Pakatan - RM22b subsidi, RM6b kenaikan utk perkhidmatan awam
Pakatan Rakyat mengesyorkan peruntukan subsidi sehingga RM22 bilion
dan menyediakan RM5.9 bilion lagi bagi kenaikan gaji 1.3 juta kakitangan
awam -atas alasan mahu membantu mengurangkan kos sara hidup.
Pembangkang peringkat persekutuan ini mengumumkan bajet alternatif 2012 hari ini.
Perikatan itu berkata ia akan mengurangkan perbelanjaan awam sebanyak
RM14 bilion kepada RM220 bilion, sekali gus mengurangkan defisit kepada
4.4 peratus.
“Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion
berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4
peratus daripada KDNK.
“Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14
bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin
melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus,
bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20
peratus nilai tambah kepada rakyat berbanding apa yang dibelanjakan oleh
Barisan Nasional selama ini,” kata Anwar dalam ucapan belanjawan 2012
Pakatan Rakyat.
Kata Anwar, keseluruhan RM220 bilion itu akan digunakan sebaiknya untuk
mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah
di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin
mendesak.
Kata Anwar, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan
kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan
bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari
golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan
rakyat.
Oleh itu katanya, Bajet 2012 Pakatan Rakyat akan menekankan:
─ Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil
kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan
sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.
─ Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambah baik sistem
penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan,
bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang
diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi
korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni
mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh
Bernas, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.
─ Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas
sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan
pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan
belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu
golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis
akibat kenaikan harga barang.
─ Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak
RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan
bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.
─ Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk
memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550.
─ Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat
akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak
RM300 sebulan.
“Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima
RM1,100 dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9
bilion,” katanya.
No comments:
Post a Comment