Friday, October 1, 2010

Wang Judi Dalam Akal Budi Melayu dan Agama....


Oleh Abu Amru Mohd Radzi Bin Othman

Dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ada menceritakan bagaimana Ali Manu Nayan mahu merasuah Tun Hassan Temenggung. Ali Manu Nayan berkata kepada Temenggung: “Orang Kaya, semua Orang Besar-besar dalam Melaka ini datang kerumah ku, melainkan Orang Kaya juga yang tidak datang. Jikalau dapat marilah apa Orang Kaya bermain-main kerumah ku. Hingga berdiri juga di hadapan kedaiku. 10 tahil emas ku persembahkan”. Maka kata Tun Hassan Temenggung: “ Nuni haram jadah! Aku hendak engkau beri makan sedekah? Jika pada bapak-bapakmu yang lain boleh!”. 

Ali Manu Nayan itu cuba untuk mem”beli” Tun Hassan dengan 10 tahil emas. Namun Tun Hassan yang punya maruah diri menolak cubaan Ali Manu Nayan dengan tegas dengan kata yang cukup kasar – haram jadah. Kerana dalam akal budi Melayu; wang haram itu tidak layak untuk sebuah penghidupan bermaruah dan tidak sesuai untuk manusia bangsawan. Tambah, sebuah rasuah itu adalah ditegah dan berdosa. Begitu juga bahawa judi itu telah terang haramnya.

Namun rupanya dalam hidup manusia, terkadang seseorang boleh dirasuah dengan sebuah pemahaman songsang. Maka kerana itulah Raja Mendaliar membawa harta bertimbun kepada Laksamana Khoja Hassan untuk menabur fitnah atas Bendahara Seri Maharaja. Lantas Laksamana Khoja Hassan pun menghadap Sultan dan memaklumkan bahawa Bendahara sedang merancang untuk rampasan kuasa. Tanpa usul periksa, Sultan menurunkan titah untuk dibunuh Bendahara dan beberapa ahli keluarganya. Ditambah dendam Sultan kepada Bendahara lantaran Sultan berahi kepada anak Bendahara – Tun Fatimah.

Justeru kerana sebuah “kepercayaan palsu” dan dendam, menyebabkan Bendahara yang bijak menjalaankan tugas dibunuh, yang hujung-hujungnya membawaa kepada kejatuhan Melaka. Demikianlah bagaimana manusia boleh dirasuah dengan harta dan juga “kepercayaan palsu”. Oleh kerana itu juga seorang tokoh agama yang telah termakan “rasuah” pembangkang membela Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau dirasuah bukan dengan emas sebahara tetapi dengan ideaologi Khawarij yang menggunakan kalimat “adil” dan “hukum Allah” sebagai sogokan. Kita mengetahui beliau bukanlah Khawarij tetapi pemikiran neo-Khawarij itu melekat dalam dirinya pada permasalahan imamah dan kenegaraan.

Adil Antara Dua Kaum

Sedangkan sebelum ini, dalam isu Kartika yang dijatuhkan hukum sebat akibat meminum arak di khalayak, beliau berkata semacam ini: Sedangkan isu yang lebih utama adalah masalah kedai arak dan kelab malam yang bertaburan. Sepatutnya kerajaan berusaha untuk menutup kedai arak dan kelab malam ini agar tiada lagi orang meminum arak. Kita menyediakan masyarakat dengan arak namun ketika masyarakat meminumnya maka kita menghukum mereka. Namum ketika Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan wang haram untuk penghidupan kaum Muslimin, beliau – tokoh agama ini – hanya menghuraikan bab hukum menggunakan wang haram untuk bersedekah. Beliau tidak menggunakan metoda yang sama seperti yang telah beliau gunakan terhadap isu Kartika.

Walhal sikap adil itu adalah penting untuk seoraang yang bergelar ulama, malah terhadap seluruh manusia. “dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.” [al-Maidah 5:08]

Justeru tokoh agama ini menasihatkan Lim Guan Eng untuk berusaha menutup kedai-kedai judi yang bertaburan di negeri pimpinannya. Malah lebih wajib baginya yang digelar orang sebagai bayangan Saidina Umar Abdul Aziz walaupun dia beraqidah triniti - tiga oknum. Begitu juga Ketua Menteri harus sedar bahawa akal budi Melayu itu tidak setuju wang dari sumber judi diberikan kepada mereka untuk penghidupaan mereka. Bukan kerana wang itu haram tetapi fitrah mereka. Ibarat mereka tidak akan menjamah dhab walau binatang tersebut halal dimakan.

Oleh sebab itulah telah menjadi amalan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan UMNO sejak dari dahulu lagi memisahkan wang dari sumber haram ke dalam akaun berasingan. Namun hal ini tidak difahami oleh orang-orang yang mengikut parti Islam kerana hawa hafsu mereka. Mereka menganggap bahawa kerajaan telah memberi gaji kepada kakitangannya dengan wang haram ini. Sedangkan wang dari sumber haram ini hanya digunakan untuk pembangunan prasarana negara.

Kelakuan parti Islam ini boleh difahami kerana mereka ini lahir dari ideologi Dzul Khuraishi; yang menganggap bahawa dirinya sahaja benar dan adil, sedang orang lain adalah zalim termasuk Nabi Muhammad saw. Ketika Rasulullah sedang membahagikan harta rampasan kepada beberapa kelompok yang baru memelok Islam dan tidak memberikan langsung kepada kaum Muhajirin dan Ansar, maka seorang lelaki yang kelihatan warak berkata: “Berlaku adillah wahai Muhammad!”. Sedangkan Rasulullah saw bermatlamah menarik hati kaum tersebut kepada Islam, sedangkan kaum Muhajirin dan Ansar telah menerima Islam dengan mantap dihati-hati mereka.

Justeru, pemikiran “ana sentiasa benar” selalu datang setelah mereka mensenandungkan slogan  “Tiada hukum melainkan hukum Allah”. Kata Saidina ‘Ali: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”.Slogan-slogan yang telah lama muncul, sejak di zaman Ali Bin Abi Talib lagi akan terus dipanjikan oleh kelompok Neo Khawarij ini. Justeru Ali memahami bahawa mereka ini hanya menggunakan label Islam sebagai perisai atas kesesatan mereka.

Begitu juga ketika pembangkang menghentam Kerajaan Persekutuan dari semua sisi, tokoh tersebut tidaklah mahu membelanya sepertimana yang beliau lakukan atas kes doa untuk tokoh kafir dalam Khutbah Jumaat, tokoh Kafir masuk masjid untuk berucap dan sumbangan dari wang judi untuk umat Islam. Cukup ironi apabila beliau cepat sahaja membela perlakuan yang dilakukan oleh kelompok neo khawarij ini dan beliau senyap apabila Perdana Menteri yang sah dihentam dan dicaci.

Falasi ‘Sepatutnya’ Menjadi Ukuran Kebenaran

Lebih menarik, golongan ini menggunakan “falasi sepatutnya” dalam membela Lim Guan Eng. Falasi sepatutnya seperti begini: Tuhan boleh mencarut maka sepatutnya kita juga boleh mencarut. Sedangkan Tuhan dan manusia tidaklah sama. Lalu salah seorang dari pembesar mereka berkata: “UMNO telah lama terlibat dalam masalah judi dan wang haram ini. Maka sepatutnya isu Lim Guang Eng tidak menjadi persoalan kerana UMNO lah bapa judi.

Tuan-tuan yang beriman dan berhati nurani; apakah sebuah falasi sepatutnya boleh menjadi hujjah atas sebuah kesalahan dari etika normatif? Malah lebih jelek lagi adalah sikap ini menggambarkan bahawa mereka tidak mahu menerima teguran dan sentiasa menganggap dirinya ma’sum dan benar. Padahal mereka mengaku sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Kalaulah kita menganggap UMNO itu fasiq – walhal kenyataannya tidak sebegitu -, maka ketika UMNO datang menegur akan kelemahan diri kita, terus sahaja kita melenting dan memburukkan orang yang menasihati kita. Seolah-olah kita ini tidak ikhlas dalam memperjuangkan Islam, dan kita terus berkata bahawa niat UMNO hanyalah hasad. Tentang niat dalam hati manusia, biarkan Tuhan tentukan, kerana kita bukan juru bicara Tuhan yang mampu membaca hati manusia.

Begitu juga sebuah ingatkan kepada sang tokoh agama tersebut yang membuat generalisasi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Anggapan bahawa Kerajaan Persekutuan menggunakan wang hasil judi untuk membayar gaji dan bantuan kepada umat Islam. “Berapa banyak cukai judi, arak, hiburan dan lain-lain yang dipungut oleh kerajaan… pendapatan kerajaan itu juga digunakan untuk pelbagai keperluan rakyat…. kakitangan kerajaan yang mendapat gaji juga dari pelbagai sumber,” [The Malaysian Insider, Rabu, 29 September 2010] Kerana disitu ada dua kesalahan. Pertama bahawa fakta tersebut melencong kerana Kerajaan Persekutuan memang mengasingkan wang dari sumber haram. Bermakna bahawa wang kakitangan kerajaan datangnya dari sumber yang halal. Kedua adalah  beliau telah jatuh dalam falasi sepatutnya.

Kemudian cukup kiranya dibawakan nasihat seorang alim yang lebih besar dari beliau malah terkenal diseluruh penjuru dunia, Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata: “sesungguhnya menyelisihi pemimpin dalam perkara yang bukan prinsip dalam agama dengan terang-terangan dan mengingkarinya di perkumpulan-perkumpulan masjid, selebaran-selebaran, tempat-tempat kajian, dan sebagainya, itu semua sama sekali bukan tata cara menasihati. Oleh karena itu jangan engkau tertipu dengan orang yang melakukannya walaupun timbul dari niat yang baik. Hal itu menyelisihi cara Salafus Shalih yang harus diikuti. Semoga Allah memberi hidayah padamu.”

No comments:

Post a Comment