Monday, August 27, 2012

DOKTRIN PAS KOWTOW KEPADA DOKTRIN DAP...PAS pada prinsipnya bukan lagi parti Islam seperti mereka sangka, sebaliknya sudah mengorbankan perjuangan atau dasar Islam mereka. Sekarang PAS tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud tiada dalam Buku Jingga.


SIAPA PEMIMPIN2 PAS YG BERANI ANGKAT MUKA?????

TINDAKAN PAS yang terus berdolak-dalik melaksanakan hukum hudud atau tidak jika pembangkang memerintah membuktikan parti itu terus tunduk kepada desakan DAP. Namun, disebabkan keghairahan parti itu bersama pembangkang hendak menguasai Putrajaya, PAS terpaksa bermain kata-kata dengan ahlinya.

Rakyat mungkin masih ingat pada awal penubuhannya sekitar 1970-an dan berkembang hebat pada 1980-an, terutama menerusi kepemimpinan ulama sejati seperti Datuk Asri Muda, Mohamad Yusof Rawa dan Datuk Fadhil Mohd Noor, parti itu konsisten dalam perjuangannya membela Islam serta mahu menegakkan negara Islam.

Pada zaman itu majoriti ahli PAS memiliki ilmu agama yang kukuh walaupun ada antara mereka sekadar menamatkan pengajian di sekolah pondok, namun tekal dan bersemangat memperjuangkan agenda mereka. Hudud menjadi perjuangan mereka sehingga akhir hayat. Apabila PAS berjaya menguasai Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1999, harapan ahli PAS melihat hudud dilaksanakan di negeri itu berbunga, apatah lagi melihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Menteri Besar. 

Namun, sepanjang empat tahun memerintah Terengganu, hudud bukan saja tidak dilaksanakan, malah Abdul Hadi juga gagal menunaikan manifesto PAS. Kejayaan PAS di Terengganu sekadar menghapuskan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud. Sementara itu, sepanjang 21 tahun PAS memerintah Kelantan, tiada satu pun usaha dibuat menjelaskan kebaikan hudud. Itu realiti. Justeru, apabila kelmarin, Abdul Hadi membangkitkan semula hudud, ia tidak lebih seperti ‘menanam tebu di tepi bibir.’

Kenyataan beliau yang hudud hanya akan dikuatkuasakan apabila pengangguran dan kemiskinan diselesaikan, manakala penetapan gaji minimum dilaksanakan, ia hanya helah untuk menutup kelemahan PAS dan mahu menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

JASA-JASA PAS:-

Sepanjang penubuhannya, apakah jasa PAS, melainkan hanya memecah-belahkan perpaduan Melayu dan mengelirukan orang Islam serta bukan Islam mengenai hakikat ajaran Islam sebenar.

Malangnya, bagi mencapai impian ke Putrajaya, selain melunaskan dendam terhadap UMNO yang sekian lama terbuku, PAS sanggup melakukan apa saja termasuk menggadai prinsip Islam diperjuangkan mereka selama ini.  Akhirnya agama Islam, Negara Islam dan Hudud [Doktrin PAS] di jualnya.
Apabila PAS menukar dasar perjuangannya untuk mewujudkan negara berkebajikan, ia menjadi petunjuk jelas PAS sudah tidak relevan lagi dengan perjuangan membela Islam. PAS kini tiada bezanya dengan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR). PAS sudah bertukar menjadi parti sekular yang menjual agama Islam di ceruk rantau Malaysia utk mendapat undi bagi mencapai cita-citanya mendapatkan jawatan Perdana Menteri dan Putrajaya.

Rakyat pasti masih ingat tanggal 7 Disember 2011, apabila Abdul Hadi menegaskan yang PAS tidak akan memasukkan pelaksanaan hukum hudud dalam manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Abdul Hadi berkata, pelaksanaan hukum hudud tidak perlu diterjemahkan secara terperinci, cukup sekadar secara umum kerana yang penting ialah konsep mencegah kemungkaran berlandaskan undang-undang syariah yang adil.

Apakah ertinya? Ini semua mendedahkan parti itu berdepan krisis dalaman amat teruk antara kumpulan ulama dan liberal dalam menentukan perjuangan parti terutama berhubung Islam. Apa yang nyata, PAS pada prinsipnya bukan lagi parti Islam seperti mereka sangka, sebaliknya sudah mengorbankan perjuangan atau dasar Islam mereka. Sekarang PAS tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud tiada dalam Buku Jingga.

Majlis Syura Ulama PAS gagal berfungsi. Semua Ahli Jawatankuasa PAS termasuk dalam Majlis Syura kini dikuasai mereka yang mirip kepada perjuangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan takut kepada DAP.

Apa yang nyata, dolak-dalik PAS dalam pelaksanaan hukum hudud adalah tanda parti itu tunduk kepada percaturan politik Anwar selaku "Ketua Pembangkang" untuk mendapatkan sokongan dan undi kaum Cina serta India.

Berdasarkan perkembangan semasa ini, hasrat PAS untuk melaksanakan hudud seolah-olah akan tenggelam selamanya.

Persahabatan PAS dengan parti pembangkang lain ternyata tidak memberi faedah bagi parti itu, sebaliknya terus terkorban dalam memperjuangkan agenda Islam.

Tindakan pembangkang menolak pelaksanaan hudud membuktikan tidak wujud kesepakatan antara parti pembangkang seperti sering dicanangkan, sebaliknya terus tunduk kepada desakan DAP yang mendominasi pakatan itu.

Jika pada 1983 PAS sanggup melabel UMNO kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC, apakah status PAS apabila mereka kini bekerjasama dengan DAP? Anehnya, PAS lebih rela menolak kerjasama dengan UMNO dengan alasan parti Melayu itu menolak Islam. Akhirnya, yang rugi ialah orang Melayu Islam.


No comments:

Post a Comment