Tuesday, October 25, 2022

BUANG SIKAP PREJUDIS DULU BARU BOLEH BINCANG...





 
Minggu lepas ada sekumpulan komuniti bisne Cina yang membuat permintaan secara terbuka untuk saya kembali bertanding di Pulai. Mereka mahu saya kembali untuk mengubah keadaan ekonomi, perniagaan dan pendidikan di kawasan Pulai yang didakwa mereka sudah tepu sejak 4 tahun di bawah PH.

Pada PRU 14 mereka dibuai PH dengan harapan bahawa nasib mereka akan dibela oleh Menteri Kewangan bangsa Cina buat pertama kali sejak tahun 1976 tapi harapan itu hancur. Ini kerana ternyata Menteri Kewangan yang dijulang oleh pengundi Cina pun juga mengamalkan sikap pilih kasih dan kronisme. Lepas itu pula Kerajaan PH 'hukum' projek mesra ekonomi yang diusahakan ketika zaman BN tanpa asas ekonomi dan memikirkan kesan kepada negara. Malah mereka di tekan oleh LHDN atas arahan Menteri Wira Cina mereka.
Dalam isu pendidikan juga, komuniti Cina juga ditindas dan dinafikan hak oleh Kerajaan PH semata-mata berpandukan kepada perasaan prejudis. Tengoklah apa jadi pada UTAR, peruntukan tahunan kepada universiti orang Cina itu dipotong oleh Kerajaan PH hanya kerana dikatakan projek institusi pendidikan itu diwujudkan oleh MCA. Sampaikan isu pendidikan masa depan pun kerajaan PH nak politikkan sesama sendiri tapi yang jadi mangsanya rakyat.


Lebih parah lagi, slogan Ubah Ini Kalilah telah menyebabkan kecelaruan dalam landskap politik negara dan menyaksikan 3 kerajaan silih berganti selepas PRU14.


Apa yang saya nampak daripada situasi itu ialah komuniti Cina kini mahu kembali kepada kehendak asas mereka itu ekonomi dan pendidikan. Mereka mula sedar bahawa PH TIDAK menunaikan janji-janji mereka untuk membawa perubahan positif kepada sosio ekonomi di Pulai khasnya dan Johor secara keseluruhannya.


Sebab itulah komuniti bisnesmen Cina ini merayu saya kembali bertanding di Pulai sebab mereka tahu hanya BN dapat mengembalikan kestabilan sosioekonomi di kawasan itu dan negeri Johor. Apatah lagi selepas rakyat Johor kembali memberi mandat kepada BN sebagai kerajaan negeri dan isu kerjasama Johor-Singapura memerlukan keseragaman antara kerajaan negeri serta Pusat. Segala keputusan, dasar dan usaha sama antara Johor dan Singapura hanya boleh dijalankan jika kerajaan negeri adalah BN dan Kerajaan Pusat juga BN.


Nampak macam bersungguh-sungguh komuniti bisnesmen Cina ini mahu buat perubahan pada PRU15 nanti. Tapi saya masih tak buat keputusan dan kekal dengan pendirian untuk tak bertanding.


Saya masih belum yakin bahawa orang muda Cina dapat mengikiskan rasa prejudis dan sikap 'tak dapat apa-apa' atau dipinggirkan dari dasar BN walaupun hakikat sebenarnya mereka mendapat peluang untuk pendidikan dan ekonomi yang melimpah namun akhirnya ditolak dan dikhianati sendiri oleh PH.


Golongan muda Cina ini mesti sedar bahawa kerakyatan Malaysia itu akan berharga di usia tua nanti kerana Malaysia merupakan negara yang paling selamat dari segi ekonomi dan politik berbanding negara barat atau jiran kita. Tanyalah pada mereka yang sebelum ini berhijrah ke luar negara di mana pada akhirnya mereka kembali semula ke negara ini untuk menghabiskan hari-hari tua dan bersemadi dengan aman.


Malah kalau kita ambil contoh kes rakyat Malaysia termasuk beberapa orang belia Cina yang jadi mangsa tipu pekerjaan, diseksa dan didera di Kemboja, mereka dibantu dan diselamatkan oleh NGO dengan bantuan kerajaan pimpinan Ismail Sabri. Itu antara ribuan bukti bahawa tiada pilih kasih atau diskriminasi kepada sesiapapun warganegara Malaysia.


Kesimpulannya buang sikap prejudis, rasa dipinggirkan dan buktikan dulu mereka sudah berubah. Ini kerana selama ini sepanjang BN memerintah setiap kaum mendapatkan hak mereka berdasarkan Perlembagaan. Malah UMNO sendiri kini sudah beradaptasi dengan kehendak semasa dan tak hanya memperjuangkan nasib orang Melayu saja tapi untuk kaum-kaum lain juga.

Sebab itulah kita kena pilih kerajaan yang stabil, kukuh dan mampu menjamin masa depan yang panjang serta untuk hari tua.


PH, PN DALAM BEKERJASAMA PUN MASIH TAK IKHLAS

Pihak pembangkang baik PH mahupun PN kini dalam keadaan caca merba dan semakin goyah ketika PRU15 semakin dekat.

Puncanya makin hari mereka semakin takut untuk berdepan dengan PRU15 dan mandat baru rakyat dek kegagalan serta segala penipuan yang mereka sudah buat sejak lebih 4 tahun lalu.

PN misalnya mula menampakkan kucar kacir walaupun Bersatu dan PAS sepakat untuk bekerjasama bawah satu payung. Biarpun bergerak atas nama gabungan namun mereka tak yakin untuk gunakan sepenuhnya logo PN pada PRU15 kali ini.

PAS mahu guna logo Bulan mereka di negeri-negeri kononnya kubu kuat dan alasannya bak kata tuan Presidennya sebab orang Kelantan dan Terengganu sudah kenal logo Bulan berbanding logo PN. Maknanya PAS sendiri tak confident dengan kerjasama mahupun logo PN boleh berikan kemenangan kepada mereka.

Lepas itu, Presiden Bersatu boleh pula bagi kelonggaran kepada calon-calon mereka untuk guna logo PAS jika bertanding di Kelantan dan Terengganu. Sebab Muhyiddin tahu partinya tak kuat dan tak ada tempat di negeri-negeri PAS.

Kesian Logo BERSATU yang dicelup dari segi rupa dan warna dari UMNO tak laku dan tidak dipakai dalam PRU15.

Cuba bayangkan Tok Pa yang bertanding di Jeli dan Ikmal Hisham di Tanah Merah guna lambang Bulan yang selama ini menjadi seteru dalam perjuangan berpuluh tahun semasa dalam UMNO. Dulu mereka amat alergi dengan logo PAS dan cukup pantang lihat lambang bulat putih itu. Tapi PRU15 nanti mereka berdua akan pakai logo yang mereka pernah ludah dulu.

Begitulah caca merba dan rapuhnya kerjasama dalam PN. Mereka tak ada keyakinan diri untuk guna logo PN secara menyeluruh pada PRU15 nanti. Sebab itulah dari awal lagi saya tak setuju UMNO bekerjasama dengan PAS dalam MN sebab saya tahu kerjasama itu tak berikan sebarang makna kepada UMNO. Alhamdulillah akhirnya MN sudah terkubur!

PH juga tak kurang huru haranya bila nak dekat PRU15 ini. Dengan cengkaman kuasa Dinasti Lim semakin kuat dan puak-puak cauvinis Cina sudah kembali semula menguasai parti itu, kita lihat permainan politik mereka sudah berubah.

Mereka mula menyingkirkan orang-orang yang tak sebulu dan mahu merampas kedudukan beberapa pemimpin yang sudah dikenalpasti. Macam contoh bagaimana anak kepada pengasas DAP, P.Patto yang juga MP Batu Kawan selama dua penggal, Kasthuri Patto disingkirkan secara halus dari kerusi disandangnya kerana dikatakan tempat itu mahu diberikan kepada pemimpin yang sekepala dengan keluarga Lim. Nasib sama juga dikatakan bakal menimpa bekas MP Klang selama tiga penggal Charles Santiago yang dengar ura-ura turut digugurkan namanya dari senarai calon DAP.

Lepas itu DAP duduk recycle muka-muka sama saja untuk PRU15 ini. Tapi mereka bukannya ketandusan muka baru cuma ada halangan untuk orang-orang baru naik dalam DAP. Cuma kluster Dinasti Lim dan geng cauvinis Cina saja boleh dapat kedudukan dan laluan mudah dalam parti sekarang ini. Begitu juga dengan rakan parti dalam PH seperti PKR dan Amanah, semuanya main letak muka-muka lama yang dah nak expired. Asyik-asyik Anwar jadi bakal PM, muka Mat Sabu, Khalid Samad dan Salahuddin yang diletakkan bertanding.

Lepas itu mereka tak ubah tradisi. Asyik duduk pindah-pindahkan pemimpin senior dari satu kawasan ke satu kawasan lain. Macam Anwar dari MP PD, dia pula nak ke Tambun kononnya nak jadi hero kalahkan Peja di sana. Si Khalid dari Shah Alam dihantar ke Titiwangsa. Puak PH ni buat letak calon-calon ni macam pacak khemah saja dan tak serius langsung nak tolong pengundi dan rakyat. Atau agaknya mereka lari dari kerusi itu sebab pengundi dah sedar mereka tak berkhidmat kepada rakyat setempat.

Itu belum cerita lagi pasal calon pengembara yang tamakkan jawatan dan gaji. Sudah menang kerusi DUN tapi bernafsu lagi nak bertanding kerusi Parlimen. Macam si Salahuddin tu, dah jadi ADUN Simpang Jeram tapi nak lagi jadi calon di Pulai lepas itu khidmat kepada rakyat ke laut. Abaikan kawasan, hilang dari radar dan rakyat nak jumpa YB setahun sekali pun payah. Saya dengar cerita ADUN Perling, Chin Tong pun ada cita-cita nak jadi MP juga. Sekarang ini duduk intai kerusi Iskandar Puteri. Memang tamak puak-puak ni.

Sebab itulah kali ini pengundi dan rakyat kena fikir masak-masak sebelum nak pilih puak PH dan PN ni semula.

Tak sama macam BN, dari dulu lagi sentiasa solid dengan tradisi membela rakyat dan berpendirian teguh. Hanya satu lambang saja untuk semua parti dan calon bertanding dalam mana-mana PRU atau PRN. Kesepakatan ini teguh sebab semua parti dalam komponen BN saling hormat menghormati, selalu percaya antara satu sama lain dan memupuk perpaduan.

BN juga sentiasa membawa perubahan yang signifikan dengan kehendak semasa dan kemahuan rakyat. Tak pernah ketandusan barisan pemimpin dan sentiasa ada golongan pelapis atau muka baru yang diketengahkan.

Tak macam PH dan PH yang berpecah tapi tetap berbohong kepada rakyat bahawa mereka boleh bersatu dan memimpin negara selepas PRU15. Chin Tong sendiri telah menyatakan bahawa target PH adalah untuk mendapat kerusi banyak dan selepas itu buang segala prinsip dan perjuangan untuk berunding membentuk kerajaan.

NOTA KAKI*

Kelmarin, Pengerusi BN beri cadangan untuk lantik 3 TPM mewakili Semenanjung, Sarawak dan Sabah jika BN menang besar pada PRU15 nanti. Bagi saya ia satu cadangan cukup bernas dan menunjukkan keterbukaan BN terutamanya UMNO untuk memberikan keadilan serta kesamarataan kepada seluruh rakyat.

Bila ada TPM untuk Sarawak dan Sabah, maka tumpuan untuk pembangunan dan kebajikan di dua Wilayah itu lebih berkesan. Ia juga satu bentuk transformasi BN dan keprihatinan untuk Sarawak dan Sabah.

Maka selepas ini tak timbul lagi dakwaan kononnya Sarawak dan Sabah diabaikan oleh Kerajaan Pusat dengan adanya wakil masing-masing sebagai orang kanan di Putrajaya.

Tawaran ini perlu difikirkan secara serius oleh pengundi di kedua-dua wilayah itu kerana satu dimensi baru dalam pentadbiran Malaysia bakal tercipta.

DATUK NUR JAZLAN MOHAMED
TIMBALAN PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI JOHOR MERANGKAP KETUA UMNO BAHAGIAN PULAI

May be an image of 13 people, people standing and text

No comments:

Post a Comment