Thursday, November 18, 2010

Mengapa umat Islam sekarang tiada masa untuk Allah (SWT)?


Allah SWT ada menegaskan dalam satu surah pendek tetapi penuh dengan perkara tersirat di dalamnya yang telah diketahui umum sebagai surah ‘masa’ ataupun ‘Wal ‘Asr’, ia perlu diteliti dan dirungkai secara bijak dan saksama, apa yang berlaku ia tidak dikaji dan difahami secara serius oleh umat Islam hari ini dengan lantaran begitu sibuk dengan kerjaya harian.

Maksud ayat-ayat tersebut : “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Menurut pepatah Arab : Masa itu bagaikan pedang, jika anda tidak memotongnya, maka ia akan memototongmu.

Jika dilihat dengan fikiran yang waras berhubung ayat di atas, kita akan dapati bahawa ramai di kalangan manusia terjerumus pada perkara yang merugikan mereka di dunia dan akhirat, rugi di dunia kerana tidak diisi masanya dengan menghayati al-Quran, hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu fardu ‘ain, berbuat kebajikan dan lain-lain.
 
Apabila perkara di atas tidak ada dalam kamus kehidupan orang Islam, maka sudah tentu mereka tidak mendapat pahala daripada Allah sekali gus tidak mendapat tempat di sisi Allah pada hari akhirat, malah kebarang-kalian tidak mendapat syafaat (recommendation) Nabi Muhammad s.a.w.

Ia juga menggambarkan, betapa umat hari ini tidak berapa pandai dalam mengurus perosalan masa, hingga ia berlalu begitu sahaja tanpa digunakan pada perkara-perkara yang boleh menguntungkan akhirat mereka.

Mengapa tidak? Umat hari ini, lebih tertumpu kepada golongan muslimun, lebih rela menghabiskan masa bukan pada perkara yang berfaedah, tetapi pada perkara-perkara yang sia-sia, bukan bermakna tidak ada langsung individu di kalangan mereka yang pandai mengatur dan mengurus masa dengan baik, malah ada yang lebih daripada itu.

Gambaran umat hari ini yang tidak memperuntukkan masa buat Allah. Sayang seribu kali sayang, apabila terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang tidak ada masa dengan Allah, atau terlalu sedikit masa untuk-Nya, dan mungkin juga terdapat yang tidak terfikir langsung untuk bersama Allah dalam apa jua keadaan.
 
Itulah gambaran beberapa jenis umat Islam yang seolah-olah tiada hubungan dengan hari akhirat, hidup mereka serupa dengan mereka yang tidak beragama Islam, iaitu golongan yang tiada hubungan langsung dengan pahala, dosa, syurga, neraka, azab dan lain-lain.

Iaitu golongan yang terlalu sedikit masa mereka diperuntukkan buat Allah, kalau pun menunaikan solat, ia dikerjakan dengan begitu cepat, justeru mereka tidak suka solat berjemaah, kerana beranggapan imam membaca surah panjang, apa yang dapat disaksikan pada hari ini ramai yang suka bersolat secara sendirian, ia dapat dilihat di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan lain-lain, semua amalan lebih kepada logik akal, bukan kerana kefahaman ilmu.

Hakikat yang berlaku pada hari ini, tempat-tempat hiburan seperti menyaksikan Akademi Fantasia, So do you think you can dance, Malaysian Idol, pesta anugerah filem yang pelbagai jenis saban tahun diadakan, pertandingan nyanyian RTM, menyaksikan pertandingan bolasepak akhir piala Malaysia, piala FA dan lain-lain, penuh dengan penonton yang memberi sokongan padu.
 
Tidakkah tindakan mereka itu memperlihatkan betapa masa yang berlalu itu disia-siakan tanpa sebarang faedah yang boleh membantu mereka menghadapi Allah di padang Mahsyar, lebih-lebih dengan bekalan yang kekal abadi yang memudahkan mereka memasuki syurga-Nya.

Cuba bayangkan, jika mereka yang pergi ke stadium untuk menyaksikan pertandingan akhir bolasepak yang boleh memuatkan 90,000 ribu penonton, kalau 10,000 sahaja yang sembahyang, bagaimana pula dengan baki jumlah 80,000 yang lain, ditambah pula kedudukan saiz surau yang tidak berapa besar, mereka yang ke stadium bukan bertolak dari rumah jam lapan malan jika pertandingan bermula 8.30 malam, sudah tentu mereka akan berangkat keluar lebih awal satu atau dua jam untuk memastikan keadaan lebih selesa.

Begitu juga yang menonton sesebuah rancangan hiburan, mereka juga akan keluar rumah lebih awal bagi memastikan dapat tempat duduk di hadapan sekali untuk melihat selebriti dari dekat, tetapi bagaimana dengan pelaksanaan solat mereka, yang pasti ramai yang meninggalkannya tanpa sebarang alasan yang boleh diterima Syara’.

Golongan inilah yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w dalam banyak hadisnya, antaranya sabda baginda : “Perkara pertama yang akan ditanya Allah terhadap hamba-hambaNya pada hari akhirat ialah pelaksanaan solat, jika solat itu beres dilakukan, maka bereslah seluruh urusan hidupnya, tetapi sebaliknya jika solat itu tidak beres, maka tidak bereslah urusan hidupnya.”

Sabdanya lagi : “Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir yang terang dan nyata.” Hadis sohih riwayat Imam Malik. Rasullah s.a.w bersabda : "Solat itu adalah tiang agama (Islam). Maka sesiapa yang mendirikan solat, dia telah menegakkan agama. Dan sesiapa yang meninggalkan solat, bererti dia telah meruntuhkan agama". Rasullah s.a.w bersabda : "Yang membezakan di antara orang Islam dan kafir ialah solat".

Ini menunjukkan bahawa ibadat solat tidak lagi jadi perkara penting dalam kehidupan orang Islam hari ini.
Bagi yang takutkan Allah dan sentiasa bersama-Nya khususnya ketika menunaikan ibadat solat, akan merasakan bahawa Allah sentiasa dekat di hatinya, rindu untuk bertemu-Nya, tidak cukup lima kali sehari semalam, malah ditambah dengan solat-solat malam hanya semata-mata untuk bermunajat kepada-Nya dengan segala ketundukan, khusyuk dan tawaduk.

Justeru, meninggalkan solat besar implikasi dan akibatnya, bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi seseorang itu telah dilabel dengan kafir, meruntuhkan tiang-tiang agama Islam, iaitu menjadi makhluk perosak terhadap agamanya sendiri.
 
Golongan inilah yang apabila menghadiri majlis-majlis ilmu seperti ‘tazkirah’ pada bulan Ramadan, punggungnya merasa panas, tidak dapat bertahan lama duduk di masjid atau surau, sedangkan majlis seumpama itu mahu mengingatkannya kepada Allah, untuk menilai semula amalan dan tindakan sepanjang hidup di dunia, yang bukan baru hidup lima atau enam tahun, tetapi sudah mencecah berpuluh-puluh tahun.

Inilah akibat mereka yang sepanjang hidup tidak memperuntukkan masa buat Allah, masa berlalu kebanyakannya pada perkara yang membawa kepada penentangan terhadap-Nya, tanpa membuat perhitungan dengan-Nya pada perkara yang halal dan haram, yang boleh membawa kepada syurga atau neraka, yang penting hidup perlu enjoy, golongan muda merasakan tidak akan jadi tua, dan yang tua pula merasakan tidak akan mati esok hari, begitulah lalainya manusia terhadap asal-usul kejadian mereka daripada tanah.

No comments:

Post a Comment