Sunday, October 7, 2012

YAB PM kata...Perangi rasuah kekal...panas sekarang buntut2 pengamal rasuah...

YAB PM serius dalam memerangi gejala rasuah
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan usaha memerangi gejala rasuah dalam negara terus kekal menjadi keutamaan kerajaan dan meletakkannya sebagai satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Perdana Menteri berkata, pelbagai pendekatan yang diambil dalam membanteras gejala rasuah termasuk aspek rangka kerja sehingga penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cukup menggambarkan keseriusan gejala tersebut pada pandangan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, usaha yang dilakukan tidak akan berjaya tanpa pembabitan dan kerjasama menyeluruh kerana pada akhirnya langkah diambil itu perlu menjadi etika sebenar dan tanggungjawab masyarakat.

"Kita selalu mendengar apabila orang bercakap mengenai rasuah, perkara pertama yang berada dalam fikiran adalah penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penjawat kerajaan dan ahli-ahli politik.

"Tetapi kalau kita berpandangan rasuah adalah satu perbuatan tidak beretika dan tidak bermoral, kita perlu berhenti melihat perbuatan itu hanya kepada penjawat awam dan ahli-ahli politik.

"Tanggapan sedemikian sebenarnya cukup dangkal kerana pada hakikatnya gejala rasuah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) Keenam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini...



KUALA LUMPUR 7 Oct -  Pemikiran bahawa perjuangan menentang rasuah adalah tanggungjawab eksklusif kerajaan perlu diubah kerana ia harus dilakukan bersama dengan sektor swasta, kata seorang pegawai kanan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
 
"Pemikiran sebegini perlu diubah. Hakikatnya, sektor swasta mempunyai peranan penting dan mereka harus mempergiatkannya.
 
"Jadi, ia bukanlah tugas eksklusif kerajaan untuk melindungi masyarakat dan ekonomi daripada gejala rasuah. Ia mesti dilakukan bersama," kata Dmitri Vlassis kepada Bernama pada persidangan dan mesyuarat agung tahunan keenam Persatuan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA) di sini hari ini.
 
Beliau berkata peranan sektor swasta adalah penting kerana menjalankan perniagaan tanpa rasuah adalah perniagaan yang baik.
 
Vlassis, wakil Setiausaha Agung PBB dan ketua jenayah ekonomi dan rasuah UNODC, merujuk skandal membabitkan Siemens, syarikat kejuruteraan elektrik dan elektronik multinasional Jerman yang pernah ditangkap menjalankan perniagaan dengan mengamalkan rasuah di seluruh dunia.

Perkara itu menggoncang dan menjejaskan keseluruhan syarikat sehingga satu pengurusan baru dengan toleransi sifar   rasuah dilantik dan sejak itu, ia dilihat mencapai keuntungan yang kian meningkat.
 
"Jadi, sektor swasta perlu memahami perkara ini, mereka perlu mengambil pendekatan langsung dan perlu berhenti menunggu untuk terjebak dan mengambil langkah agar tidak terperangkap dalam satu situasi di mana mereka melanggar peraturan dan undang-undang kerana ada kemungkinan mereka akan terjebak. Jadi, pemikiran sebegini perlu diubah," katanya.
 
Vlassis berkata terdapat bukti statistik yang jelas daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang menunjukkan satu perkaitan yang jelas antara satu ekonomi yang gagal dan tahap rasuah di negara tertentu.
 
Beliau memberi contoh beberapa negara yang kini berdepan krisis kewangan di Eropah termasuk negaranya sendiri iaitu Greece.
 
Vlassis juga berkata anggapan bahawa rasuah hanya berlaku di negara membangun adalah salah kerana gejala itu turut melanda negara maju.

Katanya, kerana rasuah, sebahagian besar sumber yang boleh ditumpukan kepada pembangunan diseleweng untuk tujuan lain dan ternyata rasuah memberi kesan negatif terhadap pembangunan.
 
Beliau turut mengulas persidangan IAACA selama empat hari itu yang berakhir hari ini dan dihadiri lebih 1,000 pegawai pencegah rasuah dari lebih 100 negara anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
 
Katanya, penganjuran persidangan itu menunjukkan komitmen Malaysia terhadap rakyatnya dan masyarakat antabangsa yang memerlukan pemimpin bagi memerangi gejala rasuah.

Laporan berkaitan:-
 
(Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat menerima peruntukan sebanyak RM276 juta bagi menjayakan peranannya dalam membanteras rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya berkata kerajaan juga bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai jumlah 5,000 anggota yang disasarkan suruhanjaya itu.

“Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat pada Jumaat".

Bagi tahun ketiga berturut-turut, Malaysia menunjukkan kemelesetan pada skor CPInya di mana skor 4.3 bagi 2011 menurun sedikit dari 4.4 yang direkodkan tahun lepas dan ketara rendah dari tanda aras kerajaan 4.9. Keadaan itu menyebabkan ranking Malaysia turut merosot ke kedudukan ke-60 (dari kalangan 183 negara) dari kedudukan ke-56 tahun lepas).

Nampaknya kita sedang menuju ke arah kebersihan gejala rasuah baik di dalam pentadbiran kerajaan ataupun pentadbiran swasta. Memerangi rasuah bukan kerja eksklusif kerajaan sahaja, kalau pihak swasta tidak mengambil apa-apa tindakan dalam memerangi gejala rasuah di dalam entiti mereka. Bak kata YAB PM gejala rasuah mesti di perangi oleh semua pihak kerana perbuatan rasuah boleh di lakukan oleh sesiapa sahaja. 

No comments:

Post a Comment