerjasama, apa yang ada di dalam fikiran mereka ialah merebut kuasa politik semata-mata.
Bagaimanapun kita yakin jika semua pihak mempunyai niat yang ikhlas dan terus berprasangka baik sudah pasti misi menyatukan ummah ini menjadi kenyataan.
Justeru adalah wajar jika seruan berdamai kali ini, tidak hanya berakhir dengan retorik politik semata-mata. Jadikanlah Islam sebagai titik tolak kepada perdamaian yang diidamkan kerana sesungguhnya Allah sudah menetapkan bahawa umat Islam itu bersaudara.
Mahfuz: ‘Bab kerjasama PAS-Umno sudah tutup, usah bangkit lagi’
TERKINI
KUALA LUMPUR, 14 Julai — Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar memberi nasihat kepada Umno tidak lagi membangkitkan syor yang ia masih berhasrat mengadakan perbincangan mengenai kerjasama perpaduan Melayu sambil menyifatkan “bab dialog PAS-Umno dalam hal ini sudah ditutup.”
Malah, naib presiden penggal pertama itu juga berkata, kepimpinan Umno-BN tidak wajar mengetengahkan lagi cadangan seumpama itu yang dilihat sebagai usaha “terdesak” Umno untuk menggunakan “PAS sebagai talian hayat politik mereka” selepas keputusan 8 Mac 2008.
“Kami menganggap isu sudah lama ditutup, buku mengenai isu ini sudah ditutup... sebab itu kini hanya hendak membincangkan soal melonjakkan sokongan orang Melayu kepada PAS, sebagaimana telah dibincangkan ketika sesi pemukiman di Port Dickson baru-baru ini,” kata beliau.
Sehubungan itu Mahfuz juga berkata PAS akan terus memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan kerjasama menerusi Pakatan Rakyat.
“PAS akan melakukan ini, usaha yang telah gagal dilakukan oleh Umno selama ini... mempertahankan hak orang Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan dengan gandingan komponen Pakatan Rakyat.
“Biar beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) seorang diri bercakap mengenai isu ini. Saya percaya mereka akan menggunakan isu selama-lamanya dengan menuduh PAS menolak usaha mahu mengadakan perbincangan dengan Umno.
“PAS tidak akan melayan langkah Umno macam ini lagi, kami akan terus bertahan dalam Pakatan Rakyat sebagaimana dinyatakan dalam Dasar Bersama Pakatan tahun lalu,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat bulanan majlis kepimpinan presiden di ibu negara petang ini.
Muhyiddin semalam dipetik Bernama berkata Umno sedia berbincang dengan PAS sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.
Sambil menyambut baik saranan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.
“Soal perpaduan antara Melayu sama Melayu bukanlah satu perkara tidak baik, lebih-lebih lagi dalam situasi pada masa kini yang memerlukan bentuk kerjasama yang lebih konkrit terhadap isu termasuk ekonomi, kebudayaan dan institusi beraja serta mewujudkan perpaduan untuk membantu membangunkan ummah dan negara,” katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata, terpulang kepada kepimpinan PAS sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.
Muhyiddin memberikan pandangan itu mengulas anggota Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Lokman Nor Adam sebagai berkata bahawa hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.
Ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak sekiranya kerjasama antara Umno dan PAS terjalin, Muhyiddin berkata mereka tidak perlu takut kerana kerajaan tetap akan menjaga kepentingan semua kaum.
Syor agar diadakan kerjasama politik PAS-Umno ini bukan kali pertama diketengahkan.
Pandangan-pandangan seumpama ini telah banyak kali dikemukakan sejak selepas prestasi Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.
Muktamar Tahunan PAS 2008 dan 2009 juga telah memutuskan dialog kerajaan perpaduan antara Umno-PAS.
Mengulas lanjut, Mahfuz mendakwa Umno terus membangkitkan isu ini kerana berada lemah selepas ia kehilangan sokongan masyarakat Cina manakala keyakinan dan kepercayaan orang Melayu pula belum pulih selepas 2008.
“Dalam keadaan Umno kehilangan sokongan golongan muda manakala pengundi tradisi pula menganggap Umno sudah gagal, Umno sebagai parti politik untuk terus hidup mahukan talian hayat bagi mendapatkan sokongan orang Melayu dan dalam keadaan ini mereka menganggap PAS boleh memainkan peranan.
“Sebab itu mereka mahukan kerjasama, tetapi PAS tidak akan melayan dan tidak mahu memikul bersama biawak hidup... kami sudah belajar dari pengalaman lalu,” katanya lagi.
Penyatuan UMNO-Pas bukan kerja mudah
SEBAGAIMANA saya pernah memberi sokongan kepasa cadangan penubuhan kerajaan perpaduan UMNO-Pas, saya juga sangat menyokong kerjasama ini bagi memudahkan penubuhan negara Islam direalisasikan kerana kedua-dua parti dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam.
Tetapi kerja untuk itu bukan mudah, memandangkan pendukung dan penyokong Pas telah ditanamkan dengan kepercayaan dan persepsi bahawa UMNO dan mereka yang mendukung dan menyokong UMNO lebih khianat, jahat, korupsi dan lebih tidak Islamik daripada DAP. Malah UMNO dilabel sebagai pendominan parti pemerintah yang serba gagal dalam tempoh lebih 50 tahun menerima mandat rakyat.
Untuk memadamkan kepercayaan, persepsi, tohmahan dan penilaian pendukung dan penyokong Pas terhadap UMNO yang serba buruk, cemar dan jijk pada pada pandangan mereka bukanlah satu kerja mudah. Bagi saya seratus atau dua ratus tahun pun tidak terpadam apabila ia telah melekat sebagai suatu kepercayaan. Demikian mahalnya harga yang terpaksa dibayar bila politik kepartian dimainkan secara melampau, sempit dan jumud.
Demikian juga betapa tidak mudah untuk disembuhkan luka dan dihilangkan parut di kalangan pendukung dan penyokong UMNO ekoran tanggapan dan persepsi Pas terhadap mereka walaupun kerbersatuan kedua-dua parti pada hakikat dan hakikinya akan banyak membawa faedah ke arah merealisasikan penubuhan kerajaan dan pentadbiran Islam secara total, supaya umat Islam tidak menjadi bangsa yang lemah dan tidak bermaya di negara warisan nenek moyang.
Walaupun pahit menjadam untuk diperakukan, sesungguhnya telah tertinta dalam bentuk bercetak serta rakaman audio dan visual betapa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menentang keras idea penubuhan kerajaan perpaduan UMNO-Pas di samping pendukung dan penyokong UMNO acap kali disenarai-nerakakan kreana memilih UMNO, bukannya Pas.
Dengan mengangap pendukung dan penyokong UMNO tidak ada peluang masuk syurga, semua orang boleh faham status pendukung dan penyokong UMNO di sisi Nik Aziz. Isi neraka terdiri dari kalangan mereka yang berdosa dan juga orang kafir.
Setelah demikian kroniknya tanggapan dan persepsi buruk terhadap UMNO serta pendukung dan penyokongnya, apakah persetujuan Nik Aziz dengan cadangan kerjasama UMNO-Pas boleh diterima oleh pendukung dan penyokong Pas sendiri. Ini kerana persetujuannya itu sangat bercanggah dengan penentangan terhadap idea kerajaan perpaduan yang menyaksikan Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa menyokong idea Presiden Pas itu disumpah dan dihina dengan sehodoh dan sehina bahasa oleh Nik Aziz.
Yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan adalah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mendapat sokongan Timbalan Presiden manakala cadangan perpaduan UMNO-Pas datang dari bekas pimpinan pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lokman Nor Adam yang menyertai UMNO dan kini adalah Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), sebuah agensi di bawah UMNO.
Bila idea presiden yang mendapat sokongan timbalan presiden ditolak, apakah mudah untuk pendukung dan penyokong Pas menerima cadangan yang dikemukakan oleh seorang yang sering dianggap dan ditohmah telah dibeli dan menjadi alat UMNO. Di samping itu, pemberi reaksi positifnya pula adalah Tan Sri Harussani Zakaria dan Prof, Datuk Mahmood Zuhdi Abdul Majed yang sering dikecam oleh Pas kerana pendirian mereka yang tidak melabakan Pas.
Maknanya mahu tidak mahu, pada pendapat saya, bila kedua-duanya secara realiti dapat disatu dan dibersatukan, maka akan lahirlah tokoh dari kedua-dua parti, terutama Pas yang akan mengasaskan parti baru sebagai tanda protes sebagaimana wujudnya Berjasa, Hamim, Akim, Islah dan sebagainya ekoran wujudnya kalangan yang tidak boleh menerima UMNO sebagai sahabat.
Ia kerana wujudnya tokoh-tokoh politik celupar dan melampau kerana terlalu yakin dengan kuasa dan populariti sehingga sanggup mengeluarkan buah fikiran yang telah menjadi suatu wabak dan sindrom kepercayaan yang tidak mudah untuk dikikis dan dipadamkan sebagai suatu pegangan di kalangan pendukung dan penyokong taksub, termasuk ketika negara terlalu amat memerlukan perpaduan sesama sebangsa dan seagama.
Pun begitu, sepayah dan sesukar mana pun usaha untuk penyatuan UMNO-Pas, demi memudahkan hasrat mewujudkan pemerintahan dan pentadbiran berasaskan Islam secara total, usaha tanpa jemu perlu dilakukan secara berterusan. Malah bagi saya ia menjadi suatu tuntutan fardu kifayah bagi membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh pimpinan parti yang 'barangkali gelap mata' ketika berada di puncak kehebatan sehinggakan pendiriannya diterima oleh pendukung dan penyokong sebagai suatu kefahaman.
Umat Islam di negara ini patut sama-sama berdoa supaya usaha untuk penyatuan bangsa demi kepentingan agama tidak akan tersekat oleh kepercayaan dan fahaman yang boleh menggagalkan penyatuan. Mereka perlu bersabar walaupun akan mengambil masa seratus atau seribu tahun lagi setelah semangat satu bangsa satu anutan agama dirosakkan oleh permainan politik kepartian yang melampau, sempit dan jumud.
Golongan agama komited satukan UMNO-Pas
KUALA LUMPUR 12 Julai - Golongan agama hari ini melahirkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus berusaha menyatukan UMNO dan Pas demi kepentingan Islam dan umatnya walaupun terpaksa berdepan cemuhan daripada penyokong kedua-dua parti.
Penyatuan dua parti orang Melayu itu jika benar-benar berlaku dianggap kemenangan paling besar bagi umat Islam negara ini.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai golongan agama, segala cabaran harus dihadapi dengan tenang kerana tanggungjawab menyatukan umat Islam termasuk membabitkan parti-parti politik orang Melayu merupakan tuntutan agama.
"Tidak boleh tidak, kita terpaksa mengakui masa depan Islam di negara ini terletak di tangan orang Melayu. Atas sebab itu saya dalam usia lebih 70 tahun ini tidak pernah berhenti berusaha selain berdoa untuk melihat orang Melayu benar-benar bersatu.
"Perpecahan antara kedua-dua parti ini sebenarnya cukup memberi kesan kepada kedudukan Islam sekali gus kedudukan orang Melayu di negara kita. Malaysia adalah negara kita dan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk ke mana harus kita pergi?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.
Lokman berkata, jika UMNO dan Pas bekerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud berbanding tindakan bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza.
Harussani menambah, dalam keadaan umat Islam masih berpecah, pemimpin UMNO dan Pas sepatutnya mengetepikan fahaman politik masing-masing dengan menjadikan Islam sebagai asas penyatuan.
"Ini bukan soal perkauman tetapi ini menyentuh mengenai masa depan Islam. Apabila kita menyentuh tentang Islam ia bersangkut paut dengan orang Melayu kerana Islam di Malaysia didukung oleh orang Melayu.
"Sebab itu saya mahu UMNO dan Pas kembali bersatu. Mereka boleh duduk dan berbincang atas konsep syura demi Islam dan demi orang Melayu. Bukankah syura merupakan amalan Rasulullah?" katanya lagi.
Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi berkata, penyatuan UMNO dan Pas akan membolehkan Islam dan kedudukan umat Islam bertambah kuat.
"Saya tidak akan berhenti melakukan kerja ini. Kerja ini tiada noktahnya kerana ia membabitkan kedudukan Islam serta umat Islam pada masa akan datang.
"Saya tidak rela melihat Islam dipermain-mainkan mana-mana pihak. Saya juga tidak mahu melihat kedudukan umat Islam terus menerus berada pada persimpangan jalan yang amat kritikal ekoran wujudnya perpecahan," katanya.
Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO dan Pas menginsafi nasib menimpa Islam dan umat Islam ekoran ketiadaan perpaduan yang jitu di kalangan umatnya.
Dalam pada itu beliau berkata, dalam konteks politik semasa, Pas harus bekerjasama dengan UMNO dan bukannya parti lain seperti DAP sekiranya parti itu mahu meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi.
"Butalah mata mana-mana pemimpin (Pas) sekiranya ada antara mereka mahu bekerjasama dengan DAP kerana terlalu mementingkan politik," katanya lagi.
Mengulas isu sama, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussein berkata, penyatuan UMNO dan Pas bukan sahaja menjadi hasrat kepada golongan agama malah bagi semua umat Islam.
Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan percaya jauh di sudut hati umat Islam ingin melihat kedua-dua parti itu bersatu dan bekerjasama khususnya berkaitan dengan Islam dan kepentingan Melayu.
"Saya sendiri sentiasa berdoa agar apa yang dihasratkan ini dimakbulkan oleh Allah," katanya lagi.
Bekerjasamalah Pas dan UMNO demi kepentingan ummah
KERJASAMA yang lebih erat di antara Pas dan UMNO dalam menangani isu-isu tertentu yang membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam di peringkat nasional dan antarabangsa sangat dialu-alukan.
Meskipun mempunyai ideologi berbeza, Pas dan UMNO masih mempunyai titik pertemuan terutama dalam aspek yang bukan berkaitan politik.
Kerjasama Pas dan UMNO dalam menangani isu Palestin misalnya membuktikan kedua-dua parti tersebut bukanlah bermusuh dalam erti kata sebenar. Kedua-dua parti orang Melayu ini hanya bertentangan pandangan dalam soal politik dan pentadbiran negara sahaja.
Sebab itu, banyak pihak ingin melihat Pas dan UMNO mengadakan lebih banyak kerjasama demi kepentingan umat Islam dan Melayu pada masa akan datang.
Untuk itu, digesa lebih banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil mengaturkan pertemuan-pertemuan antara Pas dan UMNO bagi membincangkan isu-isu yang bukan berkaitan politik.
Selama ini kita lihat Pas dan UMNO terlalu mementingkan politik undi daripada politik ummah.
Cukup-cukuplah perbalahan, hentam menghentam antara sesama pihak Islam. Pas dan UMNO mempunyai hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam, ia lebih mudah dicapai jika Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.
Hasrat murni itu sukar direalisasikan jika Pas bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Hakikatnya kedua-dua parti pembangkang itu mempunyai perjuangan yang berbeza iaitu DAP menolak Islam manakala PKR asyik memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpinnya.
Malah cita-cita Pas untuk melaksanakan hukum Islam tidak mungkin terlaksana. Untuk berjaya membentuk kerajaan dan menubuhkan negara Islam seperti diharapkan, Pas memerlukan kuasa dua pertiga di Parlimen.
Memang Pas pernah terluka tetapi demi agama dan bangsa, Pas dan UMNO perlu berbaik-baik dan melupakan peristiwa hitam pada 1970-an.
Pas dan UMNO adalah parti Islam dan akidah mereka adalah akidah Islam. Jadi seperti kata bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, kerjasama antara kedua-dua parti itu boleh dibuat menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas supaya kedua-dua parti orang Melayu itu boleh bersama mengatasi isu-isu berkaitan dengan Islam serta kepentingan umatnya.
Jika golongan pemikir Islam negara kita sendiri mengalu-alukan kerjasama ini sejajar dengan konsep ibadah dalam berpolitik untuk menyatukan ummah dan bukan memporak-perandakan masyarakat, maka apa yang ditunggu lagi oleh pemimpin tertinggi Pas dan UMNO.
Apakah kita mahu terus membiarkan usaha untuk menemukan Pas dan UMNO sejak lebih sedekad yang lalu itu masih gagal dilaksanakan?
Ketepikanlah alasan dan kepentingan politik. Masalah perpaduan dan tekanan yang dihadapi oleh orang Melayu dan Islam perlu mendapat pembelaan daripada Pas dan UMNO.
Banyak kerugian yang ditanggung oleh umat Islam negara ini apabila pemimpin politik Melayu berpecah.
Jadi, pemimpin Pas dan UMNO kena insaf. Mereka tidak harus terus bercakaran.
Kerajaan perpaduan: Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti
Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang Muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama Muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat. Orang yang enggan melihat sesama Muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama Muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya) “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).
Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda: "…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim). Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud). Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya. Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.
Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu‘awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin ‘Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu‘awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina ‘Ali. Mu‘awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba‘ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr). Di samping itu, Mu‘awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:“Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)" (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu ‘tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).
Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan Pas dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan Pas boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan Pas berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.
Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama Muslim. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).
Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika Muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri. Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan ‘Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan ‘Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera ‘Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya ‘Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera ‘Aisyah dan ‘Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera ‘Aisyah telah menyatakan: “Tentera ‘Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera ‘Ali pula menyatakan: “Tentera ‘Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak...(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time.”
Demi ummah Pas-UMNO perlu disatukan
BERBUIH mulut Nik Aziz mempertahankan Karpal Singh. Ini bukan sekarang saja, tapi sejak bertahun-tahun lalu. Setiap kali Karpal mempertahankan pendiriannya ''langkah mayat saya dulu jika mahu tubuhkan negara Islam", setiap kali itu jugalah Nik Aziz terpaksa mempertahankan abang bhai berkenaan.
Saya cukup hairan dengan Nik Aziz ini. Walaupun itulah pendirian DAP, tapi Nik Aziz kata mereka betul. Bagi Nik Aziz, UMNOlah yang selama-lamanya salah.
Nik Aziz akan mengeluarkan pelbagai ayat untuk mempertahankan Karpal. Ayat-ayat itu boleh diadun mengikut acuan yang mahu dibentuk.
Itu pasallah saya pernah mengatakan Nik Aziz ini ialah a political animal. Tapi budak-budak yang taksub dengan Nik Aziz menyerang saya kiri-kanan atas-bawah dalam blog. Mereka ingat maksud saya ialah Nik Aziz 'binatang'.
Animal dalam konteks ini ialah orang politik totok. Hidup Nik Aziz bergelumang dengan politik. Gelaran Tok Guru ialah kerana beliau belajar agama, tapi kehidupannya, mata pencariannya ialah dengan politik.
Kita sudah tahu siapa Nik Aziz. Beliau ialah political animal yang amat cerdik dalam permainan politik. Kalau tidak takkan beliau boleh bertahan lebih 20 tahun memerintah Kelantan.
Para pemimpin yang properpaduan dalam Pas, sebenarnya cukup risau dengan sikap Nik Aziz itu. Tapi mereka malu alah mahu menyatakan depan-depan. Sebenarnya ramai yang sudah bertentangan haluan dengan Nik Aziz. Bukan rahsia lagi, dalam Pas sendiri pun sudah ada dua puak. Satu totok mempertahankan ideologi Nik Aziz, satu lagi lebih liberal yang mahu melihat Melayu Islam bersatu-padu.
Puak Nik Aziz melihat puak yang satu lagi itu cukup berbahaya bagi politik mereka. Nik Aziz acap kali berkata jangan berkawan dengan UMNO kerana di zaman 70-an dulu, UMNO menikam belakang Pas. Tapi orang Pas yang liberal itu menganggap apa yang ditakrifkan oleh Nik Aziz itu sebagai cerita lama. Dalam politik semua boleh jadi. Hari ini musuh, 24 jam kemudian berkawan semula.
Melihatkan fiil PKR dan DAP dalam pakatan, beberapa gelintir pemimpin Pas mulai tawar hati untuk bekerjasama terus dengan mereka. Banyak yang dilihat tidak betul dalam pakatan itu.
Dalam hati mereka apa salahnya berpakat dengan UMNO untuk menyelamatkan ummah dan negara ini daripada jatuh ke tangan yang lebih berbahaya.
Mereka sedar itu semua. Tapi Nik Aziz adalah penghalangnya. Mereka malu alah dengan orang tua itu.
Sebenarnya sebelum ini sudah ada cakap-cakap mengenai konsep perpaduan Pas-UMNO. Tapi puak yang bercakap mengenainya dihentam teruk. Terus orang itu berdiam diri, dan idea itu dibekukan.
Tapi hakikatnya kumpulan ini tidak berdiam diri. Mereka mahu gagasan perpaduan ini diteruskan. Masa terlalu suntuk sebelum terlambat.
Seorang pemimpin Pas pernah memberitahu saya lambat laun kita, Pas dan UMNO perlu bersatu juga. Tapi saya kata bila? Jangan tunggu nasi menjadi bubur. Beliau terdiam.
Ada yang mencadangkan Nik Aziz perlu disingkirkan daripada Pas. Beliau ialah penghalang terbesar ke arah perpaduan itu.
Tahun depan ialah tahun pemilihan Pas. Saf baru Pas perlu diatur dari sekarang. Sebelum PRU-13, Pas memerlukan kepemimpinan baru yang properpaduan. UMNO dan Pas perlu disatukan.
Dua lelaki itu ialah beliau dan saya.
Genggaman erat itu terjalin setelah Syed Azidi membelasah saya dalam entri terdahulu. Dia marah kerana saya menuduhnya pernah mencerca Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dia mempertahankan diri mengatakan beliau sebenarnya ialah penyokong nombor satu Tun. Saya mengaku terkhilaf dan bersetuju bertemu dengannya yang turut dihadiri oleh blogger Bigdog dan Rocky's bru di sebuah restoran di Bangsar.
Panjang lebar yang diborakkan. Rata-rata mengenai sosio-politik tanah air. Ternyata Syed Azidi seorang yang tajam pemikirannya.
Beliau ialah penyokong properpaduan. Pas-UMNO perlu disatukan. Kita kena cari jalan, katanya bersungguh-sungguh ikhlas.
Kami semua bersetuju. Pas dan UMNO perlu disatukan demi kepentingan ummah.
Insya-Allah, kami akan berusaha ke arah itu.
Tapi, sebelum itu mungkin Syed Azidi perlu kickdefellanikaziz terlebih dahulu...
No comments:
Post a Comment