Saturday, June 15, 2024

Harta Pusaka dan Amanah...

Ini adalah satu topik yang selalu di perkatakan oleh masyarakat kita di Malaysia terutama apa akan jadi kepada harta pusaka si mati selepas ianya meninggal dunia. Di kalangan masyarakat Melayu, ianya akan menjadi lebih meruncing apabila ada yang mempertikaikan harta pusaka si mati dari segi pembahagian dan/atau pecahan harta tak alih mahupun harta alih.

Apabila seseorang meninggal dunia samada bapa, ibu, anak dan sebagai, maka waris-waris yang tinggal ada dua cara untuk mendapatkan hak-hak ke atas harta pusaka si mati.

Cara pertama:

Ianya boleh di laksanakan dengan membuat permohonan kepada Pejabat Harta Pusaka Kecil di bawah peruntukkan Harta Pusaka Kecil. Permohonan ini hendaklah di buat secara online ke Pejabat Tanah berkenaan di mana harta alih dan/atau harta tak alih terletak. Misalnya sekiranya harta tak alih tersebut terletak di kawasan Gombak dan/atau di Bentong maka permohonan hendaklah di buat melalui online ke Pejabat Daerah dan Tanah samada di Gombak atau Bentong. Borang yang di perlukan ialah Borang A perlu di isi oleh pemohon dengan butiran lengkap seperti di minta dalam Borang A tersebut. Kemudian sebelum hari perbicaraan Borang DDA (waris-waris yang terlibat) hendaklah di isi dan di tandatangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan ianya hendaklah di bawa bersama-sama pada hari perbicaraan kelak. Borang DDA ini hendaklah di isi selari dengan Borang A mengenai harta tak alih dan/atau harta alih, nama pemohon, waris-waris terlibat dan pembahagiannya.

Sekiranya tiada pembahagian di letakkan di dalam Borang DDA, maka Pejabat Pusaka Kecil akan melantik pemohon sebagai Pentadbir kepada harta pusaka tersebut. Pembahagian harta pusaka boleh di laksanakan secara faraid dan/atau pembahagian sama rata (setelah persetujuan semua waris-waris terlibat). Sekiranya waris-waris tidak bersetuju pembahagian sama rata, maka kaedah faraid akan di ikuti.

Sekiranya seoang Pentadbir telah di lantik dan ianya telah di daftarkan di Pejabat Daerah dan Tanah berkenaan apabila Perintah Harta Pusaka Kecil telah di keluarkan oleh Pejabat Tanah berkenaan, maka sekiranya harta tak alih hendak di jual, ianya boleh di laksanakan dengan cara membuat permohonan di Mahkamah Tinggia Malaya di mana harta tak alih dan/atau Perintah Harta Pusaka Kecil tersebut di keluarkan. Dalam proses ini, waris-waris perlu melantik seorang peguambela dan peguamcara untuk menguruskan hal-ehwal proses penjualan tersebut.

Harta tak alih tidak perlu di bahagikan kepada waris-waris sekiranya semua waris-waris bersetuju untuk menjual harta tak alih tersebut dan keuntungan daripada penjualan harta tak alih tersebut akan di bahagikan secara faraid dan/atau pembahgian sama rata (tidak kira lelaki atau perempuan). Pembahagian sama rata mestilah mendapat tersetujuan semua waris-waris terlibat. Sekiranya ada waris-waris yang tidak bersetuju pembahagian sama rata, maka pembahagian mestilah di laksanakan secara faraid.

Cara permohonan di Pejabat Harta Pusaka Kecil ini akan mengambil masa sikit untuk mendapatkan tarikh perbicaraannya. Maka kita ada alternatif cara kedua iaitu membuat permohonan untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah Tinggi Malaya di mana harta tak alih tersebut terletak dan/atau berdasarkan alamat pemohon. 

Cara Kedua:

Permohonan untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah Tinggi Malaya di mana waris-waris perlu melantik seorang peguamcara dan peguambela untuk menguruskan permohonan tersebut. Melalui cara kedua tarikh perbicaraan akan di perolehi selepas pemfailan permohonan LA di laksanakan oleh peguam yang di lantik. ianya akan selesai dalam jangka masa 6 bulan daripada tarikh pemfailan permohonan LA tersebut.

AMANAH:

Selepas mendapatkan Perintah Harta Pusaka Kecil dan/atau Surat Kuasa Mentadbir daripada Mahkamah Tinggi Malaya, maka Pentadbir bolehlah melaksanakan tugas-tugas dalam mentadbir harta pusaka si mati seperti mana yang di peruntukkan oleh undang-undang Malaysia. Maka Pentadbir tersebut adalah pemegang amanah kepada waris-waris yang telah melantik beliau sebagai "Pentadbir". Amanah ini besar tanggungjawabnya. Harta pusaka si mati samada harta tak alih mahupun harta alih hendaklah di kendalikan secara jujur dan amanah kerana segala tindak tanduk akan di persoalkan di akhirat kelak (memakan harta anak yatim berat azabnya). Mesyuarat hendaklah di buat samada harta tak alih dan/atau harta alih hendak di bahagikan kepada waris-waris terlibat dan/atau di letakkan di bawah satu tabung (account khas untuk harta pusaka) di mana pentadbir tersebut akan menguruskannya. Sekiranya si mati itu bapa, ibu dan sebagainya telah menyebut bahawa harta-harta tak alih hendaklah di pegang oleh Pentadbir dan tiada nama waris-waris akan di letakkan di dalam geran harta-harta tak alih tersebut, maka Pentadbir hendaklah memastikan bahawa tiada waris-waris yang akan memonopolikan harta-harta tak alih tersebut untuk kepentingan peribadi dengan membelakangi waris-waris yang lain. 

Budi bicara dan persetujuan waris-waris terlibat mestilah di perolehi bagi seorang waris hendak menggunakan harta-harta tak alih tersebut. Cara ini akan mengelakkan perselisihan faham dan/atau pergaduhan adik-beradik dalam merebut harta pusaka peninggalan orang tuanya kelak. Sekiranya harta-harta tak alih di perturunkan kepada seorang waris, maka waris-waris lain mestilah akur dengan pembahagian yang telah di tetapkan sebelum kematian orang-orang tua mereka. Ini juga penting bagi mengelakkan perselisihan faham dan/atau pergaduhan antara adik-beradik berkaitan dengan harta pusaka. Selalunya sekiranya harta tak alih ini di perturunkan kepada waris-waris tertentu, maka harta tak alih tersebut akan menjadi "hutan" dan/atau terjual kepada orang lain adalah amat besar sekali. Jarang sekali waris-waris yang mewarisi harta-harta tak alih tersebut akan mengusahakan dan/atau membangunkan harta-harta alih tersebut menjadi sesuatu yang manfaatkan kepada beliau mahupun waris-waris yang lain. Inilah yang selalu menjadi pedoman dan persoalan mestikah kita mewariskan harta pusaka itu kepada "individu-individu" selepas kematian orang-orang tua kita?

Mungkin mewariskan kepada "individu-individu" akan menyelesaikan banyak perkara tetapi adakah ianya akan mendatangkan kemudaratan kemudian hari apabila "harta pusaka" tersebut terlepas ketangan orang lain. Ianya realiti yang perlu di fikirkan bukannya di sanggahkan kerana harta pusaka itu adalah hasil titik peluh orang-orang terdahulu untuk mendapatkannya. Datang orang-orang yang terkemudiannya habis di jualnya melainkan jual harta pusaka itu dijual untuk membeli harta baru bagi kegunaan "individu-individu" tersebut. Inilah permasalahan yang sering di hadapi oleh harta pusaka peninggalan orang-orang terdahulu samada ianya "terbiar tidak diselenggarakan menjadi hutan dan/atau terjual untuk mendapat tunai.

Berat sungguh tanggungjawab waris-waris yang di tinggalkan lebih berat lagi bagi individu yang menjadi "pentadbir kepada harta pusaka tersebut". Kita tidak perlu bergaduh dan/atau berselisih faham mengenai harta pusaka kerana ianya akan tinggal di dunia apabila kita di panggil untuk mengadap Allah (SWT). Tamak harta pusaka pun tidak akan mendatangkan keuntungan kepada waris-waris kerana ianya akan memberi impak yang besar dalam kehidupan seterusnya. Sekiranya kita tidak merasainya, maka anak-anak dan/atau cucu kita akan merasai impak tersebut kerana balasan Allah (SWT) itu akan datang tanpa di duga oleh kita sebagai manusia. Boleh kah kita menentukan hari ini akan hujan walaupun kita telah mendengar guruh dan petir berdentam detum di langit tetapi sekiranya Allah (SWT) tak izinkan hujannya turun maka hujan tetap tidak akan turun. Di sinilah kita kena fahami bahawa harta pusaka itu bukannya sesuatu jalan untuk mendapatkan keuntungan peribadi tetapi tanggungjawab yang mesti dipikul bagi memastikan setiap waris-waris akan hidup seperti yang di amanahkan kepada kita melainkan waris-waris itu memilih untuk menjalankan kehidupan seperti mana yang diingini sendiri. Kita sebagai pentadbir hanya boleh membantu setakat mana yang telah di amanahkan tidak lebih dan tidak kurang kerana waris-waris lain pun mesti di perhatikan supaya semuanya dapat hidup aman dan sentosa di dunia sebelum di panggil mengadap Allah (SWT).

Selamat menjalan yanggungjawab sebagai "PENTADBIR"...