SEJENAK merenung di dada akhbar mahupun coretan di laman sesawang,  membuatkan saya beristighfar panjang bila menyelusuri bahan berita,  coretan mahupun komentar dari pihak yang rata-ratanya agak kritis dan  kadangkala memualkan. 
Setiap bahan berita, coretan dan komentar lebih banyak menyentuh  hal-hal bersangkutan diri seseorang yang bukan sahaja boleh menjatuhkan  maruahnya, malah lebih dari itu sehingga menghinakan diri dan  keluarganya. 
Adakalanya komentar dan catatan yang dipaparkan sarat dengan fitnah,  umpatan dan cacian daripada sesuatu pernyataan yang membina. Saya  menyedari hakikat umat Melayu ini yang pandai berbahasa dan berkias,  namun sejak mutakhir ini gaya bahasanya sudah tidak berlapik dan beralas  lantas menerjah maruah diri seseorang sehingga menusuk ke tulang  putihnya. 
Malah, bukan sekadar menerusi penulisan, pelbagai medium digunakan  termasuklah menggunakan kehebatan berkata-kata, berpidato dan berjenaka  bagi menyampaikan hasrat menjatuhkan maruah dan membuka keaiban orang  lain. Apakah kita sudah lupa pesanan agung Rasullullah SAW seperti mana  yang diriwayatkan oleh Al Imam Ahmad dari Anas Ibnu Malik r.a, bahawa  Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Tidak akan lurus  keimanan seorang hamba sehingga lurus pula hatinya, dan tidak lurus  hatinya, hingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan  memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.” 
Anggota lidah seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Al-Ghazali  adalah antara sebesar nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada  manusia. Dengan lidah kita berzikir, tilawah Al-Quran dan berkata-kata  dengan perkataan yang baik. Menerusi lidah juga dakwah Islam disebar  siarkan di serata alam, dengannya juga terlaksana proses saling  ingat-mengingati antara satu sama lain supaya hati sentiasa dekat dengan  Allah dan Rasul-Nya. 
Namun sebesar nikmat itu, maka besar juga tanggungjawab untuk  menjaganya. Dengan lidah jugalah manusia boleh terjerumus ke dalam  kehancuran, malah boleh mengundang ke lembah neraka Allah SWT. Hal ini  mengingatkan saya bahawa Al Marhum Said Hawwa pernah menyatakan besarnya  bahaya lidah hingga tiada siapa yang mampu selamat darinya kecuali  dengan diam. Bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam hadis yang  diriwayatkan oleh Al Imam Al Bukhari dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi  Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa beriman dengan Allah  dan hari qiamat, maka berkatalah yang baik atau pun berdiam saja.”
Teringat saya bagaimana sejarah menaqalkan bahawa Saidina Abu Bakar  r.a pernah satu ketika meletakkan batu kerikil di mulutnya, semata-mata  mencegah dirinya dari berbicara. 
Lalu ditanya mengapa beliau berkelakuan begitu, ia menunjukkan kepada  lidahnya seraya berkata, “Inilah yang menjerumuskan aku ke dalam  kehancuran.” Al Imam Al Bukhari meriwayatkan dari Sahl bin Sa‘ad bahwa  Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang menjamin untukku apa  yang ada di antara janggutnya dan dua pahanya maka aku menjamin untuknya  syurga.” Dalam hal ini juga, apakah umat Melayu sudah lupa pepatah yang  berbunyi “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”
Bahaya fitnah 
Al-Quran yang diturunkan Allah SWT sebagai manual yang memandu hidup  manusia telah mencatatkan bahawa di dalam surah Al-Hujurat ayat 12,  Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengumpat  setengah yang yang lain. Adakah seorang kamu suka memakan daging  saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.”  Imam Al-Qurtubi ketika membahaskan ayat di atas menukilkan sebuah hadis  tentang erti ghibah (mengumpat) seperti yang diriwayatkan oleh Imam  Muslim dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud  “Mengumpat itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan suatu yang  di bencinya.” 
Ibnu Abi Dunya meriwayatkan dari Al-Barra beliau berkata bahawa  Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami hingga terdengar oleh kaum wanita  di rumah-rumah mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai  orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak beriman dengan  hatinya, janganlah kalian mengumpat orang-orang muslim dan mencari  keaibannya. Sesungguhnya orang yang mencari-cari keaiban saudaranya,  maka Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang keaibannya di  cari-cari Allah, maka pasti Allah akan membongkarnya di tengah  rumahnya.”
Biarpun sekian banyaknya peringatan al-Quran dan hadis tentang  telatah buruk ini, namun umat ini seakan-akan tidak pernah mendengar dan  mengambil tahu. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya masyarakat kita  dipenuhi dengan tingkahlaku yang “jelek” ini, dipenuhi saban hari dengan  sikap fitnah memfitnah dan mencerca sesama kita. Hanya ilmu dan  penghayatannya sahaja mampu mengekang penularan sikap keji ini sepert  imana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abu Umamah dia  berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan muncul berbagai fitnah, di  pagi hari seseorang dalam keadaan mukmin lalu kafir di petang harinya,  kecuali orang yang dihidupkan Allah dengan ilmu.”
Tentang keburukan orang lain.
Seringkali kita mendengar pihak-pihak beralasan dengan menyatakan  “Saya tidak mengumpat atau memfitnahnya, saya berkata yang benar! Saya  punya bukti itu dan ini!. Pernyataan yang seolah-olah ingin menghalalkan  perbuatan mereka. Al Marhum Sa‘id Hawa menyebutkan bahawa Al-Hassan  berkata yang bermaksud, “Mengatakan tentang hal orang lain itu terbahagi  kepada tiga : (1) ghibah : iaitu kamu menyatakan apa yang ada pada  dirinya; (2) buhtan :iaitu kamu menyatakan apa yang tiada pada dirinya;  (3) ifkun : iaitu kamu menyatakan apa yang kamu dengar tentang dirinya.”
Biar dalam situasi apapun, menyembunyikan kelemahan dan keaiban  seseorang adalah lebih utama dari menzahirkannya. Imam Muslim  meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang  bermaksud, “Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah  taala akan menutup keaibaannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah taala  sentiasa menolong seseorang hamba, selama dia menolong hambanya.” 
Walau bagaimanapun, Imam Al Ghazali menyebut bahawa menyatakan  keburukan seseorang dibenarkan di dalam beberapa keadaan yang diperlukan  sahaja dengan syarat yang tertentu. Antaranya seperti aduan seorang  yang dizalimi oleh seorang yang lain kepada seorang hakim, meminta suatu  hukum dalam satu perbuatan atau perkara, berniat untuk memberi  peringatan kepada masyarakat atas seseorang yang terang-terangan dan  bermegah-megah dengan melakukan maksiat dan beberapa perkara lain. 
Politik, umpat dan fitnah
Akhir-akhir ini, politik, umpat dan fitnah seolah-olah suatu  perkataan yang tidak mungkin dipisahkan. Baik pihak manapun, ia  seolah-olah dibolehkan dengan beralaskan hujah-hujah yang tertentu.  Segala keburukan pihak lawan didedahkan untuk pengetahuan umum. Lebih  mendukacitakan, saya melihat medium penting bagi membincangkan isu dan  kebajikan rakyat seperti sidang Dewan Rakyat dan sidang DUN hari ini  sudah menjadi medan umpatan, tuduh-menuduh dan fitnah memfitnah berkait  dengan isu-isu peribadi. Apakah kita tidak menyedari betapa terlalu  banyak masa dan ruang telah kita habiskan bagi memenuhi selera buruk  ini, sedangkan di hadapan kita terlalu banyak isu dan perkara yang perlu  dilangsaikan. Apabila ini terjadi, fokus utama ke arah mengutamakan  kepentingan rakyat terpaksa dikesampingkan bagi memberi ruang menjawab  tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.
Ledakan ICT
Ledakan sumber maklumat pada abad ke-21 ini menyaksikan era baru  dunia maklumat. Menerusi e-mel, SMS, blog, facebook, twitter dan  sekarang era wikileaks, maklumat disampaikan dengan begitu mudah dan  pantas. Kebebasan bersuara dalam menyampaikan kritikan, penyebaran  maklumat kontroversi mahupun khabar-khabar angin menjadikan dunia  maklumat ICT berjaya menarik jutaan penggemar. Menurut sumber  internetworldstats.com menyatakan bahawa pengguna Internet hari ini  sudah mencapai 1.9 billion dan Asia sahaja mencapai 110 juta pengguna. 
Manakala pengguna facebook di Asia sudah mencapai 93.5 juta. Namun  apa yang merisaukan saya hari ini, kecanggihan memindah maklumat hari  ini telah dicemari dengan medan menabur fitnah dan umpatan. Adakah ini  termasuk dalam apa yang kita bincangkan di atas. Imam Al-Ghazali  menyatakan mengumpat itu sebenarnya bukanlah semata-mata dengan lidah,  namun merangkumi isyarat-isyarat dan tulisan. Tidak keberatan saya  katakan bahawa penggunaan medium ini bukan lagi semata-mata menyebarkan  berita mahupun maklumat yang bermanfaat, tetapi terselit agenda-agenda  tersembunyi yang didokongi oleh mereka yang punya niat untuk  membobrokkan orang lain.
Jika amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya  semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka  Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya  sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan ia ke dalam  neraka.”
Maruah manusia terlalu berharga hingga menyebabkan setiap manusia  perlu memeliharanya. Kemakmuran beragama, bermasyarakat dan bernegara  sukar dikecapi melainkan setiap warga menghormati antara satu sama lain.

 
No comments:
Post a Comment