Mampukah Doktrin PAS menyakinkan Doktrin DAP untuk menerima undang2 Islam di perjuangkan Doktrin PAS????? |
[Maka apakah mereka tidak berjalan dan mengembara di bumi dan dengan itu tidakkah mereka memperhatikan bagaimana kesudahan org yang sebelum mereka. Mereka itu lebih banyak dan lebih kekuatannya serta (lebih banyak) peninggalan-peninggalan peradabannya di bumi, maka apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka...ayat 82 Surah Al-Ghafir].
BUKANLAH sesuatu yang mengejutkan apabila DAP
Kedah sekali lagi menegaskan akan menentang undang-undang berunsurkan
Islam jika mahu dilaksanakan di negeri itu.
Sebenarnya, penentangan DAP terhadap sebarang usaha sedemikian
bukanlah perkara baru sejak mereka menjalani kesepakatan dengan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.
Di Selangor, sebelum ini kita juga menyaksikan bagaimana DAP
menentang langkah Pas melalui Datuk Dr. Hasan Ali yang ketika itu Exco
Kerajaan Negeri untuk melarang jualan arak di kedai-kedai serbaneka.
Malahan kita juga sudah mengetahui bagaimana kerasnya penentangan DAP
melalui pemimpin-pemimpin kanannya terhadap perjuangan Pas untuk
menegakkan negara Islam dan hukum hudud.
Tetapi malangnya Pas masih lagi mahu bekerjasama dengan DAP
sehinggakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan
bahawa parti itu akan meneruskan kerjasama dengan DAP bagi mencapai
kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Alasan Nik Abdul Aziz
mudah iaitu Pas memerlukan sokongan undi bukan Islam dan kenyataan
beliau disambut oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
yakin kerjasama dengan DAP tidak akan merugikan parti itu pada masa
depan malah strategi itu memberikan harapan ke arah kemenangan lebih
besar.
Kedua-dua pemimpin itu sepakat bahawa Pas mahukan sokongan dan undi
kaum Cina, justeru kerjasama dengan DAP perlu dipertahankan. Tambahan
pula seperti mana kata Abdul Hadi, Pas akan terus bekerjasama dengan DAP
kerana beliau percaya kebangkitan Pas secara beransur-ansur adalah
hasil usaha seumpama itu.
Berdasarkan kepada hujah Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz jelaslah, Pas
kini berada dalam kedudukan yang terdesak untuk mendapat sokongan bukan
Melayu.
Oleh itu mahu tidak mahu mereka terpaksa menjalin kerjasama dengan
DAP dan berpakat dengan PKR biarpun perjuangan Islam Pas menjadi
taruhan. Jika benar Pas masih mahu memperjuangkan Islam dan menegakkan
hukum hudud, sudah pasti mereka akan meninggalkan DAP yang sejak dulu,
kini dan mungkin selamanya akan menghalang cita-cita Pas itu.
Bayangkanlah, kalau hendak memasang papan iklan yang menggunakan
model berpakaian sopan dan perlu bertudung pun ditentang oleh DAP
seperti mana berlaku di Kedah, bagaimana dengan soal-soal pelaksanaan
hukum Islam yang lebih besar? Apakah Pas akan berupaya untuk berhadapan
dengan penentangan DAP itu, jika pakatan pembangkang menenangi pilihan
raya umum akan datang?
Sebab itu kita ingin bertanya, apakah Pas boleh memberi jaminan
bahawa Pas itu tidak akan berada kategori dalam apa yang pernah
dilafazkan oleh Abdul Hadi pada 7 April 1981 di Kampung Benggol,
Peradong, Kuala Terengganu.
Masih ingatkah amanat ini, ''Kita menentang UMNO, bukan kerana nama
dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama
memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan
perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan
peraturan jahiliah.
Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh
kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan
dengan mereka.''
Persoalannya, apakah Pas begitu yakin bahawa DAP akan menyokong
mereka untuk menghapuskan apa yang dianggap oleh Abdul Hadi Perlembagaan
penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah itu?
Selain itu bagaimana pula dengan surah Ali Imran ayat 28 yang suatu
ketika dulu 'diambil separuh-separuh' oleh pemimpin-pemimpin Pas untuk
memburuk-burukkan kerjasama UMNO dengan parti-parti bukan Islam seperti
MCA dan MIC.
Ketika itu, pemimpin Pas hanya mengambil ayat berkenaan separuh
sahaja iaitu, ''Janganlah orang-orang yang beriman mengambil
orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang
yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka
tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu
apapun....,.
Sedangkan sambungan ayat itu seterusnya bermaksud, ''.... kecuali
kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari
pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu
beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada
Allah jualah tempat kembali".
Tetapi kini mungkin pemimpin-pemimpin Pas tidak akan mengulangi
gelagat membaca surah berkenaan 'separuh-separuh' kerana mereka sudah
'berpeluk rapat ' dengan DAP dalam satu selimut, satu tilam dan
berkongsi bantal biar pun mimpi-mimpi lain.
Pada masa ini, penulis percaya biar pun apa juga yang dilakukan oleh
DAP terhadap Pas termasuk menentang keras perjuangan Islam, Pas tetap
akan bertolak-ansur dan menerima dengan rela.
Pemimpin-pemimpin Pas yang membuat kenyataan kononnya mereka akan
tetap melaksanakan hukum hudud dan meneruskan perjuangan Islam hanyalah
retorik.
Sebenarnya, kenyataan bahawa Pas masih lagi dengan dasar dan
perjuangan Islamnya adalah strategi politik parti itu untuk mengaut
sokongan daripada umat Islam serta memastikan Pas tidak dilihat sudah
tergelincir daripada hala tuju perjuangan asalnya.
Tetapi dalam masa yang sama, perjalanan politik Pas sejak bersahabat
dengan DAP menunjukkan sejauh mana keberanian Pas untuk terus
mempertahankan perjuangan Islamnya. Dan apa yang berlaku di Kedah sudah
menjadi bukti bahawa DAP tidak akan berkompromi dalam soal Islam yang
ingin diperjuangkan oleh Pas. Walaupun dari satu segi, Pas jauh lebih
berwibawa dan berkemampuan daripada DAP, tetapi Pas bersedia menjadi bak
kata pepatah 'melukut di tepi gantang' dalam pakatan semata-mata untuk
memburu kuasa.
Sebab itulah Ahli Pas seumur hidup, Datuk Shahnon Ahmad menegaskan,
sepatutnya, DAP perlukan Pas dan bukan sebaliknya. Bagaimanapun
pemimpin-pemimpin utama Pas sendiri tidak mahu menyebut perkara itu,
sebaliknya lebih rela mempertegaskan bahawa Pas perlu DAP untuk meraih
undi bukan Melayu khususnya orang Cina.
Pas ternyata sudah menunjukkan betapa mereka begitu kemaruk untuk
berkuasa sehinggakan apa pun yang akan dilakukan oleh DAP, mereka akan
terima dengan hati terbuka.
Dalam soal ini, penulis ingin menasihatkan kepada penyokong-penyokong
Pas tidak usahlah mereka bermuram durja apatah lagi mahu memperotes
terhadap kerjasama parti itu dengan DAP.
Semua itu hanya sia-sia, sebaliknya berikutan ketegasan yang
ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin mereka dalam mempertahankan kerjasama
dengan DAP, maka mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk
berkempen habis-habisan untuk DAP meraih sokongan orang Melayu.
Maklumlah itu sebagai 'timbal balik' kepada harapan pemimpin Pas
untuk melihat DAP berkempen bagi parti itu dalam meraih sokongan
masyarakat Cina.
Justeru mereka perlu menjadi ahli atau penyokong setia yang berpegang
kepada prinsip 'kami dengar kami patuh' bagi memastikan kemenangan DAP,
biar pun perjuangan Islam Pas - satu perjuangan yang menjadi tarikan
utama mereka menyokong parti itu - selepas ini entah ke mana.
No comments:
Post a Comment