Wednesday, April 20, 2011

Menanti detik perpaduan...Adakah kita akan dapat dan tercapai apa yg di hajati oleh rakyat Malaysia yg bergelar Melayu...sekiranya perasaan dendam dan idealogi dapat di ketepikan demi perpaduan maka kita rasa perkara mustahil tidak mustahil tercapai tetapi semuanya bergantung kepada pucuk kepimpinan parti-parti yg terlibat...Kita serahkan perkara tersebut kepada Allah (SWT) utk menentukan hala tuju kita sebagai umat Islam dan bangsa Melayu...Kalau kita ranap maka yg untung adalah bangsa lain di Malaysia kerana kita bercakaran sesama sendiri maka sudah tentu yg menang akan bersorak tetapi kampung pasti akan tergadai ...




NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Abdul Hadi Awang (kiri) ketika kedua-duanya bertembung semasa berkempen dI Pekan Pusa, Betong, baru-baru ini.


''Allahuakbar...Alhamdulillah, satukanlah hati-hati kami ini Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim... Tunjukkan titik pertemuan antara kedua-duanya, biar berlainan ideologi politik, tujuan tetap sama.'' Itulah salah satu komen yang dihantar oleh seorang pembaca sebuah blog yang memaparkan klip video Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpeluk dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Peristiwa yang dikatakan mencuit perhatian ramai ketika kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 itu berlaku ketika kedua-duanya bertembung semasa berkempen di Pekan Pusa, Betong pada Rabu lalu. Beberapa hari sebelum itu, media juga menyiarkan gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Najib dalam majlis perasmian Kompleks Pemasaran Setempat, Taman Industri Automotif Pekan, Pahang.

Di dalam politik sudah tentulah, dua senario ini mendapat perhatian apatah lagi apabila ia membabitkan pemimpin dari dua parti besar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas. Sememangnya sejak dulu lagi, ramai yang ingin melihat persengketaan antara dua parti besar tersebut berakhir.

Ia bukanlah semata-mata demi kuasa politik tetapi demi masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Sebelum ini sudah terbentuk banyak usaha bagi menyatukan dua parti berkenaan termasuklah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan tetapi semuanya terbengkalai di tengah jalan.

Segala-galanya berikutan penentangan daripada kelompok-kelompok tertentu yang seolah-olah tidak mahu melihat orang Melayu bersatu. Berikutan itu, isu tersebut yang dicetuskan oleh Abdul Hadi diam begitu sahaja dan tiada harapan diletakkan untuk melihat UMNO dan Pas duduk semeja.

Namun begitu ia bukanlah bermakna segala pintu rundingan bagi melihat UMNO dan Pas duduk semeja berbincang mengenai masa depan politik orang Melayu sudah tertutup. Mahu tidak mahu, pemimpin dan ahli-ahli kedua-dua parti itu adalah beragama Islam dan terikat kukuh atas dasar persaudaraan Islam.

Dari segi sejarahnya UMNO dan Pas boleh dianggap seperti 'pasangan kembar' yang 'dilahirkan dari perut yang sama'. Namun ideologi dan falsafah perjuangan yang berbeza 'memisahkan' antara dua saudara ini dalam mencapai cita-cita masing-masing.

Perikatan Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat menyulitkan lagi keadaan memandangkan berbeza dengan Pas, PKR ditubuhkan atas dasar kebencian yang amat mendalam terhadap UMNO. Dan kedudukan orang Melayu menjadi semakin tergugat dengan corak perjuangan sesetengah pemimpin-pemimpin PKR yang sanggup menggadaikan segala-galanya demi kuasa politik.

Kesudahannya tinggallah UMNO terkontang-kanting memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Atas sebab itulah ketika mengulas perkara berkenaan, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof.Datuk Dr.Mohamed Mustafa Ishak berkata, orang Melayu terutamanya di dalam Pas perlu berfikir di luar kotak.

Katanya, mereka tidak harus memikirkan perjuangan politik semata-mata sehingga soal perpaduan dengan UMNO mahu diketepikan begitu sahaja. Landskap politik negara yang berubah ketika ini jelas tidak menguntungkan orang Melayu dari segi jangka masa panjang.

''Tiada gunanya kita beria-ia memperjuangkan politik individu dan kepartian tetapi akhirnya kehidupan ummah tergugat,'' katanya ketika dihubungi.

Kenyataan ini seharusnya memberi pemahaman kepada kelompok-kelompok tertentu di dalam Pas yang dilihat cukup alergi apabila hendak bekerjasama dengan UMNO. Tetapi dalam masa yang sama, mereka begitu teruja menjalin persahabatan dengan DAP dan juga PKR yang ketika ini dilihat hanya mahu memperkudakan Pas.

Menurut Dr.Mohamed Mustafa, tindakan Abdul Hadi memeluk Najib dilakukan secara spontan dan ia menunjukkan bahawa bukanlah susah sangat untuk menjalinkan perpaduan antara UMNO dan Pas . ''Ia hanya soal mahu dengan tidak sahaja. Saya fikir bagi UMNO, parti itu sememangnya mahu menjalinkan perpaduan dengan Pas, soalnya bagaimana dengan Pas?,'' katanya.

Bagi Dr.Mohamed Mustafa, tiada apa yang lebih penting dalam perjuangan sesebuah parti politik Melayu itu selain memastikan kepentingan dan keutuhan ummah terjamin. Inilah pertimbangan utama yang harus diberikan oleh puak-puak yang terlalu memikirkan politik kepartian.

Kemesraan dan keterbukaan yang ditunjukkan oleh Abdul Hadi seharusnya menjadi teladan bahawa itulah sebenarnya yang diseru dalam Islam. Perbezaan ideologi politik tidak harus menjadi pencetus kepada 'penyebaran virus' kebencian antara umat Islam, sebaliknya perlu dijadikan asas bagi melahirkan ummah yang terbaik.

Perpecahan sesama umat Islam dan perpaduan yang retak di kalangan orang Melayu sudah menjadi bukti bagaimana ia telah memberi kesempatan kepada pihak lain untuk menangguk di air keruh. Jika orang Melayu di dalam UMNO dan Pas masih lagi dengan haluan politik masing-masing sehingga ada antara mereka menggunakan segala pendekatan bagi menjatuhkan antara satu sama lain, ia akhirnya akan membawa bencana kepada orang Melayu secara keseluruhannya.

Ia kerana apabila mereka terus bersengketa semasa sendiri, jatuh menjatuh antara satu sama lain, maka akhirnya mereka akan menjadi insan yang paling lemah di muka bumi ini. Sebab itulah, kita mengharapkan keakraban dan semangat persaudaraan yang ditunjukkan oleh Abdul Hadi tidak akan berakhir di Sarawak sahaja.

Sebaliknya kita berdoa agar impian untuk melihat UMNO dan Pas bersatu sebagai satu kelompok ummah yang kuat menjadi kenyataan. Tidak apa jika mereka hendak mengarak lambang berbeza dalam perjuangan politik tetapi biarlah bersama-sama menegakkan panji-panji perpaduan ummah!

No comments:

Post a Comment