Kita tak boleh harapkan kaduk nanti kaduk naik junjung maka kita sekarang sudah susah |
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim kelmarin memaklumkan sidang tergempar DUN yang dicadangkan oleh rakannya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diadakan pada 24 Januari ini bagi membolehkan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959. Sidang tergempar tersebut diadakan berikutan kemelut pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru berkuat kuasa 1 Januari lalu tidak 'diperkenan' oleh pentadbiran Abdul Khalid.
Ini kerana Menteri Besar itu mendakwa pelantikan tersebut membelakangkan kerajaan negeri dalam membuat pemilihan calon yang layak meskipun pelantikan Mohammed Khusrin mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Bagi merasionalkan tindakannya itu, Abdul Khalid menangguhkan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia bagi Mohammed Khusrin sekali gus menyebabkan SUK baru itu tidak dibenarkan menyertai mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.
Walaupun Menteri Besar itu hadir di majlis angkat sumpah SUK baru-baru ini, beliau tekad meneruskan agenda mengadakan sidang tergempar DUN.
Menurut Speaker DUN Selangor, beliau setuju mengadakan sidang tergempar itu setelah berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan oleh Menteri Besar, bahawa kepentingan awam berkehendakkan mesyuarat tersebut diadakan lebih awal daripada tarikh Dewan ditangguhkan.
Tetapi alasan sebenar yang rakyat sedia dimaklumkan oleh Abdul Khalid sendiri adalah untuk meminda perlembagaan bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam membuat pelantikan SUK selain jawatan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Dalam kes pelantikan SUK hingga hendak meminda perlembagaan negeri menunjukkan Menteri Besar dan exco kerajaan negeri menganggap mereka lebih tinggi daripada undang-undang.
Malah Menteri Besar yang berasal dari Kuala Selangor itu sanggup tidak menghormati perlembagaan negeri sendiri walaupun peraturan pelantikan SUK itu adalah betul.
"Kalau kerajaan negeri tak menghormati perlembagaan negeri bagaimana rakyat hendak ikut hormat. Inilah budaya asas yang dibawa oleh PKR. Parti ini ditubuhkan berasaskan pada budaya demonstrasi yang tidak menghormati undang-undang. Jadi apabila tadbir negeri pun mereka hendak ikut cara tadbir parti PKR yang kelam-kabut," komen Datuk Seri Noh Omar.
Rakyat berasa hairan mengapa Menteri Besar itu tetap berkeras mahu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.
"Apa tujuan sidang DUN tergempar ini?" tanya Noh selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.
"Kalau setakat hendak pinda perlembagaan untuk memberi kuasa kepada Menteri Besar dan Sultan, ini menunjukkan dia ingin mengambil kuasa eksekutif. Sedangkan amalan pelantikan SUK ini telah dijalankan sejak merdeka. Berpuluh orang SUK Selangor sudah dilantik mengikut prosedur yang sama sebelum ini.
"Tidak ada masalah. Yang menimbulkan masalah ialah Menteri Besar. Dia yang timbulkan masalah, dan dia pula hendak pinda perlembagaanSelangor!" kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
Hujah Abdul Khalid hendak memberi kembali kuasa kepada sultan adalah satu retorik. Ini kerana kata Noh, sejak merdeka hingga sekarang, setiap pelantikan SUK Selangor mesti mendapatkan perkenan Sultan terlebih dahulu termasuk Muhammed Khusrin.
Gerak gempur politik Menteri Besar sekarang sehingga hendak meminda perlembagaan dalam melantik SUK nampaknya seolah-olah mahu meletakkan kuasanya sama taraf dengan kuasa sultan. Jadi dalam melantik SUK dan dua lagi jawatan tertinggi pentadbiran negeri, seboleh-bolehnya biar Menteri Besar dan Sultan sahaja yang membuat keputusan. Sekali lagi Abdul Khalid dilihat tidak menghormati kuasa Sultan sebagai ketua yang memerintah negeri.
"Dia jadi keras kepala sebab dahulu dia kutuk kerajaan Barisan Nasional (BN) kononnya buang duit rakyat, membuang masa bila membuat sesuatu yang tidak berfaedah kepada rakyat. Sekarang, dia pula yang buat.
"Dia panggil sidang DUN tergempar, sedangkan dia tahu dalam DUN dia tidak ada undi majoriti dua pertiga, inilah dinamakan power crazy (gila kuasa).
"Dia ingat bila berkuasa, dia lebih tinggi daripada undang-undang dan boleh buat sesuka hati. Sedangkan dia lupa setiap tindakannya mesti berasaskan perlembagaan. Tapi dia tidak mahu ikut perlembagaan, ini terbukti dalam pelantikan SUK," jelas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.
Seperkara lagi, kata Noh, Menteri Besar itu ingin berada lebih tinggi daripada perlembagaan. Sebab itu dalam sidang DUN itu nanti jika Abdul Khalid tidak mendapat majoriti undi dua pertiga pun dia akan cuba pinda perlembagaan.
"Dia akan lakukan apa sahaja asalkan hasrat tercapai," kata Noh.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang ditemui di Putrajaya kelmarin berpandangan tindak-tanduk Menteri Besar dan beberapa pemimpin pakatan pembangkang Selangor itu bukan sahaja tidak menghormati perlembagaan negeri, malah seolah-olah menderhaka pula kepada sultan, sedangkan sultan itulah yang perkenan melantik mereka.
Kesan daripada kemelut pelantikan SUK ini dapat dilihat bagaimana ketua pentadbiran Selangor itu telah menghina institusi penjawat awam apabila tidak menghormati konsep agihan tiga peringkat kuasa iaitu eksekutif, kehakiman dan legislatif.
"Dia wujudkan satu kes contoh (precedent) yang melampau iaitu parti menguasai kerajaan dengan mengetepikan kuasa eksekutif," kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi.
Menurut Noh, ADUN BN melihat tidak ada keperluan pindaan perlembagaan ini dibuat kerana tidak ada apa-apa masalah mengenai pelantikan SUK sepanjang merdeka. Yang menimbulkan masalah sebenarnya ialah Menteri Besar Selangor.
"Dia sebenarnya tidak mahu calon bernama Mohammed Khusrin. Sebab mungkin dia lihat Mohammed Khusrin seorang bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan rekod kerja yang bersih, tegas dan bila jalankan tugas akan patuh peraturan.
"Misalnya, tindakan beliau menghalang pemimpin dan penceramah Pas daripada berceramah di dalam masjid dan surau di Selangor tanpa tauliah. Orang Pas dan PKR beranggapan masjid dan surau boleh digunakan untuk aktiviti parti di Selangor tetapi hasrat itu terhalang kerana adanya Mohammed Khusrin.
"Bagi DAP pula, mereka kurang senang dengan tindakan tegas Mohammed Khusrin seperti melarang orang bukan Islam masuk ruang solat di surau dan masjid. Sebenarnya PKR juga tidak suka dengan pegawai PTD yang tegas dan bersih seperti Mohammed Khusrin. Mereka lebih suka melantik pegawai yang boleh dicucuk hidungnya," jelas Noh.
Sejak memimpin Selangor hampir tiga tahun lalu, PKR dan rakan sekutunya DAP dan Pas telah membuat undang-undang yang 'pelik-pelik' seperti undang-undang menghina Dewan Undangan Negeri. Undang-undang ini dibuat kerana mereka ingin menakut-nakutkan pegawai kerajaan atau penyiasat kes penyelewengan. Sebab itu mereka buat enakmen bahawa mana-mana pihak yang tidak hadir apabila dipanggil Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) maka dia boleh ditahan dan didakwa.
"Walaupun mereka tahu undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan negara tapi mereka bulldoz dan luluskan juga.
"Malah mereka boleh bertindak menggantung ADUN BN tanpa memberi elaun, sedangkan penggantungan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat baru-baru ini diberi elaun penuh. "Mereka berjaya mewujudkan suasana seolah-olah tindakan yang diambil BN itu tidak betul dengan mempamerkan satu budaya yang tidak pernah berlaku dalam Parlimen dengan demonstrasi jalanan," kata Noh.
Inilah perangai pemimpin PKR yang akan membuat apa sahaja. Mereka amalkan politik menghalalkan cara. Mereka sebenarnya yang 'beraja di mata, bersultan di hati.'
No comments:
Post a Comment