Tuesday, February 1, 2011

Coretan Zaini Hassan Utusan Melayu: Antara Dr. Mahathir, Nik Aziz dan Kuan Yew....Natijahnya adakah rugi kepada Nik Aziz utk mengelar diri Melayu dan beragama Islam. Adakah dgn mengelar dirinya Melayu maka talak Islam itu dgn sendirinya telah gugur dalam dirinya sebagai pejuang Islam. Inilah contohnya ulamak politik yg tidak sanggup mengatakan yg realiti tetapi bermain dgn agama utk kepentingan dan kerakusan kuasa politik utk membalas dendam dgn menumbangkan pemerintahan Islam di Malaysia yg di terajui oleh UMNO. Nik Aziz mengelar pemerintahan Islam UMNO adalah secular tetapi PAS adalah pemerintahan Islam cara ulamak politik yg memecah belahkan umat Islam di Malaysia dgn fatwa dan dalil yang mengelirukan dan songsang.....sedarlah wahai PAS bahawa perjuangan anda sudah sampai kepenghujungnya di mana akibat ketelanjuran PAS akan mengakibatkan umat Islam di Malaysia terpisah jauh antara satu sama lain kerana fatwa dan dalil yg songsang tadi....kembalilah bersatu demi agama, bangsa dan negara...bersatu kita teguh bercerai kita roboh....



Apa nak jadi dgn parti yg memperjuangkan Islam ini?

SAYA merasakan terlalu rugi jika tidak memetik penuh tulisan Dr. Mahathir Mohamad yang terbaru dalam chedet.co.cc bertajuk “Nik Aziz dan Kuan Yew” bagi tujuan mereka yang tidak boleh mengikutinya melalui Internet.

Dr. Mahathir telah mengulas kenyataan Nik Aziz yang sentiasa diulang-ulangnya mengatakan Islam tidak boleh menerima perjuangan berteraskan Melayu atau kebangsaan. Istilah bangsa atau Melayu bagi Nik Aziz tidak wujud dalam dirinya. Baginya Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali bersatu kerana jika ia bersatu, ia akan menjadi UMNO. Maka sebaliknya, jika Pas pun mengakui kewujudan konsep kebangsaan, maka ia bukan lagi Pas.

Semasa kempen pilihan raya kecil Tenang, Nik Aziz menuduh perjuangan UMNO itu sebagai ‘jahiliyah’. Oleh itu, beliau meminta pengundi supaya jangan sokong UMNO atau orang Melayu kerana mereka itu ialah jahiliyah. Mengundi parti yang berteraskan kemelayuan atau kebangsaan ialah jahiliyah.

Sebaliknya, beliau menyokong dan mempertahankan kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew alias Harry Lee, yang baru-baru ini meminta umat Islam republik itu supaya melonggarkan pegangan agama yang dianuti mereka jika mahu hidup dalam komuniti ultra-moden Singapura. Kuan Yew yang tidak percayakan Tuhan dan agama (agnosticism) cuba menerapkan doktrin itu di kalangan orang Islam Melayu republik itukah?

Bagi Nik Aziz konsep kepartian adik-beradik – PAP (Singapura) dan DAP (Malaysia) boleh diterima dan berteraskan aliran Islam Pas.

Salah seorang pembaca tulisan Dr. Mahathir itu menghantar satu komen dalam blog tersebut dengan memetik ucapan pengasas parti Pas, Dr. Burhanuddin al-Helmy pada Malam Merdeka 1960 yang berbunyi: “Dalam perjuangan kita (Pas) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus-menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci.”

Penulis komen itu, satD, mengakhiri tulisannya dengan berkata: Apa sudah jadi sama Pas? (Komen-komen lain ikuti: http://chedet.co.cc)

Bagi saya: Bukan apa sudah jadi sama Pas, tapi apa sudah jadi sama Nik Aziz. Sebenar-benarnya, Nik Aziz ini hanyalah ahli politik bertaraf political animal, yang bermain kata mengikut kesesuaian politiknya.

Semalam semasa berucap di wacana bertajuk “Bangsa Melayu dan Masa Depannya” anjuran Mubarak di Memorial Tun Hussein Onn (bangunan Jabatan Perdana Menteri lama), Dr. Mahathir menegaskan: ‘‘Kali ini jika kita hilang kuasa, saya khuatir kita tidak boleh berdiri atas kaki kita sendiri lagi. Walaupun Hang Tuah telah berkata Melayu Takkan Hilang Di Dunia – namun pada masa itu semasa kita pergi ke kuburnya, kita akan berkata ‘‘maaf, Melayu sudah hilang...”

Berikut ialah petikan penuh tulisan terbaru Dr. Mahathir (bagi pembaca yang tiada talian Internet) bertajuk:
NIK AZIZ DAN KUAN YEW

1. Kata Nik Aziz, “Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kuan Yew”. Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kuan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk keislaman mereka.

2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?

3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh Pas dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan Pas itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.

4. Pas turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila Pas mengadakan sembahyang Jumaat dua imam, larangan terhadap perkahwinan orang Pas dengan orang UMNO, larangan ahli Pas menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang Pas dari orang UMNO, seolah-olah di akhirat juga Pas ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.

5. Apabila Pas bertanding dalam Pilihan Raya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia.

6. Kemudian Pas bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihan Raya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.

7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO dikeluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.

8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu Pas mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.

9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.

10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.

11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

No comments:

Post a Comment