SI BIADAP |
SEREMBAN, 27 MAC: “Barisan Nasional
(BN) takut kalah!” itu adalah kesimpulan paling sesuai yang dibuat
Ahli Parlimen Seremban, John Fernandez berikutan kegagalan kerajaan BN
membubarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini.
“Esok (hari ini) DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri. Setakat
hari ini sudah lima tahun 18 hari. Dalam Artikel 55 Perlembagaan
Persekutuan, satu penggal ialah lima tahun. Tapi Perdana Menteri, Najib
Razak tidak berani bubar Dewan Rakyat, kenapa?” soal beliau dalam
ceramahnya di DUN Temiang, malam tadi.
Menurutnya, disebabkan BN ‘takut kalah’, maka tidak hairanlah jika BN
melambakkan segala macam bantuan tunai dan insentif kepada rakyat untuk
memenangi hati rakyat agar dipilih semula pada pilihan raya umum akan
datang.
Fernandez pada masa yang sama melontarkan persoalan adakah lambakan
bantuan itu sesuatu yang wajar dan jujur walhal rakyat sudah lama
bersusah-payah membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan.
“Sebelum 2008 adakah BN bagi bantuan sebegini? Selama 56 tahun orang
Melayu, orang India dan orang Cina negara ini bayar cukai kepada
kerajaan. Bayangkan, beli kereta sahaja cukai eksais mencecah 60
peratus,” katanya.
Justeru bagi memperbetulkan pelbagai ketempangan, penyelewengan dan
urus tadbir yang dilakukan BN selama memerintah 56 tahun ini, beliau
menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Sembilan menyokong agenda perubahan yang di bawa Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan
Malaysia yang
baru. “Inilah saat paling berharga buat rakyat
Malaysia,” ujar beliau.
John Fernandez |
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai pula berkata,
kemenangan PR di beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu
memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada negeri yang ditadbirnya
tetapi seluruh negara.
“Banyak masalah dapat diselesaikan di negeri PR. Ini memberi tekanan
kepada BN,” katanya.
Katanya, tidak hairanlah jika BN turut meniru dasar kebajikan yang
dilaksanakan di negeri PR cuma bezanya bantuan di negeri PR diberi
setiap tahun, bukannya lima tahun sekali seperti yang dilakukan BN
sekarang ini.
“Jika PR berjaya menafikan majoriti BN di Negeri Sembilan dan
membentuk kerajaan, kita akan cuba sebaik mungkin menyelesaikan isu lama
yang masih belum selesai seperti isu hak milik tanah, masalah banjir
dan banyak lagi,” katanya
No comments:
Post a Comment