KUALA LUMPUR 10 Dis. - Jika sebelum ini Parti Keadilan Rakyat (PKR)  dilabelkan sebagai parti bateri 3A kerana hanya Datuk Seri Anwar  Ibrahim; isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan  Presiden, Azmin Ali sahaja yang berkuasa, tetapi hari ini, parti itu  diberi gelaran baru iaitu parti 3F.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, parti  tersebut kini bukan sahaja sebuah parti anak-beranak (family)  tetapi merupakan sebuah organisasi politik yang mengamalkan penipuan (fraud)  serta pemalsuan (forgery).
Menurutnya, sindrom 3F jauh lebih parah berbanding 3A kerana  terbukti, Anwar mengamalkan pemerintah kuku besi dalam parti itu selain  pelbagai bentuk penipuan dan pemalsuan yang 'dilondehkan' sendiri oleh  ahli parti sehingga menyaksikan mereka meninggalkan PKR secara  beramai-ramai.
"Tiada sebuah parti pun dalam negara ini yang mengamalkan nepotisme  kronik seperti PKR sehingga parti ini digelar parti anak-beranak (family),  tidak cukup dengan Anwar selaku Ketua Umum dan Dr. Wan Azizah sebagai  Presiden, anaknya pula dipastikan menang jawatan Naib Presiden.
"Pemilihan PKR juga diselubungi dengan segala macam penipuan (fraud)  yang meloyakan, semata-mata untuk memastikan Azmin menang Timbalan  Presiden. Penipuan ini berlaku di mana-mana terutamanya di Tawau dan  Sandakan sehingga Datuk Zaid Ibrahim sendiri meninggalkan parti.
"Tidak cukup dengan itu, PKR juga sanggup memalsukan (forgery)  tandatangan bekas setiausaha agungnya sendiri, Datuk Salehuddin Hashim  bagi menghalalkan pemecatan bekas Timbalan Setiausaha Agung, S. Jenapala  kerana bimbang beliau akan mencabar Azmin," katanya ketika dihubungi Utusan  Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata,  adalah malang jika rakyat mahu meletakkan harapan kepada sebuah parti  yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membelakangkan undang-undang  demi memastikan matlamat serta cita-cita politik mereka tercapai.
Jelasnya, jika dalam parti sendiri pun Anwar, ahli keluarga serta  anak emas beliau, Azmin, sanggup menipu dalam pemilihan serta memalsukan  tandatangan, negara ini akan hancur jika PKR menerajui pentadbiran  Kerajaan Pusat pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Puad berkata, tindakan  pembangkang yang diketuai PKR mengadakan demonstrasi kononnya bagi  membantah tarif air serta mempersoalkan hukuman terhadap Anwar ekoran  pembohongan dalam isu APCO adalah usaha terdesak parti itu untuk  memulihkan kembali sokongan rakyat.
Kata Mohd. Puad, hal yang sama juga dilakukan terhadap kes pendakwaan  bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dengan  menuduh kononnya pendakwaan itu hanya sekadar gimik kerajaan.
"Mereka cuba nak tunjuk kepada rakyat bahawa PKR masih lagi parti  yang mendapat sokongan tetapi hakikatnya tidak. Ini terbukti melalui  kajian ilmiah yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) yang  didedahkan baru-baru ini bahawa sokongan terhadap Anwar dan PKR jatuh  merudum.
"Semuanya kerana segala tembelang Anwar sudah terdedah. Rakyat sudah  sedar bahawa pemimpin seperti ini tidak boleh dipercayai, maka sebab itu  mereka mengadakan demonstrasi dan mempersoalkan hukuman ke atas Anwar  sedangkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen belum membuat  keputusan," katanya.

 
No comments:
Post a Comment