|  | 
| Pemimpin suka sama suka | 
''Kita tidak perlu apologetik untuk terus bercakap mengenai dasar dan  prinsip perjuangan Islam yang kita dokong seperti pelaksanaan syariah  dan seumpamanya.
''Saya tidak bersetuju membawa Pas baru dengan menenggelamkan atau  menyembunyikan hasrat atau cita-cita untuk mendaulatkan Islam walaupun  ia dilakukan atas nama strategi.''
Demikian dua ungkapan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan  dalam blognya pada minggu lalu. 
Di atas kertas ia sememangnya indah, menarik dan penuh penegasan tetapi apa yang menjadi persoalan mampukah kepimpinan Pas termasuk Nasrudin merealisasikannya dalam bentuk realiti.
Ia kerana semua orang tahu, Pas kini bukanlah sebuah parti yang  bebas, tidak lagi berdiri atas kaki sendiri bagi mencari kuasa politik  atau mempunyai pendirian yang teguh terhadap perjuangan Islamnya.
Pas sudah dilihat sebagai sebuah parti yang semakin jauh ketinggalan  dari segi pengaruh, apatah lagi mahu menjadi parti alternatif kepada  UMNO dalam membela nasib Melayu dan umat Islam.
Perjuangan Islam yang sebelum ini begitu diuar-uarkan sejak penubuhan  parti itu pada 1951, kini boleh dianggap hanyalah retorik.
Segalanya kerana kegelojohan dan keghairahan Pas untuk menjalin  kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, dua parti yang  cukup alergi dalam menyentuh soal Melayu dan perjuangan Islam.
Tetapi Pas tetap mahu bertahan di dalam apa yang mereka panggil  'Pakatan Rakyat'. Akibat dipengaruhi dengan permainan lidah politik PKR  dan DAP, kepimpinan Pas seolah-olah sanggup mengorbankan prinsip  perjuangan demi meraih kuasa.
Atas sebab itulah, ketika diminta mengulas perkara ini, seorang  penganalisis politik terkenal dari utara tanah air menggariskan tujuh  'harga' yang perlu dibayar oleh Pas apabila bersama DAP dan PKR.
Tujuh perkara itu ialah leburnya agenda negara Islam, agenda hudud  dan kanun jenayah syariah berkecai, perjuangan mendaulatkan Islam dan  saki baki agenda Melayu (kalau masih ada) hancur berkecai, tergadainya  maruah Pas sebagai parti pembela Islam dan terpaksa menerima pemimpin  Islam liberal sebagai ketua yang lebih tinggi daripada Mursyidul Am dan  Presiden Pas sendiri.
Selain itu, Pas terpaksa akur dengan pemimpin DAP yang tidak pernah  bersimpati, malah menolak agenda perjuangan Islam Pas dan terpaksa  menipu penyokong setia Pas kononnya agenda Islam masih wujud dalam  pakatan pembangkang.
Sememangnya hujah ahli akademik ini perlu diakui oleh Pas yang selama  ini sudah dilihat mengorbankan agenda, falsafah dan prinsip perjuangan  apabila bersedia bekerjasama dengan PKR dan DAP.
''Sedangkan DAP dan PKR mengaut semaksimum keuntungan dan faedah  daripada kepandiran pemimpin-pemimpin muda dalam Pas yang salah  memberikan nasihat kepada ulama parti itu,'' kata penganalisis  berkenaan.
Lanjutan itu, Pas dilihat terlalu lemah termasuklah untuk menegur  segala kepincangan yang dilakukan oleh PKR dan DAP yang memiliki kuasa  memerintah di Selangor dan Pulau Pinang.
Walaupun Pas dikatakan mempunyai saham cukup besar bagi memastikan  panji-panji pakatan pembangkang tegak di negeri itu tetapi apabila  kemenangan sudah ada di tangan, segala jasa Pas dipinggirkan.
Pas kini ibarat melukut di tepi gantang, menadah memohon bantuan PKR  dan DAP demi meraih undi serta menghulurkan tangan meminta dipimpin oleh  kedua-dua parti berkenaan bagi mendapat kuasa.
Persoalannya, wajarkah pemimpin-pemimpin Pas membiarkan parti itu  terus diperkotak-katikkan yang akhirnya akan menyebabkan mereka dilihat  tidak mempunyai pendirian yang tegas dalam memperjuangkan apa yang  mereka perkatakan?
Sememangnya Pas 'terlalu baik' seolah-olah bersedia mengangguk sahaja  terhadap apa juga tindakan dan arahan PKR dan DAP. Martabat Pas sebagai  sebuah parti Islam semakin tidak dipedulikan.
Tetapi apakah Pas insaf dan adakah penegasan Nasrudin itu akan  diterima dengan terbuka oleh pemimpin-pemimpin utama Pas? Adalah sesuatu  yang malang kerana dalam kalangan mereka sendiri tidak mahu campur  tangan dalam kemelut PKR yang didakwa berlaku kegiatan bertentangan  dengan prinsip demokrasi dan Islam yang diperjuangkan oleh Pas.
Apakah kerana PKR adalah kawan sekutu maka segala kemungkaran tidak  harus ditegur kerana bimbang akan menjejaskan kesepakatan bersama bagi  meraih kuasa dan mencapai cita-cita ke Putrajaya?
Penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, Pas mengambil  pendirian untuk berdiam diri terhadap kemelut yang melanda PKR atas  alasan cukup skeptikal yakni tidak mahu mencampuri urusan dalaman PKR.
''Ia betul jika Pas dan PKR tidak berada di bawah satu payung, tetapi  soalnya mereka telah membuat deklarasi bahawa mereka berada di bawah  satu payung iaitu Pakatan Rakyat. 
''Justeru, sememangnya Pas harus memainkan peranan aktif untuk  menyedarkan pimpinan PKR bahawa kemelut yang dihadapi mereka sebenarnya  turut sama memalitkan keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang,''  katanya.
Beliau berpendapat, golongan pengundi atas pagar pasti akan berfikir  panjang selepas ini keupayaan pakatan pembangkang memimpin negara jika  diberi peluang. 
Soalnya, beranikah Pas menegur PKR? Di Selangor pun, walaupun Pas  berada di dalam kerajaan negeri tetapi parti itu tidak boleh berbuat  apa-apa.
Malah ada kalangan pemimpin-pemimpin Pas sendiri yang begitu taksub  dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding dengan Presiden  Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
''Kepimpinan PKR tidak menganggap aura pimpinan Pas adalah setanding  untuk diminta bantuan menyelesaikan konflik. Semua pihak tahu perkara  tersebut kerana sudah banyak kali pimpinan PKR sendiri memperlekehkan  pimpinan Pas. Jadi dalam hal ini, ada betulnya juga Pas hanya menjadi  pemerhati yang setia,'' katanya.
Berdasarkan hujah itu, jelaslah untuk melihat Pas menegur PKR atau  DAP ia sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin berlaku.
Namun begitu, kepimpinan Pas perlu sedar gejolak di peringkat akar  umbi, bukan semua ahli parti merestui apa yang mereka lakukan dalam  hubungan dengan PKR dan DAP.
Sudah ada tafsiran bahawa dalam usaha mengejar kuasa politik bersama  kedua-dua parti berkenaan, Pas dilihat semakin keliru dalam menyatakan  pendirian, celaru mencari hala tuju dan lesu untuk bertindak.
Akhirnya yang untung ialah PKR dan DAP kerana berjaya memperdayakan  Pas untuk masuk ke dalam putaran politik mereka bagi membolehkan mereka  meraih banyak kerusi, sedangkan Pas akan terus menjadi 'pak turut'  sahaja.
 
No comments:
Post a Comment